Wednesday, May 14, 2014

Pornografi

Hari ini melintasi suatu ringkasan video tazkirah yang sangat mantap daripada Ustaz Nouman Ali Khan. Ini merupakan topik taboo yang jarang sekali dibincangkan. Suka saya ulas beberapa perkara penting yang beliau gariskan terutama sekali dalam realiti hidup di dalam dunia teknologi dengan beberapa pengembangan fakta yang saya perolehi. 

Smart phone hanya untuk orang yang 'smart' guna :)
Hari ini, pornografi dan laman-laman lucah bukanlah sesuatu yang sukar untuk di akses memandangkan capaian nya telah menembusi rumah-rumah, bilik-bilik tidur, bahkan ke dalam kocek poket setiap daripada kita melalui smartphone dan talian internet yang cukup pantas. Ia menjuruskan kita samaada dengan mencari sendiri, melintasi carian-carian maya bahkan kadangkala datang sendiri melalui spam, virus, facebook, email dan sebagainya. Bagaimana ini berlaku bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana 12% daripada laman-laman yang ada diinternet adalah pornografi dan 34% pengguna internet terdedah kepada pornografi melalui popup ads, misdirected links, atau email secara tidak sengaja! Statistik dan info grafik yang lebih mengejutkan boleh dilihat di sini; 
http://unitedfamiliesinternational.wordpress.com/2010/06/02/14-shocking-pornography-statistics/ 

Ia menukarkan sikap manusiawi kita kepada sikap kebinatangan sehingga menyukarkan kita untuk menundukkan pandangan. Ia merosakkan jiwa dan rohani kita sehingga rasa manis beribadah dan membuat kebaikan hilang. Memusnahkan rasa malu, merosakkan institusi pernikahan, bahkan menjurus kepada perbuatan haram seperti onani dan penzinaan. Menyedari hakikat ini, kita harus sedar bahawa kita sendiri berada di dalam suatu medan peperangan. Suatu medan yang serangannya datang dengan cara yang amat halus dan memberi kesan yang menakutkan. 

Tiada yang terselamat melainkan mereka yang benar-benar bermujahadah untuk memenangkan jiwa dan keimanan masing-masing. Jika tidak, inilah yang dikatakan sebagai sindrom lemah menahan nafsu syahwat. Justeru bagi yang ketagihan dengan pornografi adakah perkahwinan menyelesaikan segalanya???  Sindrom ini amat berbahaya kerana seandainya kita sudah tidak punya malu sebelum perkahwinan, kebiasaannya kita akan kekal seperti itu juga selepas perkahwinan. Perkahwinan boleh berantakan kerana tiada kepuasan sebagai mana yang dikhayalkan. 

Bagi sesetengah kita, ada yang berusaha berkali-kali untuk menghentikan tabiat tersembunyi ini (mungkin juga ada yang secara terang-terangan). Lagi dan lagi dan lagi cuba bangkit kembali. Jangan berputus asa, kecewa dan terus hanyut dengan dosa-dosa. Berikut merupakan antara perkara yang boleh kita lakukan sebagai individu;

  1. Cubalah untuk melihat pornografi sebagai perkara jahat dan menjijikkan
  2. Banyakkan berpuasa
  3. Pindahkan komputer anda atau lakukan tugasan di tempat yang terbuka
  4. Jangan berkunci di dalam bilik
  5. Tidur di awal waktu apabila tiada lagi perkara berfaedah yang ingin dilakukan
  6. Sibukkan diri dengan beraktiviti
  7. Berkawan dengan teman yang baik
  8. Elakkan bertemu dengan individu yang menaikan syahwat
  9. Berdoalah untuk terus kuat mendepani kehidupan yang penuh dugaan


Tiada lagi yang lebih berharga yang perlu kita lindungi melainkan iman kita. Semoga semua berjaya!








Saturday, May 3, 2014

Sahabat dari Kalam Hamka

Dalam buku Falsafah Hidup oleh Prof. Dr.Hamka, antara bab yang sangat menarik perhatian saya adalah Bab yang ke-8. Hal-hal yang berkait dengan persahabatan. Atas slogan 'Ukhuwah Teras Kejayaan' saya cuba ringkasan nukilan beliau agar saya sendiri mendapat manfaat dan pelajaran. Supaya kita cenderung untuk memperbaiki diri, menjadi sahabat yang terbaik buat teman-teman dan membuang segala kotoran atau kekeruhan dalam jalinan persaudaraan. Itu tekad dan doa saya, dan itu jugalah harapan saya kepada sahabat-sahabat sekelian. Tambah lagi sementelah masing-masing berumahtangga dan akan berumahtangga, semoga Allah SWT eratkan lagi tautan hati ini keranaNya. Amiinn.

Makna persahabatan

Kata Hamka, maksud bersahabat itu; 
...adalah untuk sama-sama memperluas tujuan hidup, memperdekat antara satu jiwa dengan jiwa yang lain, yang telah terdapat dalam kesesuaian dalam sesuatu perkara, sehingga dapat didamaikan dalam perkara yang lain.
Sifat seorang sahabat jelas berbeza dengan seorang musuh. Kalau yang dinamakan sahabat itu adalah apabila terlihat keburukan temannya, dapat ia lakukan teguran dengan terus terang dan jujur. Sedang musuh itu pula, apabila terlihat kesalahan musuhnya, lantas dibongkarkan pada khalayak untuk memalukan. 

Mencari Sahabat

Kata Hamka, dalam menelusuri hidup ini ada rahsia kehidupan yang perlu kita sembunyikan. Namun ada perkara perkara yang terlalu ingin dikongsikan bersama-sama., baik ianya berita atau sekadar bertanya. ..Kalau disembunyikan sahaja, rasanya mahu gila! Orang yang tidak punya sahabat itu, ternyata hidupnya sepi dan sunyi. Bahkan keutamaan bersahabat itu terlalu besar dibandingkan hal lainnya. Permisalan yang diberikan oleh Hamka ternyata ada rasionalnya. Bayangkan dalam hal-hal percintaan, pencarian atau kesulitannya kita khabarkan kepada sahabat. Kehilangan barang, kematian dan kerugian, kita adukan kepada teman. Sehingga hal-hal yang berat dan sulit menjadi ringan. Setelah yang terdahulu kita memohon kepada Allah, berlarilah kita kepada sahabat dan teman. 

Memaknai persahabatan itu ibarat perkahwinan roh dan fikiran, yang padanya terletak satu daerah yang sangat luas dan disertakan dengan akal dan budi. Denganya Hamka menggariskan 10 alamat teman yang setia dan sahabat karib. Saya ringkaskan sebagaimana berikut;

  1. Maksud yang jujur dalam bersahabat
  2. Berterus terang dan bukan mengiakan sahaja semua perbuatan kita
  3. Berkorban pada waktu-waktunya (Iaitu memberi dan menerima)
  4. Tahan hatinya dengan perangai kita
  5. Tidak berbohong dan berdusta
  6. Menghormati rumahtangga kita
  7. Mulia tujuannya sehingga dibawa kita ke atas, bukan dijatuhkan kebawah
  8. Mengorbankan apa yang perlu dan mahal buat kita bila ada keperluannya
  9. Dipersetujukannya jalan fikirannya dan kita
  10. Menyimpan rahsia

Persahabatan dan Wanita

Sungguh kata Hamka, percintaan itu dalam lingkungan batin, sedang perahabatan itu daerahnya lahir. Sungguh laki-laki tidak dapat menurut batinnya sahaja, tetapi berhajat untuk hidup berteman di luar. Tempat dia menghubungkan pendapat, akal fikiran, perjuangan dan lain-lainnya yang kadang tidak cukup dengan hanya cinta. Kata Hamka lagi; laki-laki adalah kepunyaan dunia, sebelum dia menjadi kepunyaan rumah; laki-laki kepunyaan dunia, sebelum dia menjadi kepunyaan seorang wanita.

Konflik sering terjadi akibat sukar untuk saling memahami. Ukuran wanita adalah ukuran cinta dan matlamat akhirnya juga adalah cinta. Sedang bagi lelaki, cinta itu adalah tempat istirehatnya. Mengumpul segenap bekalan dan sokongan sebelum menyambung semula pekerjaan. Justeru itu, sahabat dan teman menjadi medium sokongan untuk si suami melangkah laju di medan perjuangan. Kata Hamka lagi, kerana seorang suami yang mempunyai sahabat yang setia, bukan sedikit faedahnya dan keberuntungan kepada rumahtangga. Dan yang pasti cinta wanita itu akan sentiasa menang!


Kesimpulan

Akhir kata, persahabatan itu ada ilmu yang tersendiri. Yang pertama, untuk menyelidik dengan akal dan budi samada orang yang dijadikan sahabat itu lengkap syarat-syaratnya. Dan yang kedua, kesanggupan untuk mencukupkan syarat-syarat itu pada diri sendiri. Dan semoga dengan ringkasan ini bermanfaat untuk semua... :)



Semoga Allah satukan hati2 kami dalam iman dan amal