Nabi Adam a.s merupakan moyang kepada keturunan sekalian manusia. Terdapat banyak pelajaran yang boleh dititip
daripada kisah baginda buat renungan dan cerminan diri saya yang lemah dan
hina.
…………………….
Dalam al-Quran, kisah Nabi Adam a.s menceritakan semula
kepada kita bahawa Allah SWT telah telah menetapkan prinsip-prinsip , perintah
dan larangannya kepada baginda. Antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud;
“Wahai Adam bertempat tinggalah kamu dan isterimu di syurga dan makanlah oleh kamu berdua (buah-buahan) di mana sahaja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”-Al-a’raf: 19
Maka, begitulah juga kepada keturunan baginda, terdapat
perintah dan larangan Allah SWT kepada kita. Kita cenderung dan suka, menjadi
keinginan nafsu dan berkehendak kepada sesuatu.
Tetapi ternyata ianya merupakan perintah dan tegahan daripada Allah SWT.
Seiring dengan tegahan itu, Al Quran mengkhabarkan kepada kita
melalui kisah Nabi Adam a.s dengan peringatan bahawa sifat ‘ingin’, ‘suka’ dan ‘mahu’ itu akan didalangi bersama
hambatan-hambatan melalui permusuhan Iblis. Hal ini dinyatakan sebagaimana
berikut;
“Maka kami berkata; Wahai Adam, sesungguhnya ini (iblis) adalah musuh bagimu dan isterimu, maka sesekali janganlah sampai ia mengeluarkan kamu berdua dari syurga, yang menyebabkan kamu menjadi celaka”- Thaaha : 117
Inilah dia hambatan pertama bagi manusia, iaitu Iblis.
Makhluk yang tidak akan pernah mengenal erti penat dan jemu untuk menyesatkan
manusia sehinggalah sampai kepada hari kiamat. Dalil-dalil yang menunjukkan tekad
dan nekadnya makhluk bernama Iblis ini diceritakan dalam banyak ayat.
Antaranya; Al-an’am:112, al-‘araf:14-17, Shaad:82-83.
…………………….
Walaupun peringatan telah diberikan, lantaran hasutan Iblis,
Adam a.s dan pasangannya jatuh jua kepada tegahan Allah SWT. Moyang kepada
sekalian manusia ini melakukan kesalahan kepada Rabbnya. Sungguhpun begitu,
baginda cepat-cepat bertaubat kepada Allah SWT.
“Keduanya berkata: Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi”- al-a’raf:23
Maka demikianlah juga seharusnya kita selaku anak-anak
keturunan baginda. Merintis jalan-jalan yang dilalui oleh Iblis hanyalah
menjadikan kita orang yang zalim,celaka dan rugi. Tatkala kita terleka, lemah
dan lalai dari peringatan ini, haruslah segera kita mencari jalan taubat
sebagaimana baginda Adam a.s tunjukkan kepada kita. Kerana janji Allah SWT,
orang yang bertaubat itu, bahawasanya kejahatan itu bisa berubah menjadi kebaikan dengan syarat-syaratnya.
“Kecuali orang- orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang- al-furqan:70
…………………….
bersambung...
No comments:
Post a Comment