Handphone bergetar menerima satu pesanan ringkas.
“InsyaAllah, meeting hari ini start pukul 8.00pm.”
Tik…tik…tik… jam tepat menunjukkan pukul 8.00 malam. Setengah jam kemudian seorang demi seorang, demi seorang, demi seorang datang memenuhkan ruang.
Jam menunjukkan tepat pukul 9.00 malam. Hoyea! Meeting pun bermula! Gedebuk gedebak gedebuk gedebak…meeting berakhir jam 1.00 pagi.
Ini cumalah satu contoh dari sekian banyak kes yang serupa. Kita terlalu mengambil mudah dengan masa sehinggakan kelewatan pada masa bukan suatu dosa dan masalah penting untuk diselesaikan. Jarang sekali ada penyesalan mahupun kata-kata maaf kepada yang ‘membazirkan’ masa untuk tiba awal, dan pulang lewat gara-gara diri kita yang sengaja melengah-lengahkan masa. Membazir masa sudah menjadi budaya dan meresap dalam jiwa kemelayuan kita!
Masa jangan sia-sia!
Al-Quran dan hadith banyak membicarakan tentang masa. Surah Al-‘Ashr umpamanya menunjukkan bahawa Allah SWT bersumpah dengan masa. Kerana apa? Justeru kerana terdapat terlalu banyak pengajaran di dalamnya dalam kehidupan manusia. Tidakkah kita perhatikan pada siang dan malam yang saling menyusul? Pada kesenangan dan kesusahan? Kebahagian dan kesedihan? Sihat dan sakit? Takut dan aman? Bahkan kepada setiap pasangan dalam penciptaan alam ini, bergilir-gilir peredarannya kerana campur tangan masa. Juga disetiap perkara dan pergiliran masa itu ada Tuhan yang menciptakan, memerhatikan setiap tingkahlaku, menilai keimanan dan kesyukuran kita atas nikmat yang silih berganti.
Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur… -Al-Furqan: 62-
Sungguh rugi orang yang mensia-siakan masa. Tidakkah kita saksikan bahawa syi’ar Islam terlalu mengagungkan masa? Syeikh Yusuf Qaradawi dalam buku beliau menyatakan setiap fardhu yang terdapat dalam ajaran Islam semuanya membuktikan bertapa pentingnya detik-detik peredaran masa. Dari detik melaungkan azan dan solat, puasa, zakat, haji semuanya mempunyai ketentuan masa yang memberi kesan kepada kehidupan akhirat yang abadi.
Menurut Syeikh Yusuf Qaradawi lagi, mensia-siakan masa sendiri dan orang lain merupakan suatu wabak yang berbahaya terhadap ummat ini. Ada beberapa gejala yang boleh dikesan pada mereka yang suka mensia-siakan masa. Andai kata terkena pada kita, maka sama-sama kita koreksi diri. Antaranya saya ringkaskan sebagaimana berikut;
1. Lalai –Tidak peduli dengan peredaran masa dan pengajaran dari setiap yang berlaku
2. Menangguh – Terlalu gemar dengan istilah “Nanti dulu”
3. Cuai – Kerja yang bertangguh mengakibatkan cuai dalam tugas (terlupa, tak mampu, etc2)
4. Keji masa – Daripada meletakkan kesalahan pada diri, senang hati menunding pada masa.
Dalam karya Muhammad Al-Ghazali, beliau menyatakan masa yang berlalu tidak akan kembali. Ianya bukan seperti barang-barang peribadi kita yang hilang. Paling tidak kita boleh menggantikannya dengan yang baru, bahkan dalam kebanyakan kes diganti pula dengan sesuatu yang jauh lebih baik dari yang lama. Permasalahannya ialah apabila kita tidak nampak akan nilai masa. Andai sahaja digantikan masa dengan mata wang atau emas, setiap yang berakal pasti kikir pada waktu yang dia ada. Andai waktu itu adalah modal kita, maka pelaburannya pasti mengharapkan kepada imbalan dan imbuhan yang lebih sempurna. Peri pentingnya masa ini bukan sahaja disedari oleh sarjana Muslim, bahkan telah disedari dan diaplikasikan oleh masyarakat Jepun dan Barat yang dilihat obses pada materialisme. Mereka tidak melihat imbuhan akhirat pada masa, tetapi dengan masa yang ada mereka sedar ada untung dan ruginya. Pada masa memang ada wang dan emas yang menanti mereka!
Ada apa dengan masa?
Seorang sarjana Barat yang bernama Maxwell dalam bukunya telah menggariskan pelan perancangan perkembangan diri (Plan for Growth). Dalam pelan tersebut, perkara asas yang disebut adalah pengurusan masa setiap jam dan setiap minggu. Ada apa dengan satu jam itu? Menurut beliau, seorang yang menghabiskan satu jam dalam sehari untuk perkara tertentu akan menjadi pakar dalam perkara tersebut dalam tempoh 5 tahun! Sudah pasti kalau kita bisa menangguh masa dengan melewatkannya hatta setengah jam sehari, kita akan menjadi pakar penangguh masa dalam tempoh 10 tahun! Nah… Dan ketika itu kita mungkin berada ditampuk kepimpinan ummah yang sedang sakit dan nazak kerana mempermainkan masa. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Syeikh Yusuf Qardawi sebagai wabak yang merbahaya.
Masa adalah kehidupan
Akhir kata, sungguh dalam mensia-siakan masa itu juga menjejaskan kualiti takwa dan wara’ kita. Ya, bukan maksud saya pada diri saya seorang atau anda yang membaca, tetapi pada kita sebagai ummah keseluruhannya. Dengan mensia-siakan masa, ia akan melemahkan karakter, akhlak, ucapan dan dakwah keseluruhannya. Menjurus pula kepada meringan-ringankan dosa dan mempermudahkan nafsu syahwat yang dihias slogan dan alasan. Lalu kita terus terlena dengan kehidupan yang singkat dan sementara.
Saya menulis kerana cinta...
Dan khusus tulisan ini buat ingatan diri saya yang hina….