Monday, May 11, 2015

Selamat Hari Guru


My aunty, she was a teacher...

My father in law is a teacher...

My wife is a teacher...

I was trained to be a teacher...



It takes a big heart to help shape little minds



Selamat Hari Guru!

Sunday, May 10, 2015

Kemahiran, Banduan dan Stigma Masyarakat

Melaksanakan kajian dalam ruang lingkup penjara merupakan sesuatu yang tidak pernah dapat di bayangkan selama saya bergelar pelajar terutama sekali dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional. Istilah penjara itu sendiri memberikan suatu konotasi negatif tentang bagaimana suasana perit yang perlu dilalui di sebalik tirai-tirai besi. Penjara juga membawa bayangan buruk dari segi layanan yang diterima dan wajah ganas penghuni yang menjalani hukuman. Itu sahaja sudah cukup menyebabkan institusi penjara digeruni hatta untuk menjalankan kajian sekalipun.
Bagi sebahagian masyarakat umum, penjara adalah penjara, iaitu tempat kurungan kepada orang-orang yang bersalah. Menceburkan diri dalam dunia kepenjaraan dan memegang kaca mata pengkaji, membuatkan saya semakin celik dengan hakikat yang sebenarnya. Sejarah menunjukkan sistem kepenjaraan dunia berkisar kepada tiga pendekatan utama iaitu hukuman dan siksaan, pendekatan rohani dan kaunseling serta pendidikan akademik dan kemahiran. Bahkan di Malaysia sendiri pendekatan bersifat koreksional lebih dititik beratkan melibatkan proses pembangunan insan melalui aktiviti vokasional, spiritual dan mental.
Di sebalik tembok berkawat dan kawalan pengawal yang teramat ketat itu terdapat pelbagai aktiviti, kuliah, persijilan akademik, kemahiran, bahkan industri-industri hebat sedang giat dijalankan. Kompleks Penjara Kluang sahaja sudah cukup mengagumkan dengan sekolah agama, kelas hafazan Al-Quran, halaqah-halaqah dan aktiviti vokasional yang mendapat pengiktirafan. Sejenak bersama penghuni membuatkan saya terlupa, saya sedang berada di dalam kawasan penjara.
Siapa menyangka, tempoh penahan yang dilalui, mampu melahirkan insan yang terbina dari segi sahsiah, dilengkapi pula lagi dengan persijilan-persijilan kemahiran, bahkan tidak mustahil ada yang sedang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah yang lebih tinggi. Semua ini adalah untuk menyediakan penghuni untuk kembali menyumbang kepada masyarakat sekaligus menjadi insan-insan yang berguna.
Semua pihak harus sedar, proses pemulihan modal insan adalah usaha yang perlu dilakukan secara kolektif dan matlamatnya bukanlah sekadar membina “good citizen” tetapi “good man”.  Saya tidak berhajat membahaskan tentang perbezaan “good citizen” dan “good man” di sini. Apa yang penting adalah membina sistem kepercayaan penghuni tentang masa depan mereka, dan sistem kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan, prestasi kerja dan sahsiah mereka.
Kisah silam banduan merupakan kenangan hitam mereka. Ada yang memang bersalah, ada yang tersalah, bahkan mungkin ada yang tidak bersalah. Selayaknya mereka sebagai insan melakukan kesalahan, begitu jugalah layaknya mereka kembali melakukan ketaatan. Saya juga sedang mengikis stigma kepada banduan dan bekas banduan, dan saya menyeru masyarakat hadir bersama-sama saya.
Sekadar selingan, buat masa ini, barangkali penghuni penjara sudah mula menerima tempahan kuih raya dan baju raya daripada masyarakat sekitar. Mungkin juga anda mahu mencuba. – 6 Mei, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/kemahiran-banduan-dan-stigma-masyarakat-muhamad-afzamiman-aripin#sthash.m2fklVov.dpuf