Monday, January 6, 2014

Hatta Saydatina A’isyah juga seorang yang cemburu

Kadangkala melihat gelagat sang isteri membuatkan saya tersenyum panjang. Ya…sangat panjang sehingga teringat kembali kisah ummul mukminin yang jelita si Humayra’. Betapa bahagianya Rasulullah SAW mempunyai seorang isteri yang kuat cemburunya, yang mana menjadi lambang manisfestasi cinta yang suci kepada insan yang Agung. A’isyah satu-satunya isteri yang perawan lagi indah di mata Rasulullah SAW. Maka tidak hairanlah beliau dipanggil dengan nama Humayra’, nisbah kepada kulitnya yang seperti bunga, putih kemerah-merahan.

Kecemburuan A’isyah tidak sekali, tetapi berkali-kali. Terlalu banyak kisah berkaitan beliau yang menjadi suri tauladan kepada para isteri hari ini. Salah satunya, ada satu ketika setelah tidur tenang bersama suaminya, A’isyah terjaga dari tidurnya. Tiba-tiba dilihat Rasulullah SAW sudah tiada di sisi. Hatinya berasa amat curiga, sehingga menyala-nyala segala macam prasangka. Sepantas itu juga naluri kewanitaannya di uji, bimbang-bimbang si suami pergi menemui isteri yang lain. Di carinya Rasullullah SAW dan bertemu juga akhirnya di Masjid. Lalu Rasulullah SAW memberi penjelasan dan mencela apa yang dipersangkakan .

Kecemburuan A’isyah bukan sahaja kepada para isteri Rasulullah SAW yang hidup bersamanya, bahkan kadangkala melangkaui insan mulia Siti Khadijah yang sangat dikasihi banginda. Ini kerana, Rasulullah SAW selalu menyebutkan kebaikan Khadijah dan melayan baik sahabat-sahabatnya hatta setelah tiada. A’isyah kadangkala terpukul dengan api cemburu buta atas kasihnya baginda Rasulullah kepada Khadijah. Begitulah beliau yang mana kecemburuannya tidak lain merupakan bukti cinta dan kasih yang besar kepada Rasulullah SAW.

Begitu juga Rasulullah SAW, kecintaannya kepada A’isyah juga amat mendalam sehingga ketika ditanya Amr ibn al-Ash siapakah orang yang paling baginda cintai, tanpa ragu baginda menjawab; “A’isyah!”.

Begitulah tauladan asam garam dalam rumah tangga. Dalam manis ada pahitnya, dan dalam pahit kadangkala itulah ubatnya. Para wanita itu ibarat angin. Saat sepoi-sepoi bertiup, terlena juga dibuatnya. Tapi barangkali akan tiba saat ribut dan taufan melanda, maka gagahlah si lelaki mencari pautannya. Para suami pula sesekali mencari ‘gua’. Bertukar tiba-tiba menjadi si ashabul kahfi. Kadangkala ada baiknya terutama apabila ribut melanda, maka gua lah tempat terbaik untuk berlindung diri. Itulah ragam cuaca berumah tangga…

OK, berpijak semula di bumi nyata, sungguh tak disangka isteri saya cemburu dengan hanya satu panggilan telefon. Umpama Saydatina A’isyah, wajahnya masam mencuka. Cemburu sang suami berbual dengan orang lain walaupun atas urusan tertentu, dan yang pasti si isteri memiliki segala keindahan yang tiada pada orang tersebut. Dari segi usianya, paras rupanya, akhlaknya, agamanya dan segala-galanya. Dan kadangkala dia cemburu bila sebahagian masa si suami diambil atas tuntutan dakwah, tarbiyyah, belajar mahupun kerja. Dan sesekali dia bertanya, “ada orang duduk kat sit sebelah abang ke???”… atau “abang keluar dengan siapa?”…etc2.. Satu pengajaran yang amat berharga buat sang suami…ya… hatta Si Humayra’ kadangkala cemburuan jua…

Buat ‘A’isyah’ ku, terlalu jauh nak dibanding diri yang hina ini dengan kekasih Allah yang agung… Tetapi barangkali inilah kerdipan cinta, suatu ibrah dari Rasul yang mulia…J

(Sila nyanyi dengan nada Rabbani…)

Hidayah
Kerlipan cipta cinta ku…
Harum rembulan mawar
Dingin di hakis cinta keseorangan…
 Aku
Masih menghitung diri
Kesiangan yang panjang
Ingin mengisi hati….
 PadaMu kasih
Satukan aku
Dengan rahmat-Mu
Dengan kalimah
Malam siangku
Berliku-liku
Duri dugaan
Siratan cinta
 Biar di jemala mentari
Dan di bahu gunung berapi
Pasrah abadi ku untuk mu
Untuk mu…
Ku kembara setia disisinya
Ku inginkan bahagia abadi
Ku impikan sentosa naungannya
Selamanya…
  

No comments:

Post a Comment