Friday, November 16, 2012

WALAU 'sekadar' BOIKOT


Saya sangat sedih apabila, ada yang menyindir-nyindir sesetengah pihak yang berusaha menjalankan boikot keatas produk-produk dan syarikat-syarikat yang mempunyai pertalian jelas dengan negara haram Israel. Saya akui hak membeli sememangnya hak masing-masing. Baik dia seorang warganegara Malaysia, Indonesia, Amerika hatta Palestin sekalipun.

Dalam suasana saya bekerja dan dikelilingi warga Timur Tengah, saya juga akui bahawa tidak semuanya mengambil peduli tentang kesengsaraan umat ini. Ada yang berhijrah semata-mata mahu meninggalkan negara yang sedang bergolak, bahkan benci untuk kembali ke tanah air sendiri. Hidup di Malaysia ini bagaikan syurga tanpa bom, peluru dan roket yang bersimpang siur. Ada yang boros berbelanja sehingga duit pengajian yang diberikan keluarga habis di shoping-shoping kompleks, Starbucks dan sebagainya.. Ramai pula yang berperangai ‘aneh’ mengalahkan pelancong-pelancong mat saleh yang ada di Malaysia. Dicelah-celah mereka ini, adalah beberapa kerat yang bersungguh-sungguh menjaga agama. Paling tidak terhadap sahsiah dan akhlak sendiri. Bahkan ditempat kerja saya, ada pula Mat Saleh warga Amerika yang sangat soleh dan beramal dengan amal-amal Islami. Ini tidak aneh.

Justeru saya terkesima apabila terbaca komen-komen yang berbunyi aneh dan pelik sebegini… “Aku hanya akan boikot kalau orang Palestin sendiri boikot Mc Donald”… Atau… “Ah… orang Palestin pun tak sebok nak berdemo…korang lak lebih-lebih terpekik, terlolong… ”… “Ahhh..ramai dah boikot, tak pelah, aku tak payah lah… lagi pon Mc Donald ni sedap kemain lagi…aishhhh…” Wahai saudara ku sayang, sedar tak bahawa bertapa luasnya bumi ini??? Berapa ramainya penduduknya??? Berapa ramai pula orang-orang Palestin? Berapa ramai yang Islam??? Berapa ramai pula yang mukmin??? Jawablah sendiri. Sungguh saya tidak hairan seandainya saya menemui sekelompok warga Palestin yang berlagak tidak peduli.

Ini sangat jelas. Bumi Palestin bukan bumi mereka. Ia bumi ‘KITA’.

 Ingatlah kata-kata Saidina Abu Bakar As Siddiq.”Aku akan memerangi mereka sendirian, hingga anggota tubuhku berserakan, aku akan memerangi mereka sendirian, hingga batang leherku terpenggal.” Kata-kata keramat ini diucapkan sewaktu beliau memerangi golongan yang murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW. Namun ekspresi dari kata-kata ini mencerminkan bahawa, andai kata semua manusia berpangku tangan, bermalas-malasan, maka akulah yang akan kehadapan… Sungguh ini adalah rasa tanggungjawab individual. Ya, memang benar kita diminta beramal jamaie, namun jauh lagi kehadapan, hisab diakhirat atas amal sendiri.-walau ‘sekadar’ boikot-

Menurut pandangan Dr. Raghib As Sirjani, kaedah pemboikotan merupakan antara kaedah yang perlu diambil oleh umat Islam hari ini dalam konteks mengembalikan maruah dan kemulian Islam. Sungguh sikap tidak acuh terhadap kaedah boikot ini mencerminkan ketidakfahaman dan ketidak pedulian yang nyata terhadap agama dan sesama saudara. Menurut Dr. Raghib lagi, kaedah pemboikotan ini mungkin dilihat sebagai senjata yang ampuh dan tidak dapat mengubah apa-apa. Justeru beliau meminta umat ini melihat semula kepada fakta-fakta kuasa besar yang turut sama menggunakan senjata boikot ini.

Menurut beliau, pada tahun 2003, US telah memboikot barang-barang import dari Jerman ke Amerika, yang setiap tahunnya bernilai lebih enam puluh trillion dollar. Bukan hanya Jerman, keju Perancis juga pernah diboikot semata-mata kerana kedua-dua negara ini pernah menentang politik yang dimainkan oleh Amerika terhadap Iraq. Lebih dasyat lagi, seorang anggota kongres meminta untuk menggantikan nama, ‘French Fries; menjadi ‘Free Fries’ walaupun kentang goreng itu tiada kena mengena langsung dengan negara Perancis melainkan sekadar nama. Sungguh dasyat…Saudara ku sayang, isu Palestin ini bukan sekadar mainan politik, bahkan jauh lebih besar lagi…Maka dimanakah peranan umat ini bila mana ibu-ibu, anak-anak, dan saudara-saudara kita sedang dihenyak-henyak???

Justeru, jangan ditanya “apa yang telah mereka buat?”. Tapi tanyalah pada diri… “apa yang telah aku lakukan???”

Harap maklum, ini bukan kisah semalam, atau beberapa hari yang lalu, atau beberapa tahun yang lalu… rajin-rajinlah menyemak sejarah. Bukankah maklumat kini dihujung jari??? Telah datang khabar bumi Palestin sejak sekian kalinya, namun kita biarkan ia menyapa-nyapa pipi umpama bayu… hanyut… dan hanyut…dan hanyut di ulit mimpi…

Ingatan untuk saya yang selalu terleka… Janji Allah itu pasti.

“WayamkurulLah WalLahu Khairul Makirin”



P/s: Shhhh… Ramai orang sedang menjaga periuk nasi sendiri. Bersyukur dengan periuk nasi sendiri… “Alhamdulillah, kenyang aku hari ni…” sedang ibu dan anaknya yang sedang berjiran mati kebuluran… 

Wednesday, October 10, 2012

Bicara dengan seorang free thinker.


Peluang untuk berbual panjang dengan beliau tidak saya lepaskan. Nama beliau Kyota. Seorang pelajar daripada sebuah negara matahari terbit dan sudah berumahtangga. Usianya hampir mencecah tiga puluh tahun. Perwatakannya bersahaja dan tenang. Jelas cerminan kematangan yang telah ditempuh sepanjang usia remajanya. Hidupnya merantau, menimba pengalaman dan mencari ilmu. Keluar daripada kepompong kehidupan masyarakat Jepun yang typical, menjadikan beliau lebih terbuka terhadap perbincangan dan perbezaan.

Jarak usia kami yang tidak jauh berbeda membuatkan kami mudah menerima antara satu sama lain. Dia sangat menghormati saya selaku seorang guru ketika dimakmal bahasa, sedangkan saya hanya membantu beliau sekali dua sepanjang beliau belajar dipusat bahasa tempat saya bekerja. Tengah hari itu, buat pertama kalinya beliau menjenguk saya sejak saya meninggalkan makmal bahasa. Telah ditakdir pula, beliau muncul dihadapan saya ketika saya sedang bersiap-siap hendak berehat dan menikmati makan tengah hari. 
Di tempat makan, kami berbual panjang. Perbualan kami berkisar tentang budaya masyarakat Jepun dan Malaysia. Sesekali sengaja saya selitkan isu agama. Menguji-uji kematangan berfikir dan cuba memahami pola pemikiran beliau. Bermula dari topik pengurusan masa yang cukup sinonim dengan masyarakat Jepun, pengurusan negara selepas pengebomam Nagasaki dan Hiroshima, budaya, sehinggalah isu agama cuba saya bangkitkan.

Antara soalan saya kepada beliau  “apakah yang mendorong masyarakat Jepun, bergerak pantas dalam memulihkan ekonomi negara dan berdaya saing dalam teknologi? Apakah yang mendorong mereka?” Beliau katakan bahawa masyarakat Jepun apabila bekerja dengan satu-satu organisasi biasanya beliau akan merasa sebahagian daripada organisasi tersebut. Kehidupan mereka dan segala yang mereka hasilkan merupakan suatu kebaikan dan kredit kepada organisasi yang diceburi. Tiada istilah bekerja untuk diri sendiri dalam kamus hidup mereka. Dasyat sungguh intima’ mereka dalam organisasi. Kerana itu, juga kita sering melihat dalam lembaran sejarah bahawa tentera Jepun suatu ketika dahulu cukup digeruni kerana mereka sanggup mati demi negara.

Soalan saya yang lain, “Apakah makna kehidupan kepada anda? 
What is the meaning of ‘life’ for you??
“Life is about gaining experience…For me, I want to have kids…I want to go abroad, study sports science and become football coach. And then…contribute something for my country.”

….Wajah saya berkerut memikirkan jawapan beliau. Dalam hati berkata-kata…Jawapan skema… Masyarakat Jepun, memang taat kepada negara...

Saya tanyakan lagi “apa yang mendorong masyarakat Jepun untuk membuat kebaikan? Tanpa agama, apa yang membentuk moral masyarakat?”

Wajah beliau pula yang berkerut
”This is problem… most of us are free thinkers… You Malaysian, you have religion that guides you… doing a good deed is only a sense that we can feel… this is wrong ..this is bad… you as Muslim, you have Quran… not like us…” rendah mendatar suara beliau…

Maknanya kebaikan itu tidak tetap, tiada sumber autoriti dan tak terkawal. Bahkan beliau mengakui bahawa masyarakat beliau dalam bahaya tanpa agama. Kebaikan yang diterima norma kadangkala bukanlah bermakna kebenaran dalam erti yang sebenar.

Peluang itu saya ambil untuk menerangkan kenapa kebanyakan manusia mencari agama. Harapan saya supaya beliau dapat berfikir tentang kehidupan ini dan mencari kebenaran yang hakiki dalam hidup beragama. Lebih lagi harapan saya untuk dia mendalami Islam dan mengkaji tentang hidup sebagai seorang muslim. Dan lebih-lebih lagi harapan saya supaya pintu hidayah menerobos ke segenap pintu hati beliau….Ameen ya Allah…
Saya katakan 
“Actually you should answer these three questions in your life… Most people with religion try to answer these three questions-Where I am from? What is the purpose of my life? Where am I going next-?”.

Dia menganggukkan kepala… Sukar saya mengagak apa yang sedang difikirkannya… perbualan kami terhenti disitu memandangkan saya perlu masuk semula ke pejabat dan dia perlu menghadiri kelas.

Sahabat pembaca. Hidup tanpa agama sudah sia-sia… tiada peraturan dan tidak percaya langsung kepada Pencipta. Apatah lagi hidup tanpa Islam, sudah pasti lebih sia-sia. Pada saya, walau sehebat mana pun seorang free thinkers mendabik dada mengaku tidak beragama, hakikat sebenarnya mereka pasti menghambakan diri kepada sesuatu yang selain dari Pencipta. Itulah agama mereka, itulah jihad mereka, itulah pengabdian mereka…. Sedang mereka tidak sedar bahawa mereka sedang bertuhankan makhluk bernama syarikat, perkumpulan, parti mahupun negara. Paling tidak mereka menghamba diri pada diri sendiri… memenuhi kehendak dan keperluan nafsu semata.

Sahabat saya ini, mungkin free thinker yang ‘sedikit berbeza’.Beliau merasakan kekosongan dalam hidup dan ada sesuatu yang tidak kena dengan bangsanya. Beliau keluar dan merantau. Ke negeri China, Malaysia…akan datang, ke German dan UK… Katanya mahu memahami realiti kehidupan. Harapan saya beliau akan bertemu dengan makna kehidupan yang sebenar…
-Agama menuntun fitrah manusia

Akal lahir dan batin… sihatkah kita?


Waktu-waktu demam begini, membolehkan saya menulis dan berfikir. Cuti sakit untuk tidur sahaja? Harapnya tidak bagi saya. Bukan mudah ‘mencuri’ masa. Harapan semoga sakit ini menjadi kafarah dosa seorang manusia lemah seperti saya.

Kata Hamka, penyakit suatu masyarakat, berasal dari penyakit perseorangan… Terus saya merenung ke diri sendiri. Mendiagnos menyakit sendiri-jauh disudut hati saya, saya tahu saya juga manusia biasa yang tidak terlepas dari ‘penyakit’ dunia. Ya! Kalau diturutkan kata Hamka itu, saya juga punca penyakit sosial dalam masyarakat hari ini- andai saja kalau tidak saya berterusan ‘menyehatkan’ diri.

Maka bagaimanakah ‘menyehatkan’ diri itu? Kesanggupan mengendalikan pertemuan akal lahir dan batin dan pengaruhnya atas diri itulah menjadi pedoman atas sihat atau sakitnya seseorang. Ambil sahaja contoh seorang peminum arak. Saat dalam dirinya mabuk dan tidak siuman itu, pelbagai kata-kata yang yang aneh-aneh… bahkan kadangkala terkeluar segala macam rahsia yang mengaibkan dari mulut si pemabuk tadi. Labih teruk, dengan akal lahir yang bercelaru itu, mendorong pula si pemabuk melakukan perkara dan jenayah lain yang keji akibat hilangnya kawalan pada diri.

Sedang akal batin itu dekat dengan sifat kebinatangan, berteman nafsu seks dan keinginan-keinginan. Tanpa akal lahir yang belajar untuk hidup ditengah-tengah masyarakat, bergaul, berakhlak dan bersopan santun, maka yang tinggal, tentulah akal batin yang menurut sahaja kemahuan dan nafsu, melempias syahwat dan meniti kehidupan sekadar untuk hidup! Tiada cita-cita didunia dan tiada keinginan untuk kehidupan sebenar yang sempurna diakhirat sana. Di sini lah pula lahirnya akal lahir yang mahukan kebebasan tanpa sempadan. Ibarat layang-layang terputus tali dalam mengemudi kehidupan-sakit jiwa-.

Oleh yang demikian, nampaklah sudah bahawa dalam perjalanan hidup kita ini, dalam mencari jalan yang lurus, kita sentiasa berhadapan dengan kesulitan dalam mengimbangkan antara dua akal ini. Kesulitan dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan. Oleh itu, perlunya kita untuk belajar menempuh ujian kesabaran dan istiqamah dalam melakukan ketaatan. Berjuanglah keluar memerangi syaitan dan nafsu jahat. Maka disitulah induk kepada segala macam perjuangan!

Orang kata, untuk berjuang menegakkan agama dalam diri itu sudah sangat sukar dan berat. Apatah lagi berjuang mengislahkan masyarakat seluruhnya. Persoalannya, bukankah belajar untuk segulung ijazah itu sukar? bekerja mencari nafkah keluarga itu sukar? Membesarkan anak-anak itu bukankah sukar? Mencari wang? Membuat projek jutaan ringgit? dan memerintah institusi atau negara itu, bukankah semuanya sukar? Anehnya sanggup pula kita menempuh kesukaran itu, tapi tidak sanggup menempuh jalan kesabaran dalam menegakkan Islam dalam diri dan masyarakat…

Sudah berkali berusaha, namun jatuh jua?  Kadang-kadang akal lahir dan batin itu terancam dek kegilaan dunia? Terhoyong hayang dibuatnya. Layaknya seperti menempuh samudera dan ombak dilaut dalam.  Dek kerana sudah terumbang ambing, maka pautlah semula kepada tali hidup beragama. Kembali kepada Pencipta, dan teruskanlah lagi perjalanan. Kerana kita ini insan… makhluk pelupa dan terlalu lemah di hadapan Pencipta. Mintalah kekuatan dariNya.  Mintalah setiap masa, setiap hari, setiap jam, setiap detik yang termampu. Kerana kita memang akan terlupa dan sentiasa cenderung untuk menikmati dunia.

Tips untuk kekal sihat- ikatkan jiwa iaitu akal lahir dan batin dengan Allah SWT. Bagaimana? Jagalah ia dalam ibadah dan amal-amal islami kita. Ibadah dan amal dalam konteks yang sedar dan insaf. Ya..ibadah dan amal yang sedar dan insaf sahaja mampu mengurangi penyakit ini. Keinginan, nafsu, syahwat, urusan kelamin dan libido kita, jika dibiarkan, boleh menjalar entah kemana-mana. Bukankah begitu?
-doakan kesihatan saya juga =)

Monday, September 24, 2012

Bussiness Mahatma Ghandi style.....


“A customer is the most important visitor on our premises.
He is not dependent on us.
We are dependent on him.
He is not an interruption on work.
He is the purpose of it.
He is not an outsider to our business.
He is part of it.
We are not doing him a fa-vor by serving him…
He is doing us a favor by giving us the opportunity to do it.”


Kata-kata diatas bukanlah daripada CEO perniagaan yang terkemuka... Bukan juga daripada mutiara kata penulis buku perniagaan terkemuka... Tapi dikemukakan oleh seorang lelaki yang hidup dalam perjuangan, atas keyakinannya... seorang yang sangat berpengaruh... Mahatma Ghandi (kalau tak silap lah...)...

Bukanlah tujuan saya mengagungkan beliau, kerana hakikat kemulian seseorang itu pastilah pada ketakwaannya kepada Allah SWT... Tapi perlu kita ingat bahawa hikmah itu, barang yang hilang pada seorang mukmin...

وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
" الكلمة الحكمة ضالة الحكيم فحيث وجدها فهو أحق بها " 
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah sesuatu yang hilang daripada orang yang bijaksana, di mana sahaja dia mendapatinya maka dialah yang lebih berhak dengannya”

...Dan sinilah saya menjumpai, dan saya mahu kita kutip ia bersama-sama... Lagi pula, kita selaku seorang muslim... punya perniagaan yang jauh lebih besar dan utama... Ayuh kita lihat bait2 ini...

“A customer is the most important visitor on our premises.”

Sungguh, selaku seorang muslim, tidak cukup dengan hanya menjadi seorang yang soleh... sedangkan legasi Rasulullah SAW, membina individu-individu yang juga musleh... dalam konteks ini, individu disekitar kita merupakan customer atau pelanggan yang sentiasa perlu kita dekati... baik keluarga, rakan sekerja, sahabat2...Maka dimanakah premisnya???Kitalah premis-premis itu... premis2 yang yang seharusnya bergerak dengan akhlak dan cerminan peribadi alQuran...

"He is not dependent on us.We are dependent on him"

Telah saya khabarkan bahawa kita punya misi perniagaan yang besar... Hakikat sebenar sesebuah perniagaan adalah untuk mencari keuntungan... Sebuah syarikat pengangkutan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada orang ramai... kelihatan seperti orang ramai yang bergantung harap kepada syarikat tersebut... tetapi yang sebenarnya, tanpa orang ramai, tiadalah keuntungan pada syarikat itu...Maka apakah keuntungan yang kita harapkan atas kebaikan yang kita tunjukkan kepada sahabat, rakan,keluarga mahupun teman2 kita??? Firman Allah SWT dalam surah As-Saff (10-13) yang bermaksud;

"Wahai orang beriman! Mahukah aku tunjukkan kepadamu satu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih (ia adalah), kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dengan harta dan dirimu yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.
Dengan ini, Allah akan mengampunkan dosa-dosamu dan akan memasukkan kamu kedalam taman-taman yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai dan ia akan memasukkan ke tempat-tempat yang baik di dalam syurga. Itulah kemenangan yang besar.
Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan Allah dan kemenangan yang dekat.Dan sampaikanlah berita gembira itu kepada orang yang beriman"
 “He is not an interruption on work. He is the purpose of it.”

Dan apabila mereka mula berada disekitar kita, berlegar-legar di keliling kita... mula bertanya-tanya, minta pertolongan, nak berjumpa dan sebagainya..."ah...rimasnya.. aku busy ni!"... menyesal pula pernah menyantuni mereka....  malang...malang... akhirnya, tali yang pernah diikat kita uraikan satu persatu...hingga akhirnya mereka kembali terawang-awang... Andai kata dalam perniagaan, sudah pasti kita merugi dan hilang sudah punca pendapatan...


“He is not an outsider to our business. He is part of it.”

Kalau kita masuk ke premis orang, kemudian kita tidak begitu dilayan... pasti kita berlalu dan beredar ke kedai yang lain.... Kalau sudah masukpun masih merasa terasing, rasionalnya seseorang itu akan mencari ke suatu tempat yang dirasakan dipunyai... inilah dia sense of belonging.... rasa dipunyai dan dimiliki... merasa sebahagian daripada yang seluruhnya... Maka membuatkan seseorang rasa memiliki dan dimiliki kepada agama dan perjuangan ini terutamanya merupakan suatu tuntutan...

“We are not doing him a favor by serving him. He is doing us a favor by giving us the opportunity to do it.”

Dan akhir sekali, ingatlah... pelanggan punya pelbagai pilihan... mereka memuliakan kita dengan 'perniagaan' ini...mereka memboleh kan kita melaksanankan urusan ini dengan izin-Nya... kita yang memerlukan mereka walaupun sepertinya kita yang mahu memberi dan berkongsi...


Kata2 saya tujukan khusus untuk diri saya yang serba lemah dan tidak berdaya... Penulis ini juga perlu mengkoreksi diri dengan tulisannya sendiri...kerna saya dan kamu...(kalau takde la makhluk lain yg baca...)...  adalah manusia...insan... yang selalu lupa...Wallahualam...



Sunday, September 16, 2012

SHORT tazkirah....

Sungguh pada kelewatan malam ni....saya sgt2 kebosanan....moh belek2 cebisan tazkirah ni.... A short reminder....=)



Petikan dari kitab karangan Imam Al Ghazali sebagai panduan utk mengelak sikap takabur atau sombong diri: 

1. Apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia dari kita. Kerana kanak-kanak itu belum diberati dengan dosa, sedangkan kita hampir setiap langkah berbuat dosa. 

2. Apabila kita berhadapan dengan orang tua, anggaplah orang tua itu lebih mulia, kerana ia lebih lama beribadah daripada kita. 

3. Ketika kita berjumpa dengan orang alim, anggaplah beliau lebih mulia dari kita kerana banyak ilmu-ilmu yang tidak kita ketahui tetapi beliau mengetahuinya. 

4. Jika kita melihat orang yang jahil, janganlah anggap atau merasa diri mulia atau lebih baik daripadanya, kerana dia berbuat sesuatu kesalahan atau dosa kerana kejahilannya sedang kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya.

5. Jika kita berjumpa dengan orang jahat, janganlah anggap atau merasa diri mulia atau lebih baik daripadanya, tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin di masa tuanya ia bertaubat, memohon ampun dari perbuatannya. Sedangkan kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kita akhirnya.

6. Apabila berjumpa dengan orang kafir, katakanlah dalam hati, bahawa si kafir itu belum tentu kafir selamanya, mungkin di suatu hari datang keinsafan padanya, dia memeluk Islam dan semua dosanya di dalam kekafiran dulu diampuni Tuhan, sedangkan kita ini sejak lahir sudah Islam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan balasan pahala belum tentu lagi.

SAYA TERLUPA! Sungguh!

Hilang semangat dan lelah dalam menekuni hidup bekerjaya. Saya terus gagahkan diri...melangkah dan terus melangkah... Saban hari hakikatnya, saya menuju ketempat kerja dengan hati yang merengus... sungguh pada awalnya saya rasakan kehidupan ini bukan lagi 'kehidupan'.... Tidak lain melainkan sekadar manusia-manusia robot yang tekun bekerja untuk majikannya. Melalui celah-celah kota dan bandaraya, bergerak dan berlegar di laluan dan lorong-lorong.... Masing-masing melangkah laju... tidak terhirau lagi akan manusia lain, melainkan dalam minda... 'duit, gaji, pangkat, harta'... maka berlegar dan berputar lah kehidupan itu saban harinya di tempat yang sama....

Hahh... memang tak ubah sebagaimana apa yang pernah diberitakan kepada saya suatu ketika dahulu... Manusia-manusia robot yang tidak punya impian melainkan dalam kehidupan yang serba singkat ini. Toleh, ke kiri...toleh ke kanan... barangkali, saya juga sudah menjadi sebahagian mesin-mesin yang bergerak, tiap denyut nadi ini terbazir tenaganya dengan habuan dunia...mengeluh lagi....

Peluh mencurah-curah sesampai sahaja kaki menjejak lantai tempat saya bekerja. Lamunan dan rengusan tadi saya letakkan ke sisi, namun belum pantas saya buangkan dari hati...

"Iman, bos nak jumpa... katanya nak bincangkan post baru yang dia nak berikan pada you..."

Debar jantung saya semakin melaju... saya belum punya jawapan kukuh untuk menerimanya.... dalam hati saya bersuara..."... ahhh... aku ni bukan hamba manusia....=.="

Lagi pula melihat tanggungjawab dan tugas yang menjela-jela....

"This is your opportunity... we gonna start this thing together...the xxx class is well established... but this college  is still young... still our baby...we gonna work on it together... don't worry..."

Barangkali jelas penolakan itu pada wajah saya walaupun tiada satu butir ayat yang keluar dari bibir...

Dalam hati seorang 'manusia robot', saya bermonolog...."kalau gaji ko naikkan tak pe gak... aduih... banyak nye keje...." .......langsung saya tak punya semangat bermatian kerja UNTUK manusia.....

........beberapa hari berlalu........

Saya kembali ke bumi saya menuntut ilmu... semangat bertemu teman-teman yang sedang giat dengan usaha dakwah mereka... hati ceria saya hakikatnya bersulam malu kerana kefuturan sendiri di medan amal dan tarbiyah...

Berjumpa dengan penilai saya yang juga individu yang aktif dalam medan dakwah dan tarbiyah... saya tanyakan pandangan mengenai jawatan yang di syorkan kepada saya dihujung perbincangan... sungguh jawapan beliau tidak cliche.....huhu...

"hah.. sudah bagus lah... belajar dari situ kerana mungkin satu hari khidmat anta diperlukan... apabila kita mahu membina kolej kita sendiri nanti...."

Sungguh... sekali lagi saya lupa bahawa saya berada dalam medan realiti...medan amal dan medan tarbiyah yang sebenar... Sungguh hadith pertama dalam hadith 40 imam An Nawawi bermain di mata.... Setiap amal bermula dengan NIAT...

Alangkah indahnya jika setiap pekerjaann itu diiringi dengan niat kerana agamaNya...


..... Saya bersemangat....untuk memikul beban bekerja dan belajar untuk memanfaatkannya....demi kemaslahatan umat dan dakwah yg saya cintakan ini!!!!






Thursday, August 30, 2012

Brotherhood, the foundation of glory....

Jauh di sudut hati saya melonjak-lonjak untuk bertemu seorang sahabat dari Somalia setelah sekian lama kami tidak bersua muka....

"Where are you bro??? my flight's tomorrow... I want to see you..."

Hari ini hari terakhir beliau di bumi Malaysia... berbual panjang dengannya sungguh menambahkan ilmu dan iman... seorang hafiz Quran... Dia bukan sekadar seorang sahabat pada saya... dikala lapang kadangkala beliau mengajarkan saya bahasa Arab dan ilmu al Quran... seorang mua'lim dan seorang guru yang hebat. Atur katanya lembut, bicaranya penuh hikmah.... Disebalik warna kulitnya yang gelap, tersimpan hati yang putih bersih... mengingatkan saya pada Bilal bin Rabah....

Saling bertanya khabar, memula bicara... saya kisahkan kebatasan saya dalam menjaga amal....tiada teman-teman, dan sibuk dengan kerjaya.... lemahnya insan, saya berkeluh dihadapan beliau... jawabnya ringkas..." 

That is life... yet you must know how to appreciate what you have now..." 

Saya terdiam... dia menyambung lagi kata-katanya dengan sebuah cerita...

"You know bro... once upon a time, there was a man... He has everything in his life... wealthy, family...everything.... but he never felt happy... So he decided to travel around the world to find the meaning of happiness.... he traveled to many countries and met so many people, yet he still couldn't get the answer... to make it short, one day he arrived in land of wisdom.... China.... There, he met an old wise man....  He asked the same question to the old man... "Tell me the meaning of happiness...."... The old man said, "If you want to know the answer, you have to do this..." while giving the man a spoon with two drops of oil on it. "Now, bring along this two drops of oil around my house, and come back here when you've done...." 
gambar hiasan

When the man arrived, the old man asked him these questions...." did you see, the big garden next to my house???"....he replied..."no...." 

"Did you see, a beautiful column in in the middle of this house...?"...the man said "no"....

"Did you see a fountain in front of my house.... there are two beautiful golden fish in the pond.... did you see it?"...again, the man said "no...I didn't... now, tell me the meaning of happiness... "

The old wise man come closed to the young man and put his hand on his shoulder... "young man... sometimes we are too busy with small things until we forget every single blessing and happiness that God have had created and gave to us... happiness comes when you know ho to appreciate on every single things that you have in life... you don't have to chase it.....open your eyes...open your heart... and let the happiness come..."

Nah... disinilah letaknya nilai syukur seorang insan.... bersyukur dengn apa yang ada... sungguh itu lah kunci kebahagiaan... sudah punya kerjaya, punya wang juga saudara... atau.... tidak punya itu semua.... namun pasti kita masih punya kehidupan daripadaNya... masih boleh bernafas dan terus menerus bersyukur beramal dan bertaubat kepadaNya....

Untuk diri saya....bimbang bersorak-sorak mengaku diri bersyukur.....padahal tiada usaha memperbaiki nilai syukur itu.... maka dustalah segala apa atas pengakuan itu...

Wahai Tuhan kami, ampunilah kiranya dosa kami, hapuskanlah catatan kesalahan kami, dan jika kami mati, sudi kiranya Tuhan....masukkan kami bersama orang-orang yang berbuat kebaikan...



Oh ya... sahabat saya tadi.....Perpisahan kami diiringi satu doa yang sangat panjang dari beliau... (saya masih belum boleh memahami keseluruhan doa itu.... tapi itu sudah cukup membuatkan saya gembira.... ya, gembira atas sebuah pertemuan yang pernah dimulakan suatu ketika dahulu....)


Monday, June 18, 2012

Masa depan Mesir...



Situasi semasa yang berlaku sekitar pilihanraya di sini , sejak dari peristiwa keguguran pencalonan dua tokoh yang digeruni Barat , Hazem Salah dan Khairat Syatir dan seterusnya yang berlaku termasuk keputusan Mahkamah terhadap Mubarak dan keluarganya , dan pembubaran Dewan Parlimen , menandakan Ikhwan Muslimin tidak melangkah dengan mudah dalam percaturan ini .

Samada , Morsi berjaya sebagai Presiden dan terpaksa menghadapi cabaran berat menanggung segala kerosakan sistem Mubarak bersama ancaman Amerika dan Zionis , atau Morsi kalah dan Ikhwan Muslimin terpaksa menerima risiko tangkapan besar - besaran di tangan diktaktor baru , Syafiq , Nauzubillah min zalik ya rab .

Namun , semua ini , sudah dijangka Ikhwan Muslimin . Mereka bersedia hadapi .

Justeru , saya mengajak untuk kita belajar dan perhati , apa sebenarnya punca utama kekuatan Ikhwan untuk berani hadapi semua ini?

Ringkasnya , saya petik dari satu nota As-Syahid Syed Qutb ,salah seorang figur yang mewarnai fikrah Ikhwan Muslimin , yang beliau tulis setelah mendengar perbualan antara dua orang rakan , di sebuah kelab , mengenai perjuangan hidup mereka .

"Dari manakah kiranya para pejuang itu memperoleh kekuatan untuk perjuangan?

Dari penghargaan tanah air dan penghormatan rakyat?
Hal ini tidak pasti. Bangsa kadang-kadang mencapai suatu tingkat kesedaran sehingga ia tidak mungkin memberikan penghargaan. Bahkan kadang-kadang ia menghancurkan orang-orang yang menginginkan kebaikan baginya .

Dari kepercayaan kepada diri sendiri?
Juga tidak pasti. Diri kadang-kadang tidak dapat bertahan kerana godaan dan ancaman.

Harus ada suatu sandaran tetap yang tidak akan goyang. Harus bersandar kepada suatu kekuatan yang lebih besar dari kekuatan dunia, agar para pejuang dapat bertahan di depan ancaman. Para pejuang yang mencari sandaran di bumi ini tidak akan menjumpainya. Para pejuang yang mencari kekuatan di bumi ini, tidak akan menjumpai apa-apa.

Hanya satu sandaran yang tidak akan goyang. Hanya satu sandaran yang tidak akan menjadi lemah.

Iaitu Aqidah terhadap Allah. "

Aqidah mereka terhadap Allah , menetapkan kaki Ikhwan sejak dari 84 tahun dahulu ketika ditubuhkan sehinggalah saat genting mereka kini .

Teruskan berdoa untuk mereka , tanda kekuatan kita hanya terletak pada Allah semata.


 -FB-

Sunday, June 10, 2012

...LIFE...

Setiap kali kita melalui fasa-fasa dalam kehidupan, kita sering didatangi dengan pebagai-bagai perasaan. Kadangkala suka, kadangkala duka.... Selang beberapa ketika kita diuji... diketika lainnya kita tak putus-putus mensyukuri nikmat pemberian Illahi... begitu juga amal dan keimanan kita.. Ada masa kita dibawah, dimasa lainnya pula kita diatas... Hidup penuh dengan kejutan. Bahkan setiap hari kita melaluinya dengan pengalaman yang berbeza... Adalah mustahil kita melalui kehidupan dengan perasaan yang sama sedang sememangnya pengalaman semalam pasti menjadikan kita insan berbeda pada hari ini. 

Sedar ataupun tidak, segala yang berlaku dalam kehidupan kita merupakan suatu yang telah direncana... Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW ada bersabda...
Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya sebagai setitis mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya roh dan dia diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: menetapkan rizkinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya. Demi Allah yang tidak ada ilah selain-Nya, sesungguhnya diantara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya diantara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga  maka masuklah dia ke dalam syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Meneliti hadith ini dan melihat kembali jalan-jalan kehidupan yang telah kita lalui, pasti dan pasti kita meyakini bahawa ianya telah diatur oleh Illahi. Tidak semestinya bila kita mengatakan ia telah diatur dengan baik itu hanya apabila kita bertemu dengan kejayaan semata-mata. Kerana kejayaan itu juga merupakan ujian yang boleh membutakan kita...Kekalahan??? Sungguh saya sendiri pernah keliru dengan jalan-jalan yang telah saya turuti..kecewa...dan kadangkala putus asa... Namun disuatu ketika saya sedar perancangan Allah itu adalah yang terbaik walau kadangkala pada mulanya ia kelihatan buruk dimata kita. Cukuplah ianya mengajar saya dan kita semua untuk sentiasa bersikap dengan sikap qanaah.

Terlalu besar pengajaran yang boleh ditimba daripada hadith ini... dan tidak lah pula saya ingin ungkapkan kesemuanya disini..Sungguh 'jalan' kehidupan kita itu sebenarnya menuju kepada kematian yang pasti. Bahkan bukan pula kematian itu pengakhiran segalanya... Diantara kematian dan alam rahim itulah terletaknya neraca rezeki dan amal kita... tiada istilah terlewat mahupun terlambat...maka berdoalah supaya yang terancana itu membawa kita kepada kejayaan yang sebenar didunia dan diakhirat....

Friday, June 1, 2012

Kalau limaulah yang di perah...

Sejak kebelakangan ini, jiwa saya sangat-sangat runsing... sungguh, umpamanya mandi itu tak basah-basah, makan tidak pula berselera.... sekadar mengisi kekosongan perut yang berceriut meminta rezeki Maha Pencipta..bahkan sering pula yang tersisa... Tidur pula tiada lenanya... layaknya ibarat orang putus cinta... fikiran bercelaru... ya... dengan segala hambatan-hambatan dunia, benar-benar menguji keimanan saya...

Hubungan saya dengan adik-adik yang berada dalam halaqah, sejak seminggu dua ini sangat hambar... tiada nikmat melainkan cuba memenuhi 'tuntutan-tuntutan dakwah' semata. Setiap rencana pula sentiasa berantakan kerana perihal lain adanya... Hubungan dengan sahabat yang dahulu saya anggap umpama adik beradik, semakin lusuh dek keringnya kesefahaman bersama... umpama setiap perkara tidak kena serba segala...  Kajian-kajian yang sedang saya usahakan pula, tak ubah rentaknya seperti siput yang mengensot-ngensot... perlahan... dan sesekali terus-menerus tergendala...

Saya larikan diri dari kesibukan dunia mahasiswa...pulang ke kampung halaman... barangkali disitu saya bisa bertemu kedamaian... paling tidak menatap wajah ayah dan bonda yang bersusah payah membesarkan saya... melihat adik-adik yang sedang meningkat dewasa... sesekali bercanda bersama mereka... Saya silap... ubat yang saya cari itu tidak kekal lamanya... ibarat pain killer... hakikatnya sakit itu tetap ada... empat hari di kampung halaman, saya runsing kembali... memikirkan amanah yang saya tinggalkan nun di sana... rajuk hati saya dengan suasana rupanya tidak lama... saya kembali semula...

Saya bulatkan tekad untuk lebih tabah... hakikatnya saya menipu diri saya... saya tahu dimana silapnya... bukanlah segala masalah itu yang menjadi punca kerunsingan saya... masalah-masalah itu datang bermula daripada diri saya... saya runsing bukan kerana masalah yang melanda, saya runsing kerana nikmat bahagia itu sebenarnya yang tiada... Allahurabbi... dimana nikmat itu sebenarnya??? Sugguh mungkin kerana jauhnya saya dari terus menerus 'mendekatiNya...'...

Menatih kembali saya... kata orang, kalau limau lah yang diperah, asam lah yang keluar... barangkali kita sering menyalahkan persekitaran kita bila segala macam perkara tidak mengena.... barangkali kita perlu mengubah diri... sesekali melihat cerminan diri, membuat kan hati tertunduk sepi... T.T

Monday, May 21, 2012

Persaudaraan itu mahal harganya!

Maksud ayat:
"Dan Jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah Dengan sokongannya, pendirianku. Dan Jadikanlah Dia turut campur bertanggungjawab Dalam urusanku. Supaya Kami sentiasa beribadat dan memujiMu. Dan (supaya) Kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu. Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami"  (Thahaa; 29-35)

Sebuah kisah persaudaraan sepanjang zaman hakikatnya telah diriwayatkan sejak zaman nabi Musa a.s lagi. Nah! Lihatlah doa apa yang telah diminta oleh Nabi Musa a.s. Baginda meminta diberikan seorang saudara yang dapat menemaninya dalam berdakwah. Kerana apa? Kerana baginda tidak mampu untuk melakukannya jika hanya baginda bersendirian… Betapa baginda memerlukan seseorang yang dapat mendampinginya, mensucikan Rabbnya dan jalannya akan lebih indah! Lalu Allah SWT memperkenankan doa baginda yang mulia sebagaimana yang dicitakan… Firman Allah SWT yang bermaksud

Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa Yang Engkau pohonkan itu, Wahai Musa!” (Thahaa; 36)

Alangkah mahalnya harga sebuah persaudaraan dalam perjuangan sehingga seorang nabi pun memerlukannya! Begitu juga tauladan yang diberikan oleh Nabi kita Muhammad saw dalam lembaran sirah baginda yang agung. Tidak mahukah kita memperteguhkan ikatan di antara kita sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w tatkala baginda mempersaudarakan suku Aus dan Khazraj, suku yang pernah menyimpan hasad dan dengki yang mendalam antara satu sama lain. Atas nama persaudaraan inilah mereka ditautkan semula dengan kasih, sayang, cinta dan hidup semula berdampingan. Begitu juga kisah persaudaraan sahabat-sahabat lainnya seperti Abdurrahman ibn Auf, Sa’ad ibn Ar-Rabi’,Mus’ab ibn Umair dan lain-lainnya. Mereka telah memberikan contoh yang indah dan agung tentang cinta yang mulia dan ikrar dalam bersaudara.

Pesan Al-Ustaz Mustafa Masyur, “Peganglah wahai saudaraku tangan saudaramu di atas jalan dakwah dengan pegangan yang penuh cinta, ikrar dan kasih sayang dengan sepenuh kekuatan tanpa melepaskannya di waktu kegawatan atau di waktu susah atau di waktu berkecamuknya fitnah dan ujian atau di waktu terjadinya berbagai peristiwa.”...Pun begitu...
“ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud). 
Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
  • Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
  • Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
  • Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
  • Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
  • Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
  • Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.
Hidup bersahabat kadangkala meletihkan... namun disitu kita dapat menilai sejauh mana erti sebuah persahabatan...

Friday, May 11, 2012

KISAH ENSTEIN DAN PROFESORNYA

Ini merupakan suatu kisah yang saya cuba coretkan melalui sebuah video yang saya tonton. Video tersebut juga saya jadikan modal dan bahan untuk saya sampaikan kepada bakal-bakal guru sepanjang dua kali bengkel yang saya jalankan bersama teman-teman.

Kisahnya bermula seperti ini;

Pada suatu hari di dalam sebuah kelas, seorang profesor bertanya kepada pelajarnya...

"Adakah Tuhan menciptakan segalanya?"
Jawab pelajarnya..."Ya profesor..."

Profesor berkata lagi "Seandainya Tuhan menciptakan segalanya, maka Tuhan turut menciptakan kejahatan... Maka dengan itu Tuhan adalah jahat..."

Dalam suasana yang sunyi sepi dan terpana dengan hujah seorang profesor, bangkit seorang pelajar dan bersuara..."Maaf profesor...adakah kesejukan itu wujud?" Jawab profesor..." Apa jenis soalan yang ditanya ni??? tentulah kesejukan itu wujud..."

jawab pelajar tersebut..."Tidak Profesor... Adakah kegelapan itu wujud?"

Jawab Profesor..." Mestilah kegelapan itu wujud..."

Jawab pelajar..." Sebenarnya, kesejukan tidak wujud... kesejukan wujud kerana ketiadaan haba... kegelapan juga tidak wujud... suasana menjadi gelap kerana ketiadaan cahaya... begitu juga dengan kejahatan... ia wujud kerana ketiadaan Tuhan dalam hati manusia..."

Tertunduk-tunduk sang Profesor memikirkan logik pelajarnya...

Apa sebenarnya yang ingin perhatikan dalam kisah ini? sungguh dalam kisah ini ada dua watak yang ditonjolkan iaitu Sang Profesor yang cuba membuang roh agama dengan logiknya, dan seorang pelajar yang berhujah dengan logik bagi membela kepercayaannya...

Sungguh dunia barat pernah membuang nilai sehingga mereka ketandusan nilai pada hari ini... membuang roh agama jauh-jauh dari kehidupan kerana suatu ketika dahulu mereka dikongkong oleh gereja sehingga mundur kebelakang. Pecutan mereka itu melemah jua akhirnya...sehingga terpaksa mengiklankan semula nilai dan roh agama dalam kehidupan. Dunia materialis itu akhirnya melemahkan jiwa-jiwa generasi muda mereka...sehingga akhirnya mereka terpaksa merintih kembali kepada nilai-nilai dalam hidup beragama...

Tetapi untuk kembali kepada agama, perlulah berada pada yang selayaknya...
Firman Allah SWT yang bermaksud "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam...."

Maka disitulah tempat kembali layaknya....

Teringat pesan seorang teman... Zaman ini zaman orang kembali kepada Islam... maka rugilah orang-orang yang tidak menuruti zamannya... sungguh dia orang-orang yang ketinggalan... Dunia Barat menyedarinya, maka apatah lagi kita yang sudah lama maklum akan sifat agama dan keyakinan kita... wallahu'alam...