Wednesday, March 26, 2014

Saya bosan dengan DOSA!


Ilmu adalah cahaya yang menyuluh kedalam diri. Umpama matahari yang menyinar dibumi, begitulah cahaya ilmu yang menerangi akal dan hati. Tanpa cahaya tiada kehidupan, maka pastilah yang tinggal hanyalah kegelapan dan kematian. Dalam pencarian ilmu manusia bisa tersimpang dari pelbagai jalan. Sungguh kerana itu, mencintai ilmu belum tentu membawa seseorang kepada kebenaran dan kebesaran Tuhan. Atau kadangkala melencong dari jalan ilmu yang lurus itu kerana sikap dan peribadi sendiri. Suka kepada pemberontakan, mahu mencuba-cuba, merasa besar diri, sikap ananiah atau keakuan atau mungkin sekadar terhasut dengan nafsu dan pujuk rayu syaitan.

Tersimpang dari jalan ilmu yang lurus membawa kita jauh lari dari hikmah. Apakah hikmah itu? Hikmah merupakan ilmu yang darinya berbuah amalan. Hikmah itu menjadikan seseorang adil dengan keadaan. Kerana itu gelaran hakim diberi kepada para pembuat pengadilan. Hilangnya hikmah dalam pengadilan maka terungkailah istilah 'al-Hakim' itu dan pasti hanya boneka dan pakaian. Hikmah juga pada tindakan atau cara yang tepat dalam waktu dan keadaan yang bersesuaian. Sehingga bagi golongan da'i, hikmah itu merupakan satu tuntutan.

Sedang ilmu itu menjadi makanan akal, maka dengan  hikmah membuatkan ianya lekat di hati, berbuah pada peribadi. Terdapat tiga pembolehubah disini; akal-hati-peribadi.

Seandainya matlamat akhir dalam pencari ilmu adalah kepada pengamalan yang menurut Sunnah dan ajaran Rasulullah s.a.w, maka pintu akal dan hati tidak boleh disekat apatah lagi ditutupi. Namun hari ini ramai orang punya ilmu, tahu serba serbi. Namun akhlak yang terpancar amat-amatlah keji. Hakikatnya semua tahu ilmu itu adalah cahaya, dan seharusnya sifat cahaya menerangi. Maka kegelapan apakah yang menghilangkan cahaya tadi?

Allahurabbi, semakin takut apabila merenungi diri. Sungguh diri saya yang kerdil ini punya sangat sedikit ilmu. Tetapi dengan yang sedikit itu terlalu banyak yang ditinggalkan bahkan ada sahaja yang dilanggari. Bayangkan pula lautan ilmu yang ditimba selama ini, dengan kemampuan dan keupayaan kita masing-masing? maka kegelapan apakah yang terlalu dasyat sehingga membuatkan hati itu terlalu keras dan membatu seperti mahu mati? T.T

Sekali lagi, dengan ilmu kita, iaitu saya dan anda, semua tahu jawapannya... tidak lain adalah kerana dosa. Dosa adalah titik-titik hitam yang meliputi hati dari cahaya hidayah. Terlalu banyak dosa-dosa yang kita lakukan sehingga hati kita menjadi terlalu kebal dengan kelazatan dosa. Dosa yang diulang-ulang, dosa yang tidak disusuli taubat kepada Illahi dan dosa-dosa yang kita bersenang dengannya dari hari ke hari. Maka tiadalah harapan yang lebih tinggi melainkan untuk kembali sebenar-benarnya kepada Illahi.

Ya Allah semoga hikmah itu menjadi milik kami, para pendosa yang mahu kembali...

 ”Allah menganugrahkan AL- HIKMAH  kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugrahi AL-HIKMAH itu, ia benar-benar telah dianugrahi KARUNIA yang BANYAK. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran.” (QS Al Baqarah : 269)




Ya...saya bosan dengan dosa!

No comments:

Post a Comment