Monday, January 6, 2014

Hatta Saydatina A’isyah juga seorang yang cemburu

Kadangkala melihat gelagat sang isteri membuatkan saya tersenyum panjang. Ya…sangat panjang sehingga teringat kembali kisah ummul mukminin yang jelita si Humayra’. Betapa bahagianya Rasulullah SAW mempunyai seorang isteri yang kuat cemburunya, yang mana menjadi lambang manisfestasi cinta yang suci kepada insan yang Agung. A’isyah satu-satunya isteri yang perawan lagi indah di mata Rasulullah SAW. Maka tidak hairanlah beliau dipanggil dengan nama Humayra’, nisbah kepada kulitnya yang seperti bunga, putih kemerah-merahan.

Kecemburuan A’isyah tidak sekali, tetapi berkali-kali. Terlalu banyak kisah berkaitan beliau yang menjadi suri tauladan kepada para isteri hari ini. Salah satunya, ada satu ketika setelah tidur tenang bersama suaminya, A’isyah terjaga dari tidurnya. Tiba-tiba dilihat Rasulullah SAW sudah tiada di sisi. Hatinya berasa amat curiga, sehingga menyala-nyala segala macam prasangka. Sepantas itu juga naluri kewanitaannya di uji, bimbang-bimbang si suami pergi menemui isteri yang lain. Di carinya Rasullullah SAW dan bertemu juga akhirnya di Masjid. Lalu Rasulullah SAW memberi penjelasan dan mencela apa yang dipersangkakan .

Kecemburuan A’isyah bukan sahaja kepada para isteri Rasulullah SAW yang hidup bersamanya, bahkan kadangkala melangkaui insan mulia Siti Khadijah yang sangat dikasihi banginda. Ini kerana, Rasulullah SAW selalu menyebutkan kebaikan Khadijah dan melayan baik sahabat-sahabatnya hatta setelah tiada. A’isyah kadangkala terpukul dengan api cemburu buta atas kasihnya baginda Rasulullah kepada Khadijah. Begitulah beliau yang mana kecemburuannya tidak lain merupakan bukti cinta dan kasih yang besar kepada Rasulullah SAW.

Begitu juga Rasulullah SAW, kecintaannya kepada A’isyah juga amat mendalam sehingga ketika ditanya Amr ibn al-Ash siapakah orang yang paling baginda cintai, tanpa ragu baginda menjawab; “A’isyah!”.

Begitulah tauladan asam garam dalam rumah tangga. Dalam manis ada pahitnya, dan dalam pahit kadangkala itulah ubatnya. Para wanita itu ibarat angin. Saat sepoi-sepoi bertiup, terlena juga dibuatnya. Tapi barangkali akan tiba saat ribut dan taufan melanda, maka gagahlah si lelaki mencari pautannya. Para suami pula sesekali mencari ‘gua’. Bertukar tiba-tiba menjadi si ashabul kahfi. Kadangkala ada baiknya terutama apabila ribut melanda, maka gua lah tempat terbaik untuk berlindung diri. Itulah ragam cuaca berumah tangga…

OK, berpijak semula di bumi nyata, sungguh tak disangka isteri saya cemburu dengan hanya satu panggilan telefon. Umpama Saydatina A’isyah, wajahnya masam mencuka. Cemburu sang suami berbual dengan orang lain walaupun atas urusan tertentu, dan yang pasti si isteri memiliki segala keindahan yang tiada pada orang tersebut. Dari segi usianya, paras rupanya, akhlaknya, agamanya dan segala-galanya. Dan kadangkala dia cemburu bila sebahagian masa si suami diambil atas tuntutan dakwah, tarbiyyah, belajar mahupun kerja. Dan sesekali dia bertanya, “ada orang duduk kat sit sebelah abang ke???”… atau “abang keluar dengan siapa?”…etc2.. Satu pengajaran yang amat berharga buat sang suami…ya… hatta Si Humayra’ kadangkala cemburuan jua…

Buat ‘A’isyah’ ku, terlalu jauh nak dibanding diri yang hina ini dengan kekasih Allah yang agung… Tetapi barangkali inilah kerdipan cinta, suatu ibrah dari Rasul yang mulia…J

(Sila nyanyi dengan nada Rabbani…)

Hidayah
Kerlipan cipta cinta ku…
Harum rembulan mawar
Dingin di hakis cinta keseorangan…
 Aku
Masih menghitung diri
Kesiangan yang panjang
Ingin mengisi hati….
 PadaMu kasih
Satukan aku
Dengan rahmat-Mu
Dengan kalimah
Malam siangku
Berliku-liku
Duri dugaan
Siratan cinta
 Biar di jemala mentari
Dan di bahu gunung berapi
Pasrah abadi ku untuk mu
Untuk mu…
Ku kembara setia disisinya
Ku inginkan bahagia abadi
Ku impikan sentosa naungannya
Selamanya…
  

Saturday, January 4, 2014

Benz Ali itu bukan seorang...

Bismillahirahmanirahim…

Segala puja dan puji untuk Allah dan semoga setiap pujian yang diberikan kepada kita membuatkan kita semakin malu, bahawa semua ini pinjaman belaka. Dan semoga dengan itu bertambah-tambahlah syukur kita kerana Allah SWT telah menutup segala macam kejelekan pekerti kita. Bukankah kita di puji kerana Allah yang menutupi semua kekurangan diri? Dan semoga segala penghinaan manusia tidak membuatkan luluh hati kita. Kerana penghinaan orang kepada kita, jauh lebih sederhana berbanding hinanya diri kita yang sebenar-benarnya.

Sengaja letak namanya sebagai tajuk dengan harapan beliau terjumpa...

Tiadalah siapa diri ini untuk menilai manusia kerana yang pasti tiada siapa yang boleh menghukum melainkan atas landasan yang haq dan sebenar-benarnya. Terlintas dengan sebuah video yang merakamkan seorang pemuda yang lantang bersuara. Jiwa mudanya penuh dengan semangat dan cita-cita. Gayanya tak ubah seperti melempiaskan segala macam kebingungan di minda. Ya, dia sedang bingung dan dalam kesamaran. Tetapi jiwa mudanya meronta-ronta mahukan penjelasan dalam bentuk yang kononnya menjelaskan.

Idea dan apa yang dimindanya jelas dalam kesamaran. Segalanya bagai tiada logika, bahkan dilihat sebagai karut marut belaka. Dunia pula saling tuduh menuduh oleh mereka yang mendakwa diatas landasan kebenaran, sedang musuh sebenar sedang memacu kejayaan demi kejayaan dalam bentuk materialisma. Maka dimanakah kebenaran itu? Beliau juga keliru dengan mereka yang melaksanakan agama dan yang meritualkan agama. Juga melihat tiada kaeadilan dalam memperjuangkan keadilan. Kononnya diskriminasi kemanusiaan atas nama agama. Beliau aneh dengan nas-nas dan janji-janji akhir zaman. Bahkan mungkin boleh saya katakan beliau keliru dengan diri beliau sendiri.

Jiwa mudanya mahukan jawapan segera! Maka tiadalah ilmu yang pantas melainkan dengan fikiran logika. Bacaannya juga barangkali separuh-separuh sahaja. Mana yang rasa membela ideologi logikanya akan dikutip dan dititp sewenangnya. Kasihan Syed Qutb yang dipergunakan namanya walaupun ada benar pada faktanya dengan memetik isi buku ‘Petunjuk Sepanjang jalan’. Islam itu praktikal pada asasnya, tetapi barangkali beliau terlupa hujah Syed Qutb tentang kalimah Toyyibah yang beliau kritik pada awalnya.

Dalam buku Manhaj Hidup Muslim, bab yang ke-12 penulisan Syed Qutb dengan jelas beliau menyatakan pengabdian diri kepada Allah merupakan AKAR TUNJANG dan RUKUN PERTAMA dalam Aqidah Islamiyyah yang dijelmakan dalam pengakuan ‘Laaillaahaillallah’. Manakala menerima segala pengajaran daripada Rasullullah SAW mengenai cara menjalankan dan melaksanakan pengabdian itu merupakan bahagian kedua yang dijelmakan dalam kalimah ‘Muhammadurrasulullah’. Nah, segala amal walaupun menurut segala kebaikan Rasulullah (sebagai contoh menolong orang susah), tanpa akar tunjang yang pertama, apalah guna melainkan sekadar nilai manusiawi semata. 

Fakta ini lah yang menghantui pemikiran beliau pada dasarnya. So… Mahathir masuk syurga… yang kafir-kafir pejuang keadilan tu masuk neraka kerana dua kalimah ini bukanlah soalan yang tidak pernah dijawab dahulunya. Hakikatnya tiada siapa yang boleh menjamin Mahathir kesyurga dan mereka yang non-Muslim itu telah pasti-pasti tempatnya ke neraka kerana tiadalah siapa yang tahu akidah dan pentauhidan mereka di akhir usia, atau apa sebenar-benarnya yang mereka imani di akhirnya.

Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang panjang yang diakhirnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Maka demi Allah yang tidak ada Tuhan selainnya, sesungguhnya seorang kamu mengerjakan dengan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan Antara syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka, maka masuklah ia kedalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan dengan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dengan neraka melainkan sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli syurga, maka masuklah ia kedalamnya (Riwayat Bukhari dan Muslim)”

Pertama, yang perlu diketahui, seseorang tidak akan menjadi seorang Muslim tanpa memiliki pengetahuan, kerana Islam tidak diperoleh dengan keturunan sebagaimana bangsa. Pengetahuan yang bagaimana? Sudahpastinya pengetahuan tentang hubungan dirinya dengan Pencipta dan tatacara hidup yang harus dijalaninya dimuka bumi ini atas petunjuk Rasulullah SAW. Satu perumpamaan yang paling baik adalah seperti dua orang yang memasuki satu kebun. Salah seorang daripadanya kenal dengan si pemilik kebun, bertemu dengan penjaganya, dan belajar segala selok belok bertani yang dimahukan. Seorang lagi terus meluru kedalam kebun, dicapai cangkul dan dijarah tanah sesuka hatinya walaupun dia pernah mendengar tentang pemiliknya. Akhirnya orang yang pertama pastinya diganjari dan disayangi atas usahanya yang benar dan orang kedua dimarahi bahkan di halau keluar tanpa sedikit pun bayaran. Tetapi seandainya ada orang ketiga yang tidak tahu menahu tentang pemilik kebun, lalu diusahan  tanah tanpa sebarang pengetahuan, bahkan menyangka ianya tanah terbiar, layakkah beliau juga dimarahi? Ya, kalau inilah logik yang dimahukan.

Terlalu banyak jika mahu dihujahkan tentang perjuangan Palestin, Rohingya dan sebagainya. Juga tentang Syiah, Muktazillah dan lain-lainya. Tetapi hujah-hujah ini akan menjadi sia-sia. Kerana satu perkara yang besar perlu si pemuda itu selesaikan dalam dirinya, iaitu membina kefahaman yang benar dan sahih tentang Islam seandainya beliau benar mengaku seorang Muslim. Atau paling tidak, carilah kebenaran itu dengan ikhlas seikhlas-ikhlasnya. Jika tidak, segala hujah menjadi sia-sia kerana apabila kebenaran yang terlihat itu sengaja ditutupi dengan logik akal yang serba terbatas, maka umpama dua makhluk yang bertutur dalam dua bahasa yang berbeza. Setara mana akal manusia ini? Itu pun belum tentu kita ada jawapannya, sedang laras bahasa kita bukan lagi tertuju pada manusia, tetapi angkuh dengan Pencipta.

Nasihat saya, elakkan daripada terperangkap dalam ideologi teori transcendent unity of religion, suatu fahaman yang dahulunya dikenali sebagai wahdat al adyan. Fahaman ini bukan sekadar mencemar minda anak-anak muda yang masih meraba-raba, bahkan dibincangkan oleh tokoh intelektual yang mengaku Muslim dan yang Non-Muslim. Jauhkan diri daripada pluralisme agama yang penuh dengan andaian-andaian. Suatu pemikiran yang mentafsirkan reality dan kebenaran pada rasionalisme yang kononnya murni. Sungguh deen ini bukanlah sesuatu yang manusia ciptakan, tidak bersifat subjektif dan personal.

Saya bukanlah orang yang terbaik untuk berbahas dan membincangkan perkara ini bahkan ada yang jauh lebih faqih dari ilmu dan penguasaannya. Lebih jernih mata hatinya, dan lebih tepat pandangannya. Semoga jalan kebenaran itu dibentangkan kepada kita bersama. Ameen...

Oh ya, saya pun tidak hafal banyak ayat quran, tetapi yang pasti dalam ayat Al Quran Allah SWT bagitahu hidup ini ujian..ujian...ujian...