Wednesday, November 19, 2014

Al Ukhuwah Al Islamiyah

Berikut merupakan hasil perkongsian Ustaz WHWE dalam UG tempoh hari;

  1. Selepas Iman adalah ukhuwah
  2. Dakwah takkan berhasil tanpa ukhuwah Islamiyah
  3. Dalil kepada pensyariatan berukhuwah ini terkandung dalam surang Al Imraan: 103 dengan penegasan untuk tidak berpecah belah.
  4. Ukhuwah takkan wujud tanpa kehendak daripada Allah SWT. Bahkan Allahlah yang mempersatukan hati-hati manusia. Hal ini disebut dalam surah Al Anfal:63.
  5. Ukhuwah adalah buah kepada iman.
  6. Orang yang tidak berukhuwah dan merosakkan ukhuwah mempunyai masalah iman.
  7. Ukhuwah yang benar seharusnya menenangkan hati manusia.
  8. Mudah tersa hati itu tanda masalah pada iman..
  9. Tangga-tangga ukhuwah perlu dibina dengan sering ber-muayashah.
  10. Hal kasih sayang terhadap sahabat mungkin berbeza antara satu sahabat dengan sahabat lainnya. Kerana perasaan bukanlah hal yang boleh dipaksa.Tapi hal berkaitan hak dan tanggungjawab dalam ber-ukhuwah sesama Muslim adalah sama.
  11. Ukhuwah bukan hanya perihal individu. Bahkan, terhijabnya barakah dalam jamaah bila ukhuwah Islamiyah tidak dijaga


Termenung...

Allahurabbi...



Adam a.s: Pengajaran dari moyang sekalian manusia - Bahagian 2

“Kecuali orang- orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang- al-furqan:70


Sambungan….

Apa yang membezakan maksiat Adam a.s dan Iblis adalah bahawa dengan kesalahan itu moyang kita Adam a.s bertaubat kepada Allah SWT. Sedang Iblis pula terus berlaku sombong dan bongkak. Iblis bahkan menolak perintah Rabbnya, memberikan pandangan yang jelas berbeza, tidak tunduk pada perintah Allah SWT dan memutuskan sesuatu mengikut kehendaknya. Allah SWT berfirman yang bermaksud;

Dan tidak patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasulnya telah menetapkan suatu ketetapan, aka nada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasulNya, maka sungguhlah dia telah sesat, dalam kesesatan yang nyata”-al-ahzab:36

Dan sebagai anak cucu Nabi Adam a.s, seharusnya kita mencontohi baginda dengan kembali bertaubat kepada Allah atas kesalahan-kesalahan yang telah kita lakukan. 

………………………..

Di dalam syurga Allah SWT, Nabi Adam a.s berada dalam segala macam keindahan, berpakaian lengkap, bersenang lenang, dipenuhi segala kelengkapannya tanpa perlu susah payah, bahkan ditemani oleh pasangannya Hawa.


Dan tatkala keduanya melanggari perintah Allah SWT dengan memakan buah larangan, terbukalah auratnya tanpa pakaian...

bersambung...

Saturday, November 8, 2014

Adam a.s: Pengajaran dari moyang sekalian manusia - Bahagian 1

Nabi Adam a.s merupakan moyang kepada keturunan sekalian manusia.  Terdapat banyak pelajaran yang boleh dititip daripada kisah baginda buat renungan dan cerminan diri saya yang lemah dan hina.

…………………….

Dalam al-Quran, kisah Nabi Adam a.s menceritakan semula kepada kita bahawa Allah SWT telah telah menetapkan prinsip-prinsip , perintah dan larangannya kepada baginda. Antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“Wahai Adam bertempat tinggalah kamu dan isterimu di syurga dan makanlah oleh kamu berdua (buah-buahan) di mana sahaja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”-Al-a’raf: 19

Maka, begitulah juga kepada keturunan baginda, terdapat perintah dan larangan Allah SWT kepada kita. Kita cenderung dan suka, menjadi keinginan nafsu dan berkehendak kepada sesuatu.  Tetapi ternyata ianya merupakan perintah dan tegahan daripada Allah SWT.

Seiring dengan tegahan itu, Al Quran mengkhabarkan kepada kita melalui kisah Nabi Adam a.s dengan peringatan bahawa sifat ‘ingin’, ‘suka’  dan ‘mahu’ itu akan didalangi bersama hambatan-hambatan melalui permusuhan Iblis. Hal ini dinyatakan sebagaimana berikut;

“Maka kami berkata; Wahai Adam, sesungguhnya ini (iblis) adalah musuh bagimu dan isterimu, maka sesekali janganlah sampai ia mengeluarkan kamu berdua dari syurga, yang menyebabkan kamu menjadi celaka”- Thaaha : 117

Inilah dia hambatan pertama bagi manusia, iaitu Iblis. Makhluk yang tidak akan pernah mengenal erti penat dan jemu untuk menyesatkan manusia sehinggalah sampai kepada hari kiamat. Dalil-dalil yang menunjukkan tekad dan nekadnya makhluk bernama Iblis ini diceritakan dalam banyak ayat. Antaranya; Al-an’am:112, al-‘araf:14-17, Shaad:82-83.

…………………….

Walaupun peringatan telah diberikan, lantaran hasutan Iblis, Adam a.s dan pasangannya jatuh jua kepada tegahan Allah SWT. Moyang kepada sekalian manusia ini melakukan kesalahan kepada Rabbnya. Sungguhpun begitu, baginda cepat-cepat bertaubat kepada Allah SWT.

“Keduanya berkata: Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi”- al-a’raf:23

Maka demikianlah juga seharusnya kita selaku anak-anak keturunan baginda. Merintis jalan-jalan yang dilalui oleh Iblis hanyalah menjadikan kita orang yang zalim,celaka dan rugi. Tatkala kita terleka, lemah dan lalai dari peringatan ini, haruslah segera kita mencari jalan taubat sebagaimana baginda Adam a.s tunjukkan kepada kita. Kerana janji Allah SWT, orang yang bertaubat itu, bahawasanya kejahatan itu bisa berubah menjadi kebaikan dengan syarat-syaratnya.

“Kecuali orang- orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang- al-furqan:70
 …………………….


bersambung...