Firman Allah SWT
yang bermaksud;
Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Rabb kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu, dan darinya Allah menciptakan isterinya; dan dari keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya, kalian saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu mengawasi kalian.
Anak muda itu
belum layak untuk membicarakan indahnya perkahwinan. Apatah lagi masih belum
berumahtangga. Dalam usian 26 tahun, selayaknya sudah bersedia untuk memimpin
sebuah keluarga. Sudah memiliki dua ijazah (Sarjana Muda dan Sarjana), bahkan
punya kerjaya yang stabil. Cumanya barangkali kerana usia kerjaya yang baru
mencecah lapan bulan, membataskan niat dan keiinginan yang ada. Tabungannya
masih sempit. Kadangkala boleh sahaja menabung lebih, kadangkala tabungan itu
dikorek-korek semula.
Inilah hakikat
yang berlaku dalam banyak kehidupan pemuda. Pemuda dalam jiwa yang bergelora
bukanlah mudah menghadapi apa yang dinamakan kehidupan. Sekelilingnya bukanlah
para malaikat, bahkan ujian-ujian dan mehnah yang terpaksa ditempuhinya. Jiwa
pemuda meronta. Saban minggu berpuasa, saban waktu memohon perlindungannya.
Saban ketika kerap juga jiwa kerdil itu kecundang dengan dunia. Pemuda
terseksa.
Islam menggariskan
jalan untuk sang pemuda menuntun fitrah suci itu. Fitrah yang merupakan naluri
ciptaan Maha Pencipta. Maka diciptakan jalan syariat, sunnah daripada Rasul
junjungan. Maka dijadikan perkahwinan, agar jiwa suci sang pemuda menjadi
tenang dengannya. Sungguh berpuasa itu jalan yang mulia, tetapi tiada terbanding
dengan nikmat daripada sebuah mahligai perkahwinan yang terbina.
Tetapi hari ini
jiwa pemuda itu meronta-ronta, tuntutan fitrahnya bukan sekadar mahu melempias
nafsu muda. Tetapi lebih dari itu, membina kekuatan dalam menggapai cita-cita
dan harapan. Cita-cita dalam membina institusi keluarga yang saling
bergandingan dalam kebaikan. Menegur dalam hemat dan kelembutan. Membelai jiwa
dengan didikan lembut lantas membina iman. Tangga kehidupan itu perlu didaki.
Harapan pemuda agar dia mampu membina hidup yang baru. Hidup dalam erti membina
keluarga yang sejahtera. Keluarga yang akhirnya membentuk binaan-binaan
masyarakat yang kelak mendaulatkan kalimah Rabbnya.
Teringat pemuda
akan kisah yang baru dibacanya. Sungguh membina rumahtangga itu ibarat membina
teratak dalam kehidupan. Sungguh teratak
yang sederhana itu digelar rumah adanya. Akan sebuah rumah itu pula, tidak
dipanggil rumah tanpa ruang-ruang yang melengkapinya. Punya ruang tamu, bilik
tidur, dapur, bilik air dan tandas umpamanya. Kalau membina rumah dengan hanya
mempunyai tandas, tidak lah dipanggil rumah. Barangkali digelar tandas awam
layaknya. Justeru seandainya perkahwinan itu sekadar menurut tuntutan fitrah
kehaiwanan, maka ibaratnya sebuah rumah yang dibina dengan tandas semata. Hilang
fungsinya yang lain. Demikianlah adanya sebuah rumahtangga dalam kehidupan.
Tetapi mungkin
esok pemuda itu masih perlu berpuasa. Melentur jiwanya kepada Pencipta. Tekun
dan sabar menunggu hari yang diharap
tiba. Dalam fikirannya terlontar satu persatu kisah cinta junjungan Rasul
yang mulia. Dalam keluarga, bagindalah yang terhebat. Bahkan yang terbaik
kepada isterinya dan ahlinya. Kisah
cinta di rumah Hasan al Banna juga berelgar-legar di minda. Teori-teori
rumahtangga itu tersisip rapi dalam dirinya. Bukan juga mudah mengemudi bahtera
di tengah samudera. Pemuda termenung. Akur dalam syukur dengan ketentuan yang
Esa.
No comments:
Post a Comment