Wednesday, November 9, 2011

DARWINISME

SEKILAS PANDANG

Abad yang ke-20 telah kita lalui dan kini dapat sudah kita renungi semula jejak-jejak yang ditinggalkan. Penulisan Harun Yahya di permulaan buku beliau membawa pembaca menoleh sejenak kebelakang dimana kita dapat melihat kesan-kesan peperangan, kemusnahan, pembunuhan beramai-ramai, kemiskinan dan pelbagai lagi isu bencana yang menimpa umat manusia. Dunia yang tertakluk kepada hukum sebab dan akibat pasti dapat menemukan kita kepada punca permasalahan ini. Lantas dengan pantas kita dapat melihat kelibat-kelibat individu yang menerajui revolusi kehancuran dalam abad ke -20. Fascisme, Komunisme dan pelbagai lagi isme-isme yang lain muncul dalam pentas permainan dunia dan berusaha merobek dan meruntuhkan antara satu sama lain. Menurut Harun Yahya, sama ada kita sedar atau pun tidak, kebanyakan ideologi-ideologi ini berasal daripada satu ‘bapa’: DARWINISME.

Darwinisme merupakan ideologi yang berkembang subur daripada pemikiran seorang saintis dalam abad ke-19 yang bernama Charles Darwin. Daripada sebuah pandangan evolusi makhluk dalam alam biologinya, teori evolusi ini ‘berevolusi’ menjadi falsafah dan pegangan dalam perhubungan manusia, politik dan kehidupan sosial. Kecelaruan dalam memahami penciptaan makhluk terutamanya manusia akhirnya mengukir sejarah kelam dalam kehidupan lampau. Kesan daripada kecelaruan ini akhirnya menuntut semula manusia untuk merenung kembali bahawa keseluruhan alam ini dicipta oleh Allah SWT dan perlu dikembalikan semula kepada fitrah asalnya yang telah diatur dengan sangat sempurna.

SEJARAH DARWINISME

Menurut Harun Yahya, teori evolusi Darwin bukanlah sesuatu yang baru. Teori ‘canggih’ yang berbunyi “Living things developed and evolved from the non living things” merupakan satu mitos yang telah dicetuskan oleh orang-orang Sumerian yang menyembah berhala. Mitos ini Berjaya dihidupkan dalam kehidupan Greece Kuno yang akhirnya membentuk budaya masyarakat Rom. Dalam sejarah ketamadunan moden, seorang ahli biologi Perancis yang bernama Jean Baptiste Lamarck telah memelopori teori evolusi ini sebelum Darwin. Darwin pada hakikatnya cuma mempopularkan semula teori ini setelah beliau terinspirasi dengan penulisan seorang ahli ekonomi bernama Thomas Malthus yang jelas menekankan konsep persaingan  dan pemusnahan bagi memastikan populasi manusia dapat dikawal seiring dengan sumber makanan yang ada (permanent war). 

Dalam meletakkan semula ideologi ini, Darwin menghasilkan sebuah penulisan berjudul “The Origin of Species” yang diterbitkan di England pada tahun 1859. Mitos evolusi daripada masyarakat Sumerian disusun dalam bentuk yang lebih rapi. Akhirnya, beliau tampil dengan sebuah teori yang menyatakan bahawa kesemua sepsis dimuka bumi ini berasal daripada induk yang satu. Kewujudan makhluk pertama ini adalah secara kebetulan di dalam air. Induk-induk ini kemudian berterusan mengalami perubahan-perubahan kecil dan membentuk makhluk yang berbeza-beza, juga secara kebetulan. Daripada teori ini, munculnya satu lagi kefahaman bahawa untuk terus hidup perlulah menjadi yang terkuat. Struggle for survival, fight for survival dan survival for the fittest antara cogan kata yang berpayung dibawah paksi Darwinisme.
Menurut Harun Yahya lagi, Teori ini juga secara jelas menolak kewujudan Pencipta.   Aspek ‘kebetulan’ menidakkan peranan Allah SWT dalam penciptaan makhluk. Apabila kefahaman ini diterapkan dan diguna pakai oleh manusia yang cetek pemikirannya, mereka merasakan  bahawa kehidupan ini tidak lain adalah berupa keduniaan semata-mata. Hal inilah yang membawa kepada ideologi materialistik yang meruntuhkan kemanusiaan dan kasih sayang sejagat. Dengan meletakkan asas ‘struggle for life in nature’, yang kuat akan mengatasi yang lemah seterusnya menghapuskan kewujudan mereka yang tidak mampu memberikan persaingan untuk hidup.

DARWINISME DALAM PENJAJAHAN DAN SENTIMEN PERKAUMAN

                Dalam mengulas buku ‘The Origin of Species’ hasil tangan Darwin, Profesor Adam Sedgwick yang juga merupakan sahabat karib beliau telah menyatakan kebimbangan yang akan dicetuskan seandainya buku tersebut diterbitkan secara berleluasa. Beliau menyatakan "if this book (The Origin of Species) were to find general public acceptance, it would bring with it a brutalisation of the human race such as it had never seen before".
 
                Dalam Teori Evolusi Darwin, beliau mendakwa bahawa manusia khususnya telah berevolusi dalam suatu proses yang panjang dan masih lagi terus mengalami proses perubahan. Bagi beliau,  ‘spesis’ manusia yang paling terkehadapan dalam proses evolusi ini tidak lain ialah masyarakat berkulit putih Eropah sedangkan bangsa-bangsa lain adalah terkebelakang. Beliau juga menyatakan bahawa bangsa yang terkebelakang ini akan hilang dan tidak perlu untuk melindungi kewujudan mereka apatah lagi membantu dalam membangunkan kehidupan mereka. Inilah yang dikatakan sebagai peraturan alam yang sememangnya akan berlaku.
                Kewujudan fakta palsu seperti ini telah mendorong kepada motivasi penjajahan dan kebanggaan terhadap bangsa sendiri dikalangan masyarakat Eropah. Seiring dengan itu misi-misi pengembaraan dengan niat penjajahan dan mengaut keuntungan keatas bangsa lain pun bermula dengan dasyatnya. Negara-negara seperti China, Selatan Afrika, bahkan tanah Melayu sendiri pernah dijajah oleh British. Begitu juga kisah penjelajah bernama Christopher Columbus yang diagungkan sebagai individu yang menemui benua Amerika. Hakikatnya, tanah benua yang dahulunya aman menjadi huru hara setelah kemasukan orang berkulit putih daripada Eropah ini. Bersama dengan pembukaan tanah benua Amerika, kisah tragis pembunuhan perbumi ‘Red Indian’ semakin berleluasa. Kisah yang hamper sama juga turut dirasai di Benua Australia.
                Salah satu kata-kata yang diluahkan oleh Darwin atas teori evolusinya ialah "The Turkish nation will soon disappear, this is a law of evolution". Fakta yang kononnya bersifat saintifik ini akhirnya dijadikan propaganda sokongan oleh kerajaan Britain untuk menzahirkan permusuhan keatas kerajaan Turki. Disinilah bermulanya kisah sedih sepanjang sejarah keagungan pemerintahan Islam zaman berzaman. Bersama dengan kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah bererti sistem khalifah yang wujud ribuan tahun turut terkubur sama. Hal ini seterusnya menjadikan Negara umat Islam yang semakin lemah bertambah-tambah lemah. 

Dibumi Amerika yang mula dihuni oleh orang-orang kulit putih pula terselit kisah lain yang melbatkan isu perkauman antara yang berkulit gelap dan putih. Orang-orang putih Amerika memandang rendah kepada golongan kulit hitam sehinggakan mereka kadangkala dilayan sama seperti binatang.


Hal ini bukan hanya melibatkan perhubungan sosial dalam urusan peribadi, tetapi juga dalam urusan-urusan kehidupan lainnya. Perkhidmatan dan kemudahan awam dipisah-pisahkan, perkahwinan berlainan bangsa diharamkan bahkan pernah juga suatu ketika golongan orang bukan berkulit putih ini disimpan di zoo-zoo untuk dijadikan tontonan. Kisah seorang budak bernama Minik (Eskimos) dan Ota Benga (Afrika) yang dilarikan dari bumi kelahiran mereka dan diletakkan dalam kurungan merupakan antara sejarah silam yang kejam dalam episod kemanusiaan.
               
KESIMPULAN
                Secara keseluruhannya dapat saya simpulkan bahawa Teori Evolusi Darwin telah memberikan impak negatif yang sangat besar dan telah membentuk pemikiran masyarakat dunia hari ini. Hal ini mengingatkan saya bahawa suatu pemikiran yang kelihatan mudah sebenarnya mampu mengubah dunia sama ada dalam aspek yang membawa kebaikan ataupun keburukan.  Pada hemat saya, dalam meneliti pola pemikirian Darwin, terdapat agenda yang sangat bahaya untuk diketengahkan kedalam masyarakat. Teori beliau secara jelas menutup pintu kewujudan Pencipta. Tanpa keyakinan ini, menjadikan manusia bersikap materialistik dan prejudis dalam menjalani kehidupan. Seandainya kita melihat sesuatu bukan dengan kacamata kebendaan, terutamanya dalam memerhatikan kejadian alam, kita pasti menemui kebenaran bahawa kesemua makhluk adalah ciptaan Tuhan yang mempunyai kuasa mutlak, maha mengetahui dan bijaksana kerana kesemuanya berada dalam susunan dan aturan yang sangat cantik dan pada kadar yang sebaiknya.
                Perasaan bebas daripada sebarang kuasa mutlak inilah yang menghakis sifat kehambaan kepada Pencipta sekelian alam sekaligus menjadikan manusia bersifat rakus dalam memenuhi kepentingan peribadi. Peperangan, perpecahan dan tindas menindas menjadi kelaziman lantaran jiwa terasa bebas daripada sebarang pembalasan atas kebiadaban yang dilakukan. Hakikatnya, dalam Islam, semua makhluk merupakan ciptaan Allah SWT. Justeru itu tiada hak bagi manusia untuk membezakan darjat sesama mereka. Firman Allah SWT dalam Surah As-Sajadah ;

7. Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu Dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; 8. Kemudian ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, Iaitu dari air (benih) Yang sedikit dipandang orang; 9. Kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Begitu juga sebagaimana yang difirmankan dalam surah Ar-Rum;

  




22. Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang Yang berpengetahuan.