Thursday, April 5, 2012

andai saja nikmat itu pergi...

Setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana sebagaimana hari-hari lainnya, kita mampu lagi bangun dari tidur yang lena... Bangun dengan jiwa yang bertenaga, dan tubuh yang sejahtera. Ramai sekali umat manusia (bahkan kadangkala saya sendiri), terlupa untuk meneliti apatah lagi mensyukuri tiap degup jantung, tiap turun naiknya nafas, tiap kali berkedipnya kelopak mata dan segala macam nikmat Allah SWT yang terangkum dalam satu istilah yang cukup mudah iaitu nikmat kesihatan... Alhamdulillah ya Allah...

Semakin meniti usia, semakin ditarik pula satu persatu nikmat ini. Ada yang ditarik secara pukal. Ya, semuanya sekali,,Ada pula yang berdikit-dikit meninggalkan kita...yang pasti pengakhirannya adalah sebuah tubuh yang akan terbujur kaku, sedang kita pula menuju destinasi seterusnya. Maka, syukurilah, syukurilah, syukurilah...di kala ia masih bersama kita, dikala kita mampu membina amal yang soleh dengan segala kurniaanNya.

Hari ini saya menziarahi salah seorang pensyarah yang menderita dan berjuang melawan penyakit kanser. Seorang wanita yang berhati waja. Wanita yang suatu ketika dahulu sangat lincah, menyumbang ilmu dan mendidik masyarakat serta tekun membina pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi harapan bangsa. Masih lagi segar difikiran saya, sewaktu beliau mengajar di kelas Engineering Math suatu ketika dahulu. Kecil molek orangnya, tetapi tetap tegas dibalik tudung labuh dan pakaian yang membaluti dirinya. Sesekali kuliahnya diselangi tazkirah... menjadikan dia seorang murabbiah yang benar-benar mahu membina insan soleh solehah.


Di suatu masa pula saya bertemu dengan beliau di dalam satu sesi perkongsian ilmu tentang membina keluarga bahagia. Disitu saya mengenali dia. Tentang kisah silamnya yang sangat jauh berbeza dengan dirinya hari ini. Subhanallah, cahaya hidayah itu menerobos pintu hatinya. Mengubah dan membius hati seorang gadis yang sangat lasak, 'nakal' dan 'gila-gila', kepada seorang wanita yang penuh dengan cinta kepada yang Esa. Kehidupannya terus berubah perlahan-lahan kepada jalan fitrah penciptaannya, sehinggalah bertemu jodoh dengan lelaki yang tidak kurang hebatnya. Tempat beliau meneduh kasih mendamba cinta ke syurga.

Hari ini saya bertemu beliau untuk kesekian kalinya. Tubuhnya yang kecil itu terlantar di katil hospital. Namun sang suami yang soleh dan penyayang itu, terus sabar menemani dia. Wajah yang dahulu segar, sudah tidak bermaya. Tubuh yang sedia kecil semakin mengecil. Sesekali kelihatan dia mengerang. Barangkali kurang selesa. Sayu hati saya... hati pemuda ini menjadi hiba. Terpapar satu persatu kelincahan sang guru tadi. Tiap patah kata dan tingkahlakunya bermain satu persatu di kotak minda saya. Inilah dia hari ini... di duga dengan sesuatu yang tidak pernah di duga... melihat keadaan kesihatan beliau, benar-benar menginsafkan saya.

Sahabat, tidak pernah kita terbayang suatu hari nanti diri kita berada di tempatnya. Saat itu, segala macam ibadah sunat yang hari ini mampu kita dirikan, kadangkala terpaksa kita tinggalkan. Kalaupun solat yang wajib itu, sudah tiada lagi kenikmatan rukuk dan sujudnya... tiada lagi nikmat berjalan ke surau, tiada lagi nikmat bergelak ketawa, tiada lagi nikmat pergi keusrah, tiada lagi nikmat ke majlis-majlis ilmu, tiada lagi nikmat untuk berpuasa...Allah... segalanya semacam hilang sekelip mata.

Lebih parah lagi, bila mengenangkan semula nikmat yang masih ada pada hari ini.. terlalu banyak pula yang dibazirkan, terlalu banyak pula yang dicuaikan, bahkan kadangkala tidak keterlaluan untuk mengakui ianya disalah gunakan...Allahuakhbar...Astaghfirullah ya Allah... sungguh hamba Mu ini cuai dan tidak pandai bersyukur... andai kata terlantar nya kita sakit suatu hari nanti, mungkin sempat lagi untuk mensucikan diri... dihapuskan segala dosa dengan kesakitan itu, bahkan dijauhkan pula dari mencuaikan nikmat yang tertentu... tetapi... andai terus dijemput pergi... masihkah punya harapan lagi???

Sugguh saya merasa sangat hina.. bahkan tidak mampu saya luahkan disini... Semoga Allah SWT mengurniakan yang terbaik untuk guru saya tadi, diberikan kebaikan disebalik kesengsaraan yang dihadapi... dihidupkan dalam iman, dimatikan dalam iman, dikumpulkan bersama-sama orang beriman dan dimasukkan ke dalam Jannah bersama-sama orang yang beriman... Amin ya Rabbal 'alamin...

No comments:

Post a Comment