Thursday, February 21, 2013

Ada apa dengan Syria?

Selama ini setiap kali sahabat-sahabat saya mengirim video berkaitan kekejaman rejim Baysar Assad di Syria, saya akan mengelak untuk menontonnya. Video-video yang tersaji di ruang facebook saya tidak pernah ditonton. Bukan kerana tidak perihatin atau tidak mahu ambil peduli, tetapi saya tidak sanggup untuk menatap rintihan ibu-ibu, anak-anak dan bapa-bapa yang kehilnagn hampir segalanya. Tidak sanggup untuk saya menatap senyuman mereka dalam derita, apatah lagi air mata yang berlinang dengan sengsara.

Saya sedar bahawa kekejaman Basyar Assad ini lebih dasyat daripada apa yang bisa tergambar dalam benak pemikiran. Lebih kejam dan lebih ganas dalam meratah nadi kehidupan. Lebih-lebih lagi pula jenayah itu disembunyikan dari tontonan dunia. Sepi dalam kancah keruntuhan tanpa sekelumit perhatian. Dibelakang sang penjenayah pula berdiri kuasa-kuasa berkepentingan. bahkan ada yang bersetongkol membekal senjata dan menjadi sekutu kepada kekejaman. Rakus dan terus rakus melanyak jasad dan jiwa saudara kita disana.


Hati hiba....


Semalam dalam satu program perkongsian tentang isu Syria, saya duduk betul-betul berhadapan dengan dengan skrin yang dipancar. Mata terpana... hati berdebar... saya tidak boleh melarikan penglihatan saya lagi... Malam itu, mata ini menyaksikan kekejaman-kekejaman yang berlaku dihadapan mata. Sesekali saya meredupkan pandangan. Tidak mampu lagi menatap. Sesekali saya tutup mata dengan jari jemari... Dibelakang terdengar suara-suara yang beristighfar dan bertakbir perlahan...

Dalam simpati, tersisip kekaguman terhadap ketabahan saudara-saudara kita disana... Mereka para mujahid yang mulia. Dan Allah telah memilih mereka... Mengungkap kembali kata-kata penyampai penyampai pada malam itu, iaitu Dr.Munawwar, benar-benar membuatkan diri insaf dan terasa kerdil...

"Dahulu...Syria pernah juga aman seperti di Malaysia... ia sebuah negara yang cantik seperti Malaysia... ekonomi berkembang pesat disana... Antum tahu tak buah-buahan terbaik juga datang dari bumi Syria.... tapi siapa sangka apabila keadaan berubah sebaliknya..." kami tersentak...timbul persoalan... bersediakah kita jika situasi yang sama berlaku di Malaysia???

Masih lagi terngiang-ngiang video yang dimainkan... Ungkapan daripada salah seorang tentera Free Syrian Army...

"...beberpa bulan yang lalu... kami langsung tidak pernah terfikir untuk mengangkat senjata..."

beliau merupakan orang awam yang sebelum ini tidak pernah terlintas untuk menjadi pejuang keamanan...

Begitu juga satu kalimah daripada Doktor perubatan disana...benar-benar menyentuh sanubari saya sebagai insan...

"Saya terfikir untuk keluar dari sini, dan menjalani kehidupan yang biasa...bekerja dan menjaga keluarga saya... tetapi jika saya berbuat begitu... siapa yang akan merawat mereka....(mata beliau berkaca-kaca...)... Oleh itu, saya lebih rela berada disini...dan berharap keadaan akan kembali seperti sedia kala..."

Tahukah anda... hospital tempat beliau bekerja itu, telah dibedil berkali-kali dengan sengaja oleh tentera Basyar... dan ramai juga yang telah terkorban... tetapi beliau masih disitu demi tanggungjawab beliau kepada umat yang tidak bersalah... mengenepikan segala kehendak dan kepentingan peribadi beliau...

Air mata ulama disana tertumpah.... "dimanakah cakna umat ini?"

maka, sudah bersediakah kita beralasan... atau lantaklah mereka!

Please do something.... saya merayu.... walau Tuan-puan sekadar bercerita... biar umat ini tahu... biar kita sedar.... let the first step begin.... walau sekadar doa... kerana ia juga senjata... 

Atau kita memilih untuk berpeluk tubuh...memejam mata..memekak telinga....lantas sewenangnya kita bertanya... "ada apa dengan Syria? Bukan masalah saya!"

Saya tidak sanggup menonton kembali apa yang telah saya saksikan... namun saya bersaksi bahawa memang tiada kekejaman sedasyat apa yang saudara kita di Syria sedang lalui....


Friday, February 15, 2013

PERKAHWINAN TERINDAH



Firman Allah SWT yang bermaksud;

Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Rabb kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu, dan darinya Allah menciptakan isterinya; dan dari keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya, kalian saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu mengawasi kalian.
Anak muda itu belum layak untuk membicarakan indahnya perkahwinan. Apatah lagi masih belum berumahtangga. Dalam usian 26 tahun, selayaknya sudah bersedia untuk memimpin sebuah keluarga. Sudah memiliki dua ijazah (Sarjana Muda dan Sarjana), bahkan punya kerjaya yang stabil. Cumanya barangkali kerana usia kerjaya yang baru mencecah lapan bulan, membataskan niat dan keiinginan yang ada. Tabungannya masih sempit. Kadangkala boleh sahaja menabung lebih, kadangkala tabungan itu dikorek-korek semula.

Inilah hakikat yang berlaku dalam banyak kehidupan pemuda. Pemuda dalam jiwa yang bergelora bukanlah mudah menghadapi apa yang dinamakan kehidupan. Sekelilingnya bukanlah para malaikat, bahkan ujian-ujian dan mehnah yang terpaksa ditempuhinya. Jiwa pemuda meronta. Saban minggu berpuasa, saban waktu memohon perlindungannya. Saban ketika kerap juga jiwa kerdil itu kecundang dengan dunia. Pemuda terseksa.

Islam menggariskan jalan untuk sang pemuda menuntun fitrah suci itu. Fitrah yang merupakan naluri ciptaan Maha Pencipta. Maka diciptakan jalan syariat, sunnah daripada Rasul junjungan. Maka dijadikan perkahwinan, agar jiwa suci sang pemuda menjadi tenang dengannya. Sungguh berpuasa itu jalan yang mulia, tetapi tiada terbanding dengan nikmat daripada sebuah mahligai perkahwinan yang terbina.

Tetapi hari ini jiwa pemuda itu meronta-ronta, tuntutan fitrahnya bukan sekadar mahu melempias nafsu muda. Tetapi lebih dari itu, membina kekuatan dalam menggapai cita-cita dan harapan. Cita-cita dalam membina institusi keluarga yang saling bergandingan dalam kebaikan. Menegur dalam hemat dan kelembutan. Membelai jiwa dengan didikan lembut lantas membina iman. Tangga kehidupan itu perlu didaki. Harapan pemuda agar dia mampu membina hidup yang baru. Hidup dalam erti membina keluarga yang sejahtera. Keluarga yang akhirnya membentuk binaan-binaan masyarakat yang kelak mendaulatkan kalimah Rabbnya.

Teringat pemuda akan kisah yang baru dibacanya. Sungguh membina rumahtangga itu ibarat membina teratak  dalam kehidupan. Sungguh teratak yang sederhana itu digelar rumah adanya. Akan sebuah rumah itu pula, tidak dipanggil rumah tanpa ruang-ruang yang melengkapinya. Punya ruang tamu, bilik tidur, dapur, bilik air dan tandas umpamanya. Kalau membina rumah dengan hanya mempunyai tandas, tidak lah dipanggil rumah. Barangkali digelar tandas awam layaknya. Justeru seandainya perkahwinan itu sekadar menurut tuntutan fitrah kehaiwanan, maka ibaratnya sebuah rumah yang dibina dengan tandas semata. Hilang fungsinya yang lain. Demikianlah adanya sebuah rumahtangga dalam kehidupan.

Tetapi mungkin esok pemuda itu masih perlu berpuasa. Melentur jiwanya kepada Pencipta. Tekun dan sabar menunggu hari yang diharap  tiba. Dalam fikirannya terlontar satu persatu kisah cinta junjungan Rasul yang mulia. Dalam keluarga, bagindalah yang terhebat. Bahkan yang terbaik kepada isterinya dan ahlinya.  Kisah cinta di rumah Hasan al Banna juga berelgar-legar di minda. Teori-teori rumahtangga itu tersisip rapi dalam dirinya. Bukan juga mudah mengemudi bahtera di tengah samudera. Pemuda termenung. Akur dalam syukur dengan ketentuan yang Esa.