Sifat bagi iman itu adalah menaik dan berkurang (yazid wa yanqus). Itulah yang dipersetujui oleh kebanyakan ulama ahli sunnah wal jamaah. Iman yang dimaksudkan adalah apa yang dilihat dari segi kualiti dan tahapannya pada diri setiap individu Muslim.
Saat iman menurun dan jiwa melemah, bergelut pula untuk terus berada dalam sunnah, ketika itu seseorang itu mungkin sedang melalui fasa 'kefuturan'... Dikalangan mereka yang mengikuti tarbiyyah, istilah futur itu bukan suatu yang asing. Ia sering terlihat pada diri dan mereka yang disekeliling.
Setiap insan itu akan ada zaman futurnya. Dan kala futurnya satu-satu jiwa itu, suasana kadangkala menjadi penyelamat. Majlis-majlis ilmu, usrah, keluarga dan teman-teman lah tempat sandaran untuk terus berpaut dan mendaki semula puncak keimanan. Suasana yang membina ingatan kepada Allah SWT, dan terus beramal dengan sunnah-sunnah baginda Rasulullah SAW. Disinilah peri pentingnya untuk meletakkan jasad di dalam bi'ah hasanah apatah lagi di kala jiwa berada dalam lombong kemaksiatan.
Paksalah diri, paksalah jiwa... mudah-mudahan rahmat Allah mengembalikan kita kepada ketaatan. Atau paling tidak menyelamatkan kita dari niat-niat kita yang beragam rencah dengan nikmat dunia. Sungguh dalam mujahadah diri atau perjuangan dalam menegakkan Islam di dalam diri bukan lah kerja yang mudah. Ia memerlukan usaha. Jatuh dan bangun perkara biasa... namun usaha dan usaha itu lah yang paling utama.
Firman Allah SWT dalam surah al-baqarah;
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
Ujian dan cubaan itu sesuatu yang pasti. Kita pasti diuji sesuai dengan tahap keimanan kita. Lantaran harga syurga itu sangat mahal! Harga syurga itu hanya untuk orang-orang yang bersabar dengan ujian dan cubaan. Para Nabi dan Rasul terdahulu diuji sehabis-habisnya. Para ulama, Para penegeak keadilan dari zaman dahulu hingga ke hari ini berterusan diuji kesabaran dan keimanannya... Bahkan insan yang mempunyai iman yang kerdil sekalipun, saban hari bergelut dalam melalui jalan-jalan kehidupan.
Carilah solusi pada hati kita yang tenat, carilah jalan-jalan mengubatinya... jangan biarkan ia mati. Kerana bila ianya mati, tidakkan pasti untuk hidup kembali.
Hai diri ku dan kamu.... Andai sahaja dibiarkan kerdil, lama-kelamaan, bimbang dengan ujian yang datang terus sahaja tegelincir.
Semoga rahmat Allah dan belas kasih-Nya memelihara iman kita semua, apatah lagi di akhir zaman yang penuh dengan fitnah.
Ya Allah hidupkan lah kami dengan iman,
Matikanlah kami dengan iman
Kumpulkan lah kami bersama orang-orang beriman
Dan masukkanlah kami ke Syurga mu dengan iman
Untuk para dai'e, coretan berikut mungkin lebih bermakna bagi anda;
http://quranicgen.com/dt/futur-sangat-loser-rugi-rugi-giler/
http://quranicgen.com/dt/futur-sangat-loser-rugi-rugi-giler/