Wednesday, December 11, 2013

Kisah Bersaudara

Sesekali ber 'whatsapp' dengan sahabat lama yang sekarang bertugas di Perak membuatkan aku terkenang masa-masa terluang bersama.

Sahabat-sahabat di awal mengenal tarbiyah; Khairul Nizam, Hanafi, Azzad dan Harmizzi...
dan para Murabbi Osem seperti Abg Arizam dan Abg Padzli...
Juga teman 'perang' yang dasyat; Amir Putra, dan Uwais Al Qarani...

Teristimewa buat sahabat yang sering ber 'curahat'; Syafiq, Aimin, Imran, Shahidan dan Thabit...

Teman-teman sejalan, seusrah dan sehalaqah... terlalu ramai untuk disenaraikan disini...

Aku nukilkan sajak ini dimalam dingin... saat mata sukar terlelap dek kerana melayan sakit telinga yang sudah berhari-hari... aku namakan;

            Kisah bersaudara

Wahai saudara,
 Sahabat yang setia,
Zaman indah berukhuwah itu mahal harganya
Kutitip satu persatu kisah bersaudara
Dalam sejarah hidup dunia

Pernah masa lalu eratnya kita
Tinggal bersama,
Makan bersama…
Berjalan, berukhuwah, berprogram sama
Dalam medan dan amal tiada tersisa

Saat suka dan duka kita kongsikan
Saat lemah dan takut kita tenangkan
Saat terkurang kita tambahkan
Saat berlebih kita berbahagi
Umpama kasih bersaudara layaknya
Seibu sebapa tiada bandingnya

Sehingga sampai masa dan ketika
Kita mengenal cinta yang baru
Tiada tertanding hebat kasihnya
Ditambah lagi...alam bekerja yang menghambat kita
Siang dan malam mencari rezeki... 

Mujur sekali sahabat...
Majlis ilmu, usrah dan halaqah penyambung nyawa

Kadangkala kita semakin melupa
Walau ukhuwah kita masih di FB
Hakikatnya… saat silam itu takkan kembali
Dan barangkali...cuma sesekali menggores rasa dan emosi

Rindu dengan kenangan lalu,
Aku coretkan disini... 

kerana...
Masam masin masakan bersama sudah tiada,
Yang tinggal... kenangan manis bersaudara

Afzamiman, 11/12/13

Thursday, November 28, 2013

Muwasofat tarbiyyah... oh ini hanya secebis kisah...:)

Dalam usrah dan halaqah-halaqah, sering diingatkan untuk kita mencapai sepuluh ciri-ciri individu Muslim dibawah.... Seharusnya dari tarbiyah yang membumi dan mengakar, akan tercermin sifat-sifat ini dalam kehidupan... Maka itulah yang disifatkan dengan tarbiyah yang benar... dan paling penting, niat si empunya diri yang mahu ditarbiyah dan berubah. Ada sepuluh semuanya...


  1. Aqidah yang sejahtera
  2. Ibadah yang sahih
  3. Akhlak yang mantap
  4. Mampu berdikari atau bekerja
  5. Berpengetahuan luas
  6. Tubuh yang cergas
  7. Menguasai diri atau mujahadah
  8. Teratur urusannya
  9. Sangat menghargai masa
  10. Bermanfaat kepada orang lain


Nah! ini sepuluh muwasofat yang dimaksudkan. Bukanlah saya menulis kerana saya sudah pun memenuhi kesepuluh ciri-ciri diatas, bahkan dari masa kesemasa memerlukan kepada bimbingan dan teguran.

Arakian pula sekelian ikhwah dan akhawat, muslimin dan muslimat yang bersungguh-sungguh dalam usaha mengislah diri dan masyarakat. Tulisan kali ini khusus buat bujang-bujangan dai'e di luar sana. Kehidupan bujang yang bebas sebebas bebasnya. Dakwah sini-sana, daurah seminar atau sekelian apa sahaja nama mahu dihadiri. Subhanallah, hanya Allah yang bisa mengganjari usaha yang sedemikian hebatnya. Urusan dan masa milik peribadi. Apatah lagi bila sudah bekerja sendiri dan wang bukan kekangan lagi.

Ya Ikhwah dan akhawat. Kehidupan bujang itu sangat indah dan fleksibel. Maka manfaatkan kebujangan anda untuk memenuhi sepuluh muwasofat ini sebaiknya. Berapa kali saya mendengar keluhan ikhwah (bahkan akhawat barangkali), yang kecewa dengan teman se-dakwah mereka. Barangkali salah satu sifat individu muslim itu sangat hebat... tetapi kerana malasnya untuk mengemas, beratnya tulang untuk membantu, dan ditambah pula dengan jadual yang bertindih-tindih... menjadikan dakwah itu hodoh. Ya! dakwah itu hodoh kerana sikap seorang dai'e. Hodoh di mata teman... apatah lagi pada mad'u dan orang-orang awam yang ingin disantuni.

Dakwah itu bukan hanya pada ilmu dan fikrah. Bukan juga hanya pada sekadar aktivisma. Dakwah itu lebih-lebih lagi pada akhlak, juga pada sifat-sifat lainnya! Tiada guna ilmu dan 'kefahaman' yang menggunung tapi hanya manis di bibir dan papan keyboard sahaja...Allah.. saya juga jauh dari ini... T.T

Sekelian bujangan dai'e ada yang berfikir, "ah... nanti bernikah selesailah sudah... " barangkali yang tidak tersusun urusannya bakal terkendali. Barangkali yang tidak pernah memasak untuk diri mengharap hidangan terhidang lagi. Yang kaki sepah mendapat pula si perapi...Barangkali...barangkali.. barangkali... Ya... itu semua barangkali dan bisa mungkin untuk tidak terjadi.

Alangkah indahnya kehidupan itu apabila ia melengkapi. Bukan hanya mengisi kekosongan, tetapi menyokong dan menambah pada kekurangan. Benar sekali... 'kosong' dan 'kurang' itu tidak pernah sama. Maka di kala kebujangan ini, wajar sekali kita membuat refleksi...

Siapalah tahu kan .... suatu hari nanti... :)








Monday, October 21, 2013

Meniti Cinta ke Hujung Usia

Telah diciptakan makhluk itu berpasang-pasangan untuk menumpahkan kasih sayang dan kemesraan. Atas dasar itu manusia menelusuri gerbang perkahwinan, menyulam cinta, berkongsi rasa dan mengembangkan umat Muhammad s.a.w sebagai dasar dan tujuan.

Bidikan cinta sesama manusia itu bukan suatu paksaan. Bila tertusuk, bakal menyelinap ke hati yang paling dalam. Panah cinta kadangkala terkandung madu yang memaniskan segenap rasa di jiwa, dan terkadang memuntahkan racun yang membunuh hati dan perasaan. Subhanallah, betapa hebatnya penangan sekelumit cinta yang Allah SWT kurniakan kepada insan.

Suatu ketika dahulu, rasa sangsi menusuk jiwa dan perasaan lantaran hati berkata 

'mana mungkin cinta tersulam setelah pernikahan!'

'bagai mana jiwa dan jasad bisa bersatu tanpa rasa yang mendalam?' 

'tanpa perkenalan dan kisah-kisah nostalgia cinta bandar tasik selatan. Sungguh tiada logika!'

Tetapi bila persoalan-persoalan itu diketepikan... bila iman dan keyakinan diutamakan, hanya pada takdir dan ketentuan Allah SWT segala pengharapan diletakkan. Pilihlah pasangan dengan mata hati- dengan mata yang senang memandangnya, dan dengan hati yang merasa aman dengan agamanya.  

Subhanallah dalam membina mahligai syurga dalam berkeluarga, hakikatnya memerlukan pengorbanan dalam mencari sebuah ganjaran Allah SWT yang teramat besar... bukan sekadar cinta nafsu dan perasaan yang membuak-buak. Saat memulakan perkenalan dan terus berkenalan, berusahalah untuk melahirkanlah rasa cinta dan perasaan itu dalam rumah tangga. Cinta yang membuahkan iman! Bukan sekadar cinta yang kerasukan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
Apabila seorang hamba menikah, maka sungguh dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada separuh yang selebihnya.
Lihatlah bahawa perkahwinan itu tuntutan yang besar dalam Islam sehingga ia menyempurnakan separuh daripada agama seseorang. Perkahwinan itu merupakan sistem ibadah yang besar! Setiap amal kepada pasangan menjadi sedekah. Setiap perbuatan menjadi ibadah. Setiap yang dahulu di tegah menjadi hiasan pula dalam rumah tangga. Bila saling mengingatkan mendapat pahala. Bila rasa ketinggalan mula maju kehadapan. Hidup dalam amal yang berterusan.

Tapi mulakanlah ia dengan iman... maka hidayah akan menjengah pintu kebahagiaan...

Doakan saya dan pasangan, kerana perjalanan kami masih panjang untuk sebuah perkenalan dalam mengenal erti  kasih dan sayang.  

Meniti cinta ke hujung usia... :)





Saturday, September 21, 2013

Yang naik dan turun itu...

Sifat bagi iman itu adalah menaik dan berkurang (yazid wa yanqus). Itulah yang dipersetujui oleh kebanyakan ulama ahli sunnah wal jamaah. Iman yang dimaksudkan adalah apa yang dilihat dari segi kualiti dan tahapannya pada diri setiap individu Muslim.

Saat iman menurun dan jiwa melemah, bergelut pula untuk terus berada dalam sunnah, ketika itu seseorang itu mungkin sedang melalui fasa 'kefuturan'... Dikalangan mereka yang mengikuti tarbiyyah, istilah futur itu bukan suatu yang asing. Ia sering terlihat pada diri dan mereka yang disekeliling. 

Setiap  insan itu akan ada zaman futurnya. Dan kala futurnya satu-satu jiwa itu, suasana kadangkala menjadi penyelamat. Majlis-majlis ilmu, usrah, keluarga dan teman-teman lah tempat sandaran untuk terus berpaut dan mendaki semula puncak keimanan. Suasana yang membina ingatan kepada Allah SWT, dan terus beramal dengan sunnah-sunnah baginda Rasulullah SAW. Disinilah peri pentingnya untuk meletakkan jasad di dalam bi'ah hasanah apatah lagi di kala jiwa berada dalam lombong kemaksiatan. 

Paksalah diri, paksalah jiwa... mudah-mudahan rahmat Allah mengembalikan kita kepada ketaatan. Atau paling tidak menyelamatkan kita dari niat-niat kita yang beragam rencah dengan nikmat dunia. Sungguh dalam mujahadah diri atau perjuangan dalam menegakkan Islam di dalam diri bukan lah kerja yang mudah. Ia memerlukan usaha. Jatuh dan bangun perkara biasa... namun usaha dan usaha itu lah yang paling utama. 

Firman Allah SWT dalam surah al-baqarah;

2:214
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
Ujian dan cubaan itu sesuatu yang pasti. Kita pasti diuji sesuai dengan tahap keimanan kita. Lantaran harga syurga itu sangat mahal! Harga syurga itu hanya untuk orang-orang yang bersabar dengan ujian dan cubaan. Para Nabi dan Rasul terdahulu diuji sehabis-habisnya. Para ulama, Para penegeak keadilan dari zaman dahulu hingga ke hari ini berterusan diuji kesabaran dan keimanannya... Bahkan insan yang mempunyai iman yang kerdil sekalipun, saban hari bergelut dalam melalui jalan-jalan kehidupan.

Carilah solusi pada hati kita yang tenat, carilah jalan-jalan mengubatinya... jangan biarkan ia mati. Kerana bila ianya mati, tidakkan pasti untuk hidup kembali.

Hai diri ku dan kamu.... Andai sahaja dibiarkan kerdil, lama-kelamaan, bimbang dengan ujian yang datang terus sahaja tegelincir.

Semoga rahmat Allah dan belas kasih-Nya memelihara iman kita semua, apatah lagi di akhir zaman yang penuh dengan fitnah.

Ya Allah hidupkan lah kami dengan iman,
Matikanlah kami dengan iman
Kumpulkan lah kami bersama orang-orang beriman
Dan masukkanlah kami ke Syurga mu dengan iman

Untuk para dai'e, coretan berikut mungkin lebih bermakna bagi anda;
http://quranicgen.com/dt/futur-sangat-loser-rugi-rugi-giler/



Tuesday, September 3, 2013

Tanda pada hati mungkinkah pada 'tangan yg mati...'?

Sudah lama benar rasanya menyepi dari mencoretkan kisah-kisah dan penulisan. Sungguh setiap kali jari jemari ini cuba menaipkan sesuatu, bagaikan tidak berdaya dan tak termampu. Bermacam-macam perkara yang ingin dikongsikan, berbagai-bagai isu mahu diutarakan. Mesir, Syria, bumi bertuah Malaysia... tentang raya dan perayaan, isu minyak dan kehidupan rakyat marhaen. Kisah dakwah dan tarbiyah. Kisah diri yang tak sudah-sudah, bahkan segala mcam ceramah dan nota yang berfaedah...Semuanya hanya sekadar di kepala. 

Tangan ini bila menulis umpama lidah. Lidah yang fasih bila menyeru kepada kebaikan, tidak mengenal seteru mahupun lawan. Lancar menyanggah dan mengikrarkan segala kebenaran. Selalunya, lidah yang fasih ini datang dari hati yang benar... pada amal yang terlaksana...pada jiwa yang sentiasa berzikrullah.. pada akal yang sentiasa disuluh ilmu dan pembacaan. Begitu juga pada tangan yang mengarang. Jadi apa erti kepada tangan yang kaku dalam penulisan?

Merenuunnng saya sendiri ke dalam diri...

Jauh...

Mungkin jauh dari semua hal yang demikian... atau satu antaranya... atau mungkin kesemuanya...

Jiwa insan kerdil ini tak kan diam andai dalam kebenaran. Pasti ada yang tidak kena dalam jalan-jalan kehidupan. Memendam rasa dan perasaan sungguh memenatkan. Sakitnya kerana seringkali memingggir rasa hidup berTuhan. 

Tangan ini takkan gagah hata memegang mata pena, inikan pula memikul mata pedang, jihad fi Sabilillah... 
bila mana hati mati, akal tumpul, dan amal tak seiring dengan redha Illahi, pasti binasa sebuah perjuangan...
Ya Rabb, ampunkan kami dan kuat kan kami dalam menempuh hidup, menjadi abdi kepada Illahi... 

T.T

Tuesday, May 21, 2013

Keringat yang kering (1)

"Azlan! Azlan!...cepat-cepat! ni... ni...surat kamu ni!" terputus-putus suara makcik Izah memanggil nama anak terunanya itu.

“Ada apa mak? Kenapa? Surat? Surat apa?” bertalu-talu soalan keluar dari mulut Azlan.

Penyapu lidi di tangannya dilepaskan lantas terus dia meluru kearah ibunya yang dicintai. Sudah berminggu-minggu dia menanti surat kemasukan ke Intitusi Pengajian Tinggi. Harapannya surat yang ditangan ibunya itu menjawab penantiannya selama ini.

“Surat Azlan ke Mak? Surat ke IPT?” tanya Azlan.

Ibunya tersenyum lebar. Wajah tua yang redup sayu itu mekar dengan jawapan bangga walaupun tiada sebutir bicara meluncurkan kata-kata. Azlan bijak membaca ekspresi ibunya. Surat ditangan ibunya disambut dan tanpa berlengah di selongkar isinya.

“Mak... temuduga… di UTM…” suara Azlan sedikit bergetar. Dia sendiri bingung dengan perasaannya. Berbaur-baur antara dua kata.

“Alhamdulilllah… cubalah… temuduga apa?”  tanya ibunya.

“Cikgu…” sepatah kata sahaja jawapan Azlan. Dia redha walaupun masih berharap temuduga senibina yang dipohonnya mendapat jawapan.

Gelagat dua beranak itu diperhatikan sahaja dari jauh oleh Pak Arif. Cangkul ditangannya dirangkul kebahu. Tanah-tanah yang berbaki di kasut getahnya dikuis-kuis pada tunggul kayu. Dahulu Pak Arif seorang tentera. Dia berhenti setelah mendapat anak kedua. Semenjak itu dia pulang ke kampung halaman dan hidupnya berniaga dan bertani.

Pak Arif semakin berusia, namun anak-anaknya ramai. Tujuh lelaki dan seorang perempuan. Azlan merupakan anak keenamnya. Dalam usia senja, dia masih terus berusaha mengerah keringat berkebun dan sebagainya. Medan tentera telah lama dia tinggalkan, tetapi jiwa disiplin dan pantang mengalah itu menjadi obor semangat beliau membesarkan anak-anak dan memberi nafkah pada keluarga.Anak-anaknya ada yang sudah berjaya, namun bagi beliau selagi tubuh bertenaga selagi itulah tanggungjawab mengemban di pundaknya. 

Petang berlalu dan azan maghrib berkumandang di udara. Burung-burung juga telah pulang ke sarang. Rembang senja di kampung menggamit sejuta ketenangan di jiwa. Begitu juga dengan Pak Arif sekeluarga, mereka telah pulang ke rumah dan bersiap-siap menunaikan kefardhuan pada yang Esa.

...bersambung...
.........................................
Hadist yang diriwayatkan oleh Abdir Rahman Abdillah Ibni Mas’ud ra “Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW amal apa yang paling di cintai disisi Allah ?” Rasulullah bersabda “Solat tepat pada waktunya”. Kemudian aku tanya lagi “Apa lagi selain itu ?” bersabda Rasulullah “Berbakti kepada kedua orang tua” Aku tanya lagi “Apa lagi ?”. Jawab Rasulullah “Jihad dijalan Allah”. (HR. Bukhari dan Muslim)


Tuesday, March 19, 2013

This Worldly Life - Maher Zain

How beautiful, is this worldly life
But not a soul shall remain
We all come into this world
Only to leave it one day
I can see that everything around me
Rises then fades away
Life is just a passing moment
Nothing is meant to stay, oh

Chorus:
This worldly life has an end
And it's then real life begins
A world where we will live forever
This beautiful worldly life has an end
It's a just bridge that must be crossed
To a life that will go on forever

So many years, quickly slipping by
Like the Sleepers of the Cave
Wake up and make a choice
Before we end up in our graves
O God! You didn't put me here in vain
I know I'll be held accountable for what I do
This life is just a journey 
And it's taking me back to You

Chorus

So many get caught in this beautiful web
Its gardens become an infatuation
But surely they'll understand at the final stop
That its gardens are meant for cultivation, oh

Chorus