Saturday, March 8, 2014

Cemburu


"Saya cemburu dengan mereka kerana kelebihan meraka..."

Jika anda punya rasa cemburu yang sama, dan sebelum cemburu menjadi racun berbisa, nah ini saya kongsikan sekelumit pandangan saya. 

Setiap daripada kita dikurniakan dengan rezeki dan kelebihan masing-masing. Ada yang pandai mengarang, pandai melukis, pandai berkata-kata, pandai berbahasa, pandai matematik, atlet sukan yang hebat, hebat bertukang, pakar bermain muzik, bahkan pandai agama...

Dalam dunia pendidikan dan psikologi, kelebihan-kelebihan insan ini terangkum dalam kepandaian atau kecerdikan yang berbeza-beza.  Dalam Bahasa Inggerisnya dipanggil 'Multiple Intelligences'. Dalam skala kebolehan yang sangat mencapah, kebanyakan  individu akan menguasai satu atau beberapa kepandaian lebih dari yang lainnya.  Maka dengan itu tidak ada siapa pun didunia ini yang tidak punya kecerdasan dan ini menjadikan setiap insan  atau manusia itu istimewa. 

Teori keistimewaan insan itu kadangkala juga dikelaskan oleh sebahagian ahli biologi dalam bentuk susuk tubuh yang berbeza. Terdapat tiga jenis golongan iaitu endomorph, ectomorph, dan mesomorph. Golongan 'endomorph' merupakan manusia yang bertubuh gempal dan rendah. Mereka gemar bersosial, makan, dan mempunyai falsafah hidup yang mudah. Jenis 'ectomorph' pula ialah mereka yang kurus dan lemah lembut. Mereka mudah merajuk, sensitif,  dan tidak pandai bersosial. Manakala jenis susuk yang terakhir pula adalah 'mesomorph' yang tegap dan kuat. Pun begitu mereka  mudah resah, banyak tenaga dan tidak begitu sensitif. 

Jika berbalik kepada pandangan ahli biologi tadi, golongan mesomorph lah yang selalu bertingkah laku devian dan ganas. Pada pandangan saya sifat-sifat ini merupakan sifat umum fizikal dan perkaitannya dengan tingkahlaku.  Namun hal ini boleh bersilang dan ini merupakan pandangan umum seorang educationist seperti saya. Jika tidak, mana mungkin seorang 'mesomorph' seperti Saidina Umar boleh ditarbiyyah menjadi insan hebat untuk agama. 

Dalam beragam rupa manusia yang Allah ciptakan inilah kita dapat hidup bersama, harmoni dan menjadi bukti bahawa kita  saling memerlukan antara satu sama lain. Hidup ini tidak indah dengan manusia yang 'monotenous'. Bahkan mustahil kalau-kalau boleh wujud kehidupan seperti itu didunia. Dengan berbeza inilah kadangkala kita membenci dan dengannya juga kita bisa mencintai. Dengannya juga kita belajar  menerima dan memberi, melindungi dan dilindungi, menasihati dan dinasihati. Bahkan lebih dari itu, hakikatnya kita sedang saling melengkapi.Indahnya dunia kerana berbezanya kita!

Namun begitu perbezaan itu kadangkala menimbulkan rasa cemburu. Cemburu untuk menyamai, cemburu untuk menyaingi, cemburu untuk memiliki. Persoalannya, apakah cemburu pada kelebihan insan lain itu salah pada sisi agama, atau tidak kena pada norma nilai universal kita? Saya sendiri merasai cemburu dengan kelebihan orang lain. Cemburu kerana tidak boleh menyamai atau menjadi seperti sahabat-sahabat saya. Cemburu kepada segala macam kurniaan bakat, kebaikan dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
Dan ini tidak mendatangkan sekelumitpun benci kepada mereka bahkan malu dengan diri sendiri yang tidak seberapa.

Justeru itu sifat cemburu ini seharusnya menuntun kita;

  1. untuk merasa rendah diri
  2. untuk mengenal potensi sendiri
  3. untuk memperbaiki diri kearah yang lebih baik
  4. untuk bersaing secara sihat
  5. untuk membuang sifat sombong dan yang sekutu dengannya
  6. untuk memuji kelebihan kurniaan Pencipta


...Saya yakin hidup ini perlu luar biasa dan bukan biasa-biasa. Mari mencari kelebihan kita dan tanya pada diri "Dimanakah dia kecerdasan saya?"

Jika masih belum bertemu jawapannya, paling tidak tukarlah perasaan cemburu itu dengan bangga. Ya, kita berhak berasa bangga kerana punya saudara atau teman atau rakan sekerja yang hebat dan berbakat besar! 

Bangga kerana dia merupakan sebahagian daripada hidup kita!

Saya cemburu giler dgn mamat ni: pandai nyanyi, goal keeper mantop,
hampir cemerlang dalam semua sukan (pingpong, tenis, berenang, bola sepak),
pandai melukis, kartunis, aktivis palestin tegar, bawak adik2 usrah mantop yang
pernah saya bawak dulu (adik2 tu pun semakin mantop)
dan seorang yang ramah giler dengan orang ramai...
.
.
.
Saya tak mampu buat semua yang beliau buat membuatkan
saya bangga kerana beliau sudi berkawan dengan orang biasa seperti saya!










  

No comments:

Post a Comment