Waktu-waktu
demam begini, membolehkan saya menulis dan berfikir. Cuti sakit untuk tidur
sahaja? Harapnya tidak bagi saya. Bukan mudah ‘mencuri’ masa. Harapan semoga
sakit ini menjadi kafarah dosa seorang manusia lemah seperti saya.
Kata Hamka,
penyakit suatu masyarakat, berasal dari penyakit perseorangan… Terus saya
merenung ke diri sendiri. Mendiagnos menyakit sendiri-jauh disudut hati saya,
saya tahu saya juga manusia biasa yang tidak terlepas dari ‘penyakit’ dunia. Ya!
Kalau diturutkan kata Hamka itu, saya juga punca penyakit sosial dalam
masyarakat hari ini- andai saja kalau tidak saya berterusan ‘menyehatkan’ diri.
Maka
bagaimanakah ‘menyehatkan’ diri itu? Kesanggupan mengendalikan pertemuan akal
lahir dan batin dan pengaruhnya atas diri itulah menjadi pedoman atas sihat
atau sakitnya seseorang. Ambil sahaja contoh seorang peminum arak. Saat dalam
dirinya mabuk dan tidak siuman itu, pelbagai kata-kata yang yang aneh-aneh…
bahkan kadangkala terkeluar segala macam rahsia yang mengaibkan dari mulut si
pemabuk tadi. Labih teruk, dengan akal lahir yang bercelaru itu, mendorong pula
si pemabuk melakukan perkara dan jenayah lain yang keji akibat hilangnya
kawalan pada diri.
Sedang akal
batin itu dekat dengan sifat kebinatangan, berteman nafsu seks dan
keinginan-keinginan. Tanpa akal lahir yang belajar untuk hidup ditengah-tengah
masyarakat, bergaul, berakhlak dan bersopan santun, maka yang tinggal, tentulah
akal batin yang menurut sahaja kemahuan dan nafsu, melempias syahwat dan meniti
kehidupan sekadar untuk hidup! Tiada cita-cita didunia dan tiada keinginan
untuk kehidupan sebenar yang sempurna diakhirat sana. Di sini lah pula lahirnya
akal lahir yang mahukan kebebasan tanpa sempadan. Ibarat layang-layang terputus
tali dalam mengemudi kehidupan-sakit jiwa-.
Oleh yang
demikian, nampaklah sudah bahawa dalam perjalanan hidup kita ini, dalam mencari
jalan yang lurus, kita sentiasa berhadapan dengan kesulitan dalam mengimbangkan
antara dua akal ini. Kesulitan dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan
kemaksiatan. Oleh itu, perlunya kita untuk belajar menempuh ujian kesabaran dan
istiqamah dalam melakukan ketaatan. Berjuanglah keluar memerangi syaitan dan
nafsu jahat. Maka disitulah induk kepada segala macam perjuangan!
Orang kata, untuk
berjuang menegakkan agama dalam diri itu sudah sangat sukar dan berat. Apatah
lagi berjuang mengislahkan masyarakat seluruhnya. Persoalannya, bukankah
belajar untuk segulung ijazah itu sukar? bekerja mencari nafkah keluarga itu
sukar? Membesarkan anak-anak itu bukankah sukar? Mencari wang? Membuat projek
jutaan ringgit? dan memerintah institusi atau negara itu, bukankah semuanya
sukar? Anehnya sanggup pula kita menempuh kesukaran itu, tapi tidak sanggup
menempuh jalan kesabaran dalam menegakkan Islam dalam diri dan masyarakat…
Sudah berkali
berusaha, namun jatuh jua? Kadang-kadang
akal lahir dan batin itu terancam dek kegilaan dunia? Terhoyong hayang
dibuatnya. Layaknya seperti menempuh samudera dan ombak dilaut dalam. Dek kerana sudah terumbang ambing, maka
pautlah semula kepada tali hidup beragama. Kembali kepada Pencipta, dan
teruskanlah lagi perjalanan. Kerana kita ini insan… makhluk pelupa dan terlalu
lemah di hadapan Pencipta. Mintalah kekuatan dariNya. Mintalah setiap masa, setiap hari, setiap
jam, setiap detik yang termampu. Kerana kita memang akan terlupa dan sentiasa
cenderung untuk menikmati dunia.
Tips untuk kekal
sihat- ikatkan jiwa iaitu akal lahir dan batin dengan Allah SWT. Bagaimana?
Jagalah ia dalam ibadah dan amal-amal islami kita. Ibadah dan amal dalam
konteks yang sedar dan insaf. Ya..ibadah dan amal yang sedar dan insaf sahaja
mampu mengurangi penyakit ini. Keinginan, nafsu, syahwat, urusan kelamin dan
libido kita, jika dibiarkan, boleh menjalar entah kemana-mana. Bukankah begitu?
-doakan
kesihatan saya juga =)
No comments:
Post a Comment