Sunday, April 26, 2015

Sulthan

“Saya tak kisahlah ayah saya nak jumpa ke tak. Biarlah dia…”

Saya tersentak… itulah kata-kata akhir yang dikeluarkan adik Sulthan, seorang pelajar sekolah di kawasan majoriti melayu di negeri Johor ini.

Saya dan teman-teman sudah berkali-kali menjalankan aktiviti di sekolah tersebut. Setiap kali kami berprogram di situ, kami selalu pulang dengan kisah-kisah yang menginsafkan. Kebanyakan mereka bukanlah orang yang senang. Ada yang tiada ayah, ada yang tiada ibu, ada yang bapanya siang menjadi buruh, malam bekerja lagi sebagai jaga, ada yang bangun seawal pagi membantu ibu membuat kuih muih, berjalan kaki pulang ke rumah yang mengambil masa 10 minit perjalanan kereta dan bermacam lagi. Semua ini sudah cukup untuk membuatkan air mata saya mengalir dan bergabung dalam sedih dan syukur. Saya juga bukanlah anak orang berada, tetapi apa yang ada di depan mata saya dan teman-teman kadangkala membuatkan kami terkedu dengan sebuah realiti kehidupan. 

Berbalik kepada kisah adik Sulthan ini tadi. Semasa sesi perkongsian adik Sulthan memaklumkan bahawa ayah dan ibu beliau telah pun berpisah. Bahkan beliau bersyukur kerana ibunya masih ada. Kisah ini pada kami merupakan suatu kisah tragis yang biasa. Bahkan semasa sesi perkongsian, tiada sedikit pun raut kesedihan pada wajah anak muda ini. Sebenarnya sejak awal program, saya perhatikan adik Sulthan memang sukar memunjukkan sebarang ekspresi emosi yang nyata.

Semasa sesi bertemu dengan ibu bapa, beberapa anak-anak dari sekolah tersebut di minta untuk pergi kepada ibubapa masing-masing. Disuatu sudut saya memerhatikan adik Sulthan dan beberapa orang pelajar menggeleng-gelengkan kepala; tanda ibubapa mereka tiada bersama. Saat saya menuju kepada mereka, anak-anak ini terus mendakap saya seolah-olah meluahkan apa yang terbuku di hati mereka.

Air mata mereka mengalir… tapi seperti biasa, adik Sulthan tetap dengan emosinya yang bersahaja. Saya duduk disebelah beliau untuk mencungkil lebih banyak rahsia. Saya tahu ada banyak lagi perkara yang beliau sembunyikan dari kami. Firasat saya benar.

Saya mulakan bicara… “kamu duduk dengan ibu ke sekarang?”

“Tak”

“Eh, tadi kamu cakap kamu duduk dengan ibu???” Saya terpinga-pinga.

“Saya duduk dengan abang saya. Ibu dah kawin lain dan duduk di tempat lain.”

“……..Abang umur berapa tahun? Sudah bekerja”  tanya saya lagi.

“Abang umur 19 tahun. Dia dah kerja dah… “

“Duduk berdua sahaja? Jadi siapa yang siapkan kamu, masak makan minum semua???” tanya saya bertalu-talu.

“Oh… saya masak sendiri lah…” sambil dia menoleh senyum kepada saya. Hati saya bertambah-tambah lagi ingin mengorek kehidupan adik Sulthan dengan jawapan yang diberikan.

“Jadi, perbelanjaan kamu?”

“Ibu kadangkala datang kerumah kami (rumah peninggalan neneknya), dan selalu kirimkan wang belanja.”

“Kamu dah tak jumpa ayah berapa lama??” Tanya saya lagi.

“Sebenarnya bang…saya tak pernah jumpa ayah saya…” dia mula tertunduk…dan kembali menyusun kata-kata…

“Ayah dan ibu bergaduh semasa mengandungkan saya. Mereka bercerai semasa saya lahir… Nama saya ni pun ayah saudara yang bagi. Mereka tak kisah langsung kepada saya masa tu…”

“…….” Saya terdiam. Adik Sulthan mula menitiskan air mata saat saya pegang erat bahunya.

“Jadi kamu tak pernah jumpa ayah… tahu dia di mana? Kamu memang tak nak jumpa ayah ke?”

Air mata beliau mula deras. Saya mula rasa bersalah dengan soalan tadi…

“Ayah ada call sesekali. Cuma dengar suaralah… memang sebenarnya saya nak sangat jumpa dia… Ibu cakap dia ada di KL. Dia dah ada keluarga baru…” kali ini beliau mula gagal mengawal emosi dan membuatkan saya turut sama mengalirkan air mata.

“Bulan puasa selalu beli makan di bazar?” saya cuba menembak…Beliau mengangguk perlahan membuatkan saya sangsi dengan jawapannya.

“Raya??? Balik kampung mana???” Tanya saya lagi.

“Saya duduk sinilah…” jawab beliau sambil menguntumkan senyuman tawar… saya terkedu berkali-kali…

Hakikatnya saya lebih sedihkan kehidupan yang beliau tempuhi sebagai remaja. Hidup sendirian,  tiada ibu dan ayah yang memantau, menegur, mengajar, apatah lagi meluahkan kata-kata sayang.
Saya tersentuh…namun bangga dengan berdikarinya dia. Bangga dengan azam dan tekadnya meneruskan persekolahan. Bangga kerana dia masih mencuba menjadi anak yang soleh.

Beliau meletakkan nilai syukur dan malu dalam jiwa saya.

No comments:

Post a Comment