Monday, June 30, 2014

Ramadhan...

Malam-malam yang dilalui sehari dua ini banyak bezanya dengan malam-malam yang lain. Begitu juga dengan siangnya. Bahkan insyaAllah akan berterusan untk tempuh sebulan penuh! Hanya Allah sahaja yang tahu bertapa bersyukurnya sebilangan hamba-hambanya yang tidak putus-putus berdoa agar dipertemukan dengan bulan Ramadhan, bulan mulia yang penuh dengan rahmat, keampunan dan janji pelepasan dari api neraka. 

Saya yakin ramai yang terkesan dengan kehadiran Ramadhan. Entah darimana datangnya kekuatan bangun sahurnya. Entah darimana datangnya kekuatan berpuasa setiap hari. Entah darimana datangnya kegagahan solat tarawikh yang sekian banyak rakaatnya itu! Ramai juga yang bersolat diawal waktu. Bahkan baris-baris saf di surau dan masjid, walau dimana jua pasti lebih panjang dari biasa. Dari sekian ramai orang itu pula, sebahagiannya menghidupkan malam-malam dengan solat tahajud, bahkan mungkin akan ada yang melakukannya sebulan penuh. Ditambah lagi dengan tadarusnya yang hampir disetiap kelapangan waktu. Luar biasa sekali rahmat Allah SWT dalam bulan yang mulia ini!

Ya, pada saya bulan ini adalah bulan yang terbaik untuk meningkatkan amalan dan keluar dari sikap'biasa-biasa' kita. Di dalamnya tersimpan bantuan Allah SWT agar mudah kita melaksanakan segenap amalan.

Dengan kurangnya makan dan minum, ibadah lainnya menjadi ringan. Bahkan semakin mudah pula untuk bangun malam (kerana bersahur untuk berpuasa). Lantas solat tahajud menjadi sangat mudah dikerjakan, walaupun hanya dua rakaat. 

Dengan berpuasa, badan kita tidak dikerah bekerja yang berat-berat. Bahkan ramai yang mengambil kerehatan waktu di tengah hari untuk tidur seketika. Dengan tidur itu, menjadi bekal untuk bertarawikh dan bangun malam pula.

Ramai juga yang menjauhi maksiat di bulan mulia ini. Manakan tidak, ini kerana ramai yang semakin sedar bahawa puasa itu bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.  Mata berpuasa, telinga berpuasa, mulut berpuasa, segala anggota berpuasa.

Maka jadilah kita hamba-hamba yang sangat hebat dari segala sudut. 

Namun, hati saya merenung jauh... adakah mampu saya bertahan apatah lagi mengekalkannya hingga Ramadhan akan datang? Atau mungkin ini Ramadhan terakhir saya? Semoga Allah SWT berikan kekuatan untuk menjadi hamba-hamba pilihannya. 

Oh... Ramadhan.. ku harap berlalunya engkau sebagaimana ibu yang melahirkan ku suatu ketika dulu... suci dan teramat suci... amiinnn.