Bismillahirahmanirahim…
Segala puja dan puji untuk Allah
dan semoga setiap pujian yang diberikan kepada kita membuatkan kita semakin
malu, bahawa semua ini pinjaman belaka. Dan semoga dengan itu
bertambah-tambahlah syukur kita kerana Allah SWT telah menutup segala macam
kejelekan pekerti kita. Bukankah kita di puji kerana Allah yang menutupi semua
kekurangan diri? Dan semoga segala penghinaan manusia tidak membuatkan luluh
hati kita. Kerana penghinaan orang kepada kita, jauh lebih sederhana berbanding
hinanya diri kita yang sebenar-benarnya.
Sengaja letak namanya sebagai tajuk dengan harapan beliau terjumpa...
Sengaja letak namanya sebagai tajuk dengan harapan beliau terjumpa...
Tiadalah siapa diri ini untuk
menilai manusia kerana yang pasti tiada siapa yang boleh menghukum melainkan
atas landasan yang haq dan sebenar-benarnya. Terlintas dengan sebuah video yang
merakamkan seorang pemuda yang lantang bersuara. Jiwa mudanya penuh dengan
semangat dan cita-cita. Gayanya tak ubah seperti melempiaskan segala macam
kebingungan di minda. Ya, dia sedang bingung dan dalam kesamaran. Tetapi jiwa
mudanya meronta-ronta mahukan penjelasan dalam bentuk yang kononnya
menjelaskan.
Idea dan apa yang dimindanya
jelas dalam kesamaran. Segalanya bagai tiada logika, bahkan dilihat sebagai
karut marut belaka. Dunia pula saling tuduh menuduh oleh mereka yang mendakwa
diatas landasan kebenaran, sedang musuh sebenar sedang memacu kejayaan demi
kejayaan dalam bentuk materialisma. Maka dimanakah kebenaran itu? Beliau juga
keliru dengan mereka yang melaksanakan agama dan yang meritualkan agama. Juga
melihat tiada kaeadilan dalam memperjuangkan keadilan. Kononnya diskriminasi
kemanusiaan atas nama agama. Beliau aneh dengan nas-nas dan janji-janji akhir
zaman. Bahkan mungkin boleh saya katakan beliau keliru dengan diri beliau
sendiri.
Jiwa mudanya mahukan jawapan
segera! Maka tiadalah ilmu yang pantas melainkan dengan fikiran logika.
Bacaannya juga barangkali separuh-separuh sahaja. Mana yang rasa membela
ideologi logikanya akan dikutip dan dititp sewenangnya. Kasihan Syed Qutb yang
dipergunakan namanya walaupun ada benar pada faktanya dengan memetik isi buku ‘Petunjuk
Sepanjang jalan’. Islam itu praktikal pada asasnya, tetapi barangkali beliau
terlupa hujah Syed Qutb tentang kalimah Toyyibah yang beliau kritik pada
awalnya.
Dalam buku Manhaj Hidup Muslim,
bab yang ke-12 penulisan Syed Qutb dengan jelas beliau menyatakan pengabdian
diri kepada Allah merupakan AKAR TUNJANG dan RUKUN PERTAMA dalam Aqidah
Islamiyyah yang dijelmakan dalam pengakuan ‘Laaillaahaillallah’. Manakala
menerima segala pengajaran daripada Rasullullah SAW mengenai cara menjalankan
dan melaksanakan pengabdian itu merupakan bahagian kedua yang dijelmakan dalam
kalimah ‘Muhammadurrasulullah’. Nah, segala amal walaupun menurut segala
kebaikan Rasulullah (sebagai contoh menolong orang susah), tanpa akar tunjang
yang pertama, apalah guna melainkan sekadar nilai manusiawi semata.
Fakta ini lah yang menghantui
pemikiran beliau pada dasarnya. So… Mahathir masuk syurga… yang kafir-kafir
pejuang keadilan tu masuk neraka kerana dua kalimah ini bukanlah soalan yang
tidak pernah dijawab dahulunya. Hakikatnya tiada siapa yang boleh menjamin
Mahathir kesyurga dan mereka yang non-Muslim itu telah pasti-pasti tempatnya ke
neraka kerana tiadalah siapa yang tahu akidah dan pentauhidan mereka di akhir
usia, atau apa sebenar-benarnya yang mereka imani di akhirnya.
Hal ini sebagaimana yang
disebutkan dalam sebuah hadith yang panjang yang diakhirnya Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud;
“Maka demi Allah yang tidak ada Tuhan selainnya, sesungguhnya seorang kamu mengerjakan dengan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan Antara syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka, maka masuklah ia kedalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan dengan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dengan neraka melainkan sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli syurga, maka masuklah ia kedalamnya (Riwayat Bukhari dan Muslim)”
Pertama, yang perlu diketahui,
seseorang tidak akan menjadi seorang Muslim tanpa memiliki pengetahuan, kerana
Islam tidak diperoleh dengan keturunan sebagaimana bangsa. Pengetahuan yang
bagaimana? Sudahpastinya pengetahuan tentang hubungan dirinya dengan Pencipta
dan tatacara hidup yang harus dijalaninya dimuka bumi ini atas petunjuk
Rasulullah SAW. Satu perumpamaan yang paling baik adalah seperti dua orang yang
memasuki satu kebun. Salah seorang daripadanya kenal dengan si pemilik kebun,
bertemu dengan penjaganya, dan belajar segala selok belok bertani yang
dimahukan. Seorang lagi terus meluru kedalam kebun, dicapai cangkul dan dijarah
tanah sesuka hatinya walaupun dia pernah mendengar tentang pemiliknya. Akhirnya
orang yang pertama pastinya diganjari dan disayangi atas usahanya yang benar dan
orang kedua dimarahi bahkan di halau keluar tanpa sedikit pun bayaran. Tetapi
seandainya ada orang ketiga yang tidak tahu menahu tentang pemilik kebun, lalu
diusahan tanah tanpa sebarang
pengetahuan, bahkan menyangka ianya tanah terbiar, layakkah beliau juga
dimarahi? Ya, kalau inilah logik yang dimahukan.
Terlalu banyak jika mahu
dihujahkan tentang perjuangan Palestin, Rohingya dan sebagainya. Juga tentang
Syiah, Muktazillah dan lain-lainya. Tetapi hujah-hujah ini akan menjadi
sia-sia. Kerana satu perkara yang besar perlu si pemuda itu selesaikan dalam
dirinya, iaitu membina kefahaman yang benar dan sahih tentang Islam seandainya
beliau benar mengaku seorang Muslim. Atau paling tidak, carilah kebenaran itu
dengan ikhlas seikhlas-ikhlasnya. Jika tidak, segala hujah menjadi sia-sia
kerana apabila kebenaran yang terlihat itu sengaja ditutupi dengan logik akal
yang serba terbatas, maka umpama dua makhluk yang bertutur dalam dua bahasa
yang berbeza. Setara mana akal manusia ini? Itu pun belum tentu kita ada
jawapannya, sedang laras bahasa kita bukan lagi tertuju pada manusia, tetapi
angkuh dengan Pencipta.
Nasihat saya, elakkan daripada
terperangkap dalam ideologi teori transcendent
unity of religion, suatu fahaman yang dahulunya dikenali sebagai wahdat al
adyan. Fahaman ini bukan sekadar mencemar minda anak-anak muda yang masih meraba-raba,
bahkan dibincangkan oleh tokoh intelektual yang mengaku Muslim dan yang
Non-Muslim. Jauhkan diri daripada pluralisme agama yang penuh dengan
andaian-andaian. Suatu pemikiran yang mentafsirkan reality dan kebenaran pada
rasionalisme yang kononnya murni. Sungguh deen ini bukanlah sesuatu yang
manusia ciptakan, tidak bersifat subjektif dan personal.
Saya bukanlah orang yang terbaik untuk berbahas dan membincangkan perkara ini bahkan ada yang jauh lebih faqih dari ilmu dan
penguasaannya. Lebih jernih mata hatinya, dan lebih tepat pandangannya. Semoga
jalan kebenaran itu dibentangkan kepada kita bersama. Ameen...
Oh ya, saya pun tidak hafal banyak ayat quran, tetapi yang pasti dalam ayat Al Quran Allah SWT bagitahu hidup ini ujian..ujian...ujian...
Oh ya, saya pun tidak hafal banyak ayat quran, tetapi yang pasti dalam ayat Al Quran Allah SWT bagitahu hidup ini ujian..ujian...ujian...
No comments:
Post a Comment