Saturday, May 3, 2014

Sahabat dari Kalam Hamka

Dalam buku Falsafah Hidup oleh Prof. Dr.Hamka, antara bab yang sangat menarik perhatian saya adalah Bab yang ke-8. Hal-hal yang berkait dengan persahabatan. Atas slogan 'Ukhuwah Teras Kejayaan' saya cuba ringkasan nukilan beliau agar saya sendiri mendapat manfaat dan pelajaran. Supaya kita cenderung untuk memperbaiki diri, menjadi sahabat yang terbaik buat teman-teman dan membuang segala kotoran atau kekeruhan dalam jalinan persaudaraan. Itu tekad dan doa saya, dan itu jugalah harapan saya kepada sahabat-sahabat sekelian. Tambah lagi sementelah masing-masing berumahtangga dan akan berumahtangga, semoga Allah SWT eratkan lagi tautan hati ini keranaNya. Amiinn.

Makna persahabatan

Kata Hamka, maksud bersahabat itu; 
...adalah untuk sama-sama memperluas tujuan hidup, memperdekat antara satu jiwa dengan jiwa yang lain, yang telah terdapat dalam kesesuaian dalam sesuatu perkara, sehingga dapat didamaikan dalam perkara yang lain.
Sifat seorang sahabat jelas berbeza dengan seorang musuh. Kalau yang dinamakan sahabat itu adalah apabila terlihat keburukan temannya, dapat ia lakukan teguran dengan terus terang dan jujur. Sedang musuh itu pula, apabila terlihat kesalahan musuhnya, lantas dibongkarkan pada khalayak untuk memalukan. 

Mencari Sahabat

Kata Hamka, dalam menelusuri hidup ini ada rahsia kehidupan yang perlu kita sembunyikan. Namun ada perkara perkara yang terlalu ingin dikongsikan bersama-sama., baik ianya berita atau sekadar bertanya. ..Kalau disembunyikan sahaja, rasanya mahu gila! Orang yang tidak punya sahabat itu, ternyata hidupnya sepi dan sunyi. Bahkan keutamaan bersahabat itu terlalu besar dibandingkan hal lainnya. Permisalan yang diberikan oleh Hamka ternyata ada rasionalnya. Bayangkan dalam hal-hal percintaan, pencarian atau kesulitannya kita khabarkan kepada sahabat. Kehilangan barang, kematian dan kerugian, kita adukan kepada teman. Sehingga hal-hal yang berat dan sulit menjadi ringan. Setelah yang terdahulu kita memohon kepada Allah, berlarilah kita kepada sahabat dan teman. 

Memaknai persahabatan itu ibarat perkahwinan roh dan fikiran, yang padanya terletak satu daerah yang sangat luas dan disertakan dengan akal dan budi. Denganya Hamka menggariskan 10 alamat teman yang setia dan sahabat karib. Saya ringkaskan sebagaimana berikut;

  1. Maksud yang jujur dalam bersahabat
  2. Berterus terang dan bukan mengiakan sahaja semua perbuatan kita
  3. Berkorban pada waktu-waktunya (Iaitu memberi dan menerima)
  4. Tahan hatinya dengan perangai kita
  5. Tidak berbohong dan berdusta
  6. Menghormati rumahtangga kita
  7. Mulia tujuannya sehingga dibawa kita ke atas, bukan dijatuhkan kebawah
  8. Mengorbankan apa yang perlu dan mahal buat kita bila ada keperluannya
  9. Dipersetujukannya jalan fikirannya dan kita
  10. Menyimpan rahsia

Persahabatan dan Wanita

Sungguh kata Hamka, percintaan itu dalam lingkungan batin, sedang perahabatan itu daerahnya lahir. Sungguh laki-laki tidak dapat menurut batinnya sahaja, tetapi berhajat untuk hidup berteman di luar. Tempat dia menghubungkan pendapat, akal fikiran, perjuangan dan lain-lainnya yang kadang tidak cukup dengan hanya cinta. Kata Hamka lagi; laki-laki adalah kepunyaan dunia, sebelum dia menjadi kepunyaan rumah; laki-laki kepunyaan dunia, sebelum dia menjadi kepunyaan seorang wanita.

Konflik sering terjadi akibat sukar untuk saling memahami. Ukuran wanita adalah ukuran cinta dan matlamat akhirnya juga adalah cinta. Sedang bagi lelaki, cinta itu adalah tempat istirehatnya. Mengumpul segenap bekalan dan sokongan sebelum menyambung semula pekerjaan. Justeru itu, sahabat dan teman menjadi medium sokongan untuk si suami melangkah laju di medan perjuangan. Kata Hamka lagi, kerana seorang suami yang mempunyai sahabat yang setia, bukan sedikit faedahnya dan keberuntungan kepada rumahtangga. Dan yang pasti cinta wanita itu akan sentiasa menang!


Kesimpulan

Akhir kata, persahabatan itu ada ilmu yang tersendiri. Yang pertama, untuk menyelidik dengan akal dan budi samada orang yang dijadikan sahabat itu lengkap syarat-syaratnya. Dan yang kedua, kesanggupan untuk mencukupkan syarat-syarat itu pada diri sendiri. Dan semoga dengan ringkasan ini bermanfaat untuk semua... :)



Semoga Allah satukan hati2 kami dalam iman dan amal







No comments:

Post a Comment