Sejak seminggu dua ini, dari utara tanah air sehingga ke selatan semenanjung, kita merasa takjub dengan keindahan bunga bungaan dari pepohon besar di kiri dan kanan jalan. Subhanallah, cantik dan mempersona dengan warna yang sangat mendamaikan. Ada yang putih dan ada yang berwarna merah jambu. Bunga-bunga yang lebat itu ada yang berguguran menjadi permaidani indah yang melitupi bumi. Sekali imbas tak ubah seperti pepohon Sakura di Jepun. Hal ini menjadikan pohon yang memakai nama saintifik Tabebuia pentaphylla ini lebih mudah dikenal sebagai Sakura Malaya.
Sepanjang musim kemarau yang lalu, pohon-pohon ini bertahan untuk teguh berdiri. Tiada cukup air, bahkan layu dan berguguran daun keringnya di tengah hari. Ada yang bisa menempuh bahang mentari dan setia menanti hujan untuk membasahi bumi. Pohon-pohon besar itu ada yang masih disitu. Pun begitu banyak juga yang mati. Tiada siapa pun yang peduli akan kewujudannya. Tiada terlihat akan manfaatnya, apatah lagi merasa untung dek kerana jerih perih keberhasilannya. Sehinggalah suatu hari...
Mekar Sang Bunga
Kembangnya Sakura Malaya menjadi bualan disana sini. Apatah lagi dengan budaya masyarakat moden yang suka berkongsi. Dek kerana indahnya bunga itu bukanlah dapat disaksikan oleh orang-orang masa kini sahaja, maka orang lama telah mendahului melihat keajaiban ini. Kata-kata orang lama banyak meminjam kepada bunga. Antaranya;
Seumpama bunga di gaung batu, taruk kaca tangkainya embun. Membawa maksud seorang yang cantik dan baik sifatnya itu, sangat terjaga, tidak mudah tergoda apatah lagi ternoda. Terpelihara keindahannya bukan kerana luaran, tetapi cantik kerana prinsip dan tingkahlaku yang sopan. Jangan pula menjadi laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak. Indah pada rupa itu kadangkala cuma pada pandangan. Akal dan budi pula lah yang menjadi cerminan dan bukanlah hanya kerana nampak gah di mata, lesu rupanya rohani dan dalaman.
Kecantikan atau kehebatan kita itu tidak kekal selamanya. Kadangkala suka benar kita ini dipuji. Bila dipuji-puji mulalah kita menanam tebu ditelinga, berkembang bunga raya di muka. Suatu masa kita akan tua. Usia akan menjamah kecantikan dan tenaga kita, ibarat bunga kembang menanti layu. Oleh itu jadikanlah hidup ini sebagai jalan-jalan kebaikan kerana tiada siapa yang tahu bilakah ajalkan menjengah kita. Yang tua kan pergi, yang muda juga boleh pergi. Kemasyuran kita barangkali hanya tinggal kenangan. Bak kata orang lama bunga gugur, putik pun gugur.
Oh.. terlalu banyak ayat yang berbunga-bunga. Hati berbunga menulis peribahasa bunga, ibarat kera mendapat bunga tidak tahu benar atau tidak peri letaknya.
Ok... Full stop.
Kata emak, sebuah pengajaran...
Teringat juga saya akan pepohon durian di kampung yang sedang berbunga lebat juga ketika ini. Kata emak, bunga itu petanda berakhirnya musim kemarau. Tunas-tunas muda dan bunga-bungaan yang mula meletus dari siraman pertama hujan, lebih awal tiba dari pepohon sakura malaya tadi. Tidak lama lagi akan tiba masa pohon durian itu berbuah. Sebuah kitaran baru akan bermula dan ramai akan merasa hasilnya nanti. Baik kami sekeluarga, haiwan-haiwan dan serangga-serangga juga akan menikmati. Allahu... indahnya ciptaan alam. Selepas keperitan ada keindahan. Itulah hadiah atas sebuah pengorbanan dan kesabaran. Begitu jugalah dengan kehidupan, selepas jerih perih atas apa jua perjuangan kita; terutama dalam apa jua usaha ke arah kebaikan, maka berdoalah kepada suatu keindahan yang tak terjangkau dek akal dan fikiran...
Bunga-bunga tak kembang lama. Sampai masa akan berguguran jua. Tetapi disitu pasti ada hikmah yang diciptakan Tuhan :)
No comments:
Post a Comment