Tuesday, April 1, 2014

MH370

Siapa yang tidak bersimpati dengan nasib dan tragedi yang menimpa krew dan penumpang MH370  barangkali sudah tidak punya lagi perasaan. Bahkan mungkin boleh dikatakan hilang nilai sensitiviti sebagai insan yang seharusnya berkasih sayang. Peristiwa kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing itu meruntun sanubari setiap mereka yang mengikuti perkembangannya. Tidak tertahan sebak melihat ibu yang kehilangan anaknya, isteri yang kehilangan suaminya, mereka-mereka yang kehilangan sahabat dan saudara. Hilang, dan hilang tanpa sebarang khabar berita.

Kesedihan itu dikongsi oleh seluruh warga Malaysia, bahkan barangkali sebahagian besar warga dunia. Spekulasi demi spekulasi menyesakkan lagi kejernihan hati dalam melihat peristiwa ini. Namun terus dan terus harapan disandarkan kepada sebuah keajaiban yang tak kunjung tiba. Seperti mana rakyat marhaen yang lain, saya sendiri menjadi sangat terkesan dengan apa yang berlaku. Sekian banyak pengajaran dititip dari hari kehari. Banyak tema-tema dalam peristiwa ini yang diketengahkan dalam media samaada perdana atau media sosial, dan ini antara yang saya perolehi; 

Kudrat Allah SWT yang tiada tandingnya.
Sedang segala kecanggihan abad ini di bawa kepersada dunia anehnya tiada pula segala kemajuan teknologi ini berjaya mencari apatah lagi menyelesaikan misteri ini sehingga ke hari ini. Bahkan andaikata dapat dirungkai sekalipun, ianya sudah memakan masa yang sangat lama dengan usaha yang terlampau dasyat dari segenap negara. Dari kelengkapan ruang angkasa seperti satellite dan segala macam pesawat, kapal-kapal marine dengan radar-radar canggih, hinggalah kepada teknologi kapal selam yang termahal diguna pakai. Kesemuanya akhirnya akur atas limitasi kudrat pencapaian manusia.  

وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ
Kepunyaan Allah lah segala yang ada di langit dan dibumi dan kepada Allah lah dikembalikan segala urusan. (Al Imran; 109)

Memahami konteks ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat dalam al-Quran, semakin ramai yang mula celik mata hati dan nurani bahawa Allah lah sebaik-baik penolong dan tempat kembali. Yang berkuasa dilangit dan dibumi. Allah lah jua Tuhan yang padanya diletakkan harapan dan segala urusan. Kudrat Allah SWT selama ini dibutakan oleh manusia yang egoistik dan materialist. Dibayangi oleh perasaan besar dan bangga diri. 

Bomoh oh bomoh

Fasa keinsafan yang menyenangkan tadi dicemari pula oleh ritual-ritual aneh bomoh yang belagak berani. Tampil pula dengan perasaan angkuh dan sombong diri, seperti tiadalah yang lebih mahir mencari selain dirinya dan konco-konconya. emmm dan alatan-alatan canggihnya... Niat yang murni itu bukanlah lesen besar untuk jalan yang salah. Dari perihal sebahagian masyarakat yang desperate dan jahil pula, merestui tidak tanduk bomoh-bomoh Malaysia ini.  Namun ibrah kejadian ini membuatkan saya dan sebahagian besar masyarakat menyemak kembali alternatif dalam menyelesaikan kemelut yang melanda bahkan semakin ramai yang mula memahami. 

Sedikit pencerahan mudah oleh Ustaz Zaharuddin mungkin boleh dijadikan panduan terutama dalam hal berkaitan perkara ghaib ini;
Perlu difahami bahawa, isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, ramalan perkara yang akan datang, mengetahui sesuatu tentang makhlus halus dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada 3 sumber sahaja. Iaitu :-
a) Al-Quran       
b) Hadith Sohih dan Hasan      
c) Fitrah kejadian alam (sunatullah)
Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Naml ayat 65 : ertinya :
قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ
Ertinya : " Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT" .

Bacaan lanjut disini:
http://zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/465-kesilapan-umat-islam-dalam-kepercayaan-a-aqidah.html

Cinta akan Wathan

Mana mungkin untuk saya tidak mencintai wathan yakni tanah air ini. Disinilah saya dilahirkan dan dibesarkan. Dan sinilah saya 'mendapat' Islam suatu anugerah paling besar dalam kehidupan dan semoga bersama hingga ke alam kematian. Kecintaan ini mendorong saya untuk memperjuangkan diri dan tanah air, mewujudkan ikatan kekeluargaan dalam masyarakat, bahkan merupakan kewajiban yang harus kita pikul bersama-sama. Cinta akan wathan membuatkan saya begitu sedih apabila pemimpin dan keseluruhan rakyatnya dicemuh (Melihat laporan media barat dan China yang menghentam Malaysia dan warganya). Sedih apabila kemampuannya dipertikaikan, bahkan dipandang sinis. Dan dalam kes ini, lebih sedih lagi apabila Islam yang menjadi anutan kebanyakan warganya, pemimpin-pemimpinnya, bahkan pilot yang mengemudi MH370 menjadi bahan cercaan dunia.  

Bak kata seorang sahabat, lihat sahaja pada peristiwa 9/11, tiada siapa yang mempersoalkan kepimpinan Amerika. Tiada siapa yang berani mengusik kelemahan sistem ketenteraannya, bahkan tiada siapa yang mahu menuduh pilot yang merempuh sebagai pengganas. Justeru yang di palit kotorannya pada Muslim. Pada orang Islam yang tiada kena mengena, pada keluaraga Muslim, pada warganegara Muslim, pada pendatang Muslim, pada pekerja Muslim pada mereka yang mempunyai 'bin' pada namanya, pada yang berjambang dan berhijab dan...pada siapa sahaja yang boleh mereka letakkan kebobrokan ini. 

Saya tidak menyatakan bahawa tiada kekurangan dan salah silap dalam pengendalian kes ini. Dari segi ketelusan maklumat dan sebagainya. Segalanya mungkin belaka... Ketepikan semua soal politik dan kebencian dan lihatlah dengan mata hati. Sedarlah bahawa kadangkala kita tidak lebih sekadar penonton yang lancang memberi komentar. Kadangakala kita terlalu sceptical dengan situasi sehingga terlupa untuk memandang sisi-sisi sebagai manusia apatah lagi sebagai individu-individu Muslim yang mengaku bersaudara. Sepanjang manakah doa dan usaha kita agar wathan ini dihuni manusia berkaliber yang diimpikan? yang kuat iman dan ketenteraan? yang harmoni dalam kepelbagaian? Tepuk dada dan tanya iman. 

Sensitiviti Umat

Peristiwa ini telah mengheret ribuan perasaan untuk meratapi pemergian sebuah pesawat boeng 777 yang entah kemana. Bacaan fatihah berulang siar dikaca TV. Tangisan-tangisan sentiasa menjadi tumpuan dalam siaran. Begitu juga dengan ketabahan hati insan yang ditinggalkan. Sensitiviti ini amat mahal nilainya dalam masyarakat yang sering hidup nafsi-nafsi. Betapa kesatuan hati ini memberi kekuatan dalam berdepan dengan ujian. Baik cinanya, indianya, melayunya... semua seiring mendoakan. 

Namun peristiwa ini diselangi dengan satu lagi peristiwa yang turut menyayat hati. Keputusan mahkamah Mesir ke atas 529 ahli ikwanul Muslimin yang dijatuhkan hukuman bunuh adalah suatu yang sangat dikesali. Pengadilan yang sangat tidak adil, melewati batas manusiawi dan melampau dalam keputusan adalah sesuatu yang wajib ditangisi. Namun siaran TV senyap sepi dari berita dan laporan. Tiada juga kenyataan-kenyataan tegas, tiada lagi lidah petah berani, tiada juga luahan hati dari saudara-saudara seakidah yang berapi. Cuma barangkali menjadi selangan sahaja dicelahan tragedi MH370. 

Di sana juga mereka kehilangan ibu dan ayah. Di sana juga mereka kehilangan anak dan isteri. Di sana juga mereka kehilangan keluarga. Di sana juga mereka kehilangan sahabat dan teman. Di sana juga mereka kehilangan demokrasi. Bahkan lebih pilu, di sana juga mereka hilang kemanusiaan. Sedang kita masih kedekut berkongsi emosi...apatah lagi doa dan kudrat. Pertimbangkanlah sensitiviti umat ini...  

Dunia yang melalaikan

Dan mungkin ini bukan yang terakhir, tetapi percayalah, atas segala spekulasi yang melanda, saya dan ramai lagi diluar sana mula ragu dengan dunia. Dari segi politik, kekuasaan, kekuatan, kemegahan, 'permainan' agama, tipu daya, strategy gila, rahsia-rahsia dan bermacam lagi....


Membuatkan saya insaf bahawa kerdilnya diri...kemelut yang melanda walau sebesar mana hanyalah sementara dan akhiratlah tempat yang kekal selama-lamanya.

Allah berfirman didalam Al-Qur'an, surat Al-Hadid ayat ke-20 bermaksud:

"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megahdi antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya menggagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering, dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur; Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras (berat), dan keampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dankehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu."


No comments:

Post a Comment