Tuesday, May 11, 2010

Disebalik IDEALISME, REALITI dan TIDAK PRAKTIKAL


Terbacalah satu hari akan penulis sebuah rencana dalam Mingguan Malaysia yang termaklum masyurnya seantero negara. Maka dibelek-belek satu persatu rencana yang ada. Dibahagian atas kiri merupakan cetusan rasa daripada seorang mufti yang tidak kurang hebatnya. Dibawahnya pula karangan seorang ustaz dan juga penyelidik politik yang cemerlang lagi lantang penulisannya.
                Sampai ke rencana ketiga, saya tertanya-tanya siapakah gerangannya. “Wajahnya ku kenal, tapi di mana ya???” Lalu diteliti penulisannya, sekali dibaca memang saya sedar bahawa beliau seorang yang sangat berpengalaman, bukan sahaja dalam penulisan malah dalam kehidupan.
                Rencana beliau dimulakan dengan hikayat pelajar-pelajar Malaysia lewat 70-an dan 80-an diluar negara yang menyedari tentang perlunya kebangkitan Islam, lalu dicoretkan madah ini yang menggambarkan usaha murni tersebut yang juga tercetus kerana  keterbukaan suasana di Barat.
 “keadaan ini mendorong kepada usaha kembali kepada ajaran Islam yang dianggap sebenar, bersih dari pengaruh fahaman-fahaman barat”
Lalu diringkaskan lagi, maka tertubuh lah kumpulan-kumpulan kecil yang dinamakan usrah…
“Maka dari sini, mereka berusaha untuk hidup menurut ajaran Islam mengikut fahaman mereka secara ideal, ketat dan eksklusif.”
Dan ditambah lagi…
Mereka membayangkan akan dapat hidup sebagai seorang Islam yang penuh idealistic dengan keinginan untuk mencapai kesempurnaan. Bukan sahaja dari segi pemikiran dan amal ibadat tetapi juga dalam kehidupan berkeluarga.”
Penulis tersebut juga menyatakan seolah-olah idealistik yang didambakan hancur berkecai sekembalinya ke tanah air lantaran terpaksa berdepan dengan realiti sebagaimana yang tergambar dalam kata-kata dibawah.
“Dikalangan orang Islam yang idealis tentu juga mereka meginginkan sebuah masyarakat dan negara yang yang mengikut lunas-lunas ajaran Islam yang idealis seperti mana yang mereka fahami.”
“Mungkin kerana kemampuan diri masing-masig sebagai manusia yang tidak berupaya untuk menjadi ideal seperti yang dicita-citakan semasa menjadi pelajar dahulu maka mereka berubah.”
Kata beliau lagi, apa yang dipelajari tak dapat dipraktik dalam masyarakat negara dan keluarga sehingga ada yang bercerai. Penulisan beliau ditutup dengan beberapa baris ayat yang sangat mendalam maknanya bagi saya.
“Realiti cinta dan keperluan hidup menjadikan apa yang dicita-citakan hanya merupakan idealism layak berada dalam kitab-kitab dan isi ceramah semata-mata.”
“Dalam hal ini kesimpulannya ialah pastinya Islam bukan agama idealis. Dalam tradisi Islam disebut bahawa agama ini menurut fitrah manusia. Kewujudannya adalah sunatullah, iaitu aturan Allah. Pastinya agama ini terpancar daripada reality dan pasti ia praktikal”

Tertanya-tanya akan saya dari mana sumber beliau mengolah rencana ini. Atau mungkin pengalaman peribadi, atau barangkali kisah-kisah yang didengar dari teman-teman atau mungkin berlaku kepada kenalan-kenalan yang malang nasibnya. Atau mungkin beliau telah membuat kajian yang begitu saintifik sehingga mampu mengeneralisasikan kisah dan kesimpulan beliau sebagaimana teori-teori yang pernah dibuat oleh kebanyakan orang bijak pandai.

Bukan tujuan saya mengkritik atas dasar kebencian ataupun marah, sekadar mendapat pengajaran daripada apa yang dinamakan kehidupan. Seharusnya kita juga harus menilai dari kacamata yang berbeza. Kenapa tidak pula dilihat kepada sisi kehidupan mereka yang berjaya? Saya yakin dalam ramai-ramai mereka yang memperjuangkan pemikiran ‘idealistik’ mereka, ada yang telah berjaya membina kehidupan yang bahagia walaupun tumbuh dicelah-celah kehidupan yang rakus dan sangat berbeza daripada fikrah yang terbina.
Paling tidak, kehidupan ketat dan eksklusif yang telah mereka harungi sewaktu belajar dahulu telah menjadikan mereka insan yang lebih berwaspada dan lebih terpandu apabila berada dalam apa yang dipanggil realiti. Inilah perubahan-perubahan yang telah memberikan sentuhan dalam negara kita tanpa kita sedari. Sentuhan lembut yang memberikan kesan mendalam tanpa terlihat oleh mata kasar. Satu sentuhan yang sedang membina jati diri untuk bangun dengan penuh kebanggaan. Ibarat singa yang baru terjaga, mana mungkin terus laju menerkam mangsa.
Tidak dinafikan sudah ada yang berguguran lantaran hebatnya hambatan kehidupan. Apatah lagi diri masih lemah dan tidak berdaya. Namun kita harus sedar, tidak ada insan yang benar-benar sempurna dan saya juga sangat yakin mereka (bekas pelajar tersebut)  juga sedar.
Namun persoalannya, adakah benar idealisma Islam yang dibawa itu hanya layak diletakkan dalam kitab-kitab dan isi ceramah? Keduanya, sebenar-benarnya tahukah kita apa ‘idealisme’ yang diperjuangkan? Ketiga, benarkah satu kesilapan dalam mencari idealisma dalam beragama?
Setahu saya Islam itu cukup sempurna, agama yang sangat ideal, dan saya yakin kesempurnaan itulah yang mahu dituju  oleh mereka. Adakah kita mahu terus mengikut arus perdana kerana mahu ia terpraktik mengikut fitrah manusia? Pada saya fitrah manusia itu benar. Sekadar contoh mudah, fitrah manusia, lelaki berpasangan dengan wanita, sayang menyayang dan sebagainya. Namun kini, anak2 tidak berdosa dibuang merata-rata, gejala sosial makin meruncing dan macam2 lagi kisah pembunuhan aneh berlaku kerana fitrah ini dipandu salah. Seandainya arus ini yang terus dituruti nescaya tiadalah lagi harapan untuk masa depan. We are not ‘ideal’, but, yes Islam is always ideal and practical!