Maksud ayat:
"Dan Jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah Dengan sokongannya, pendirianku. Dan Jadikanlah Dia turut campur bertanggungjawab Dalam urusanku. Supaya Kami sentiasa beribadat dan memujiMu. Dan (supaya) Kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu. Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami" (Thahaa; 29-35)
Sebuah kisah persaudaraan sepanjang zaman hakikatnya telah diriwayatkan sejak zaman nabi Musa a.s lagi. Nah! Lihatlah doa apa yang telah diminta oleh Nabi Musa a.s. Baginda meminta diberikan seorang saudara yang dapat menemaninya dalam berdakwah. Kerana apa? Kerana baginda tidak mampu untuk melakukannya jika hanya baginda bersendirian… Betapa baginda memerlukan seseorang yang dapat mendampinginya, mensucikan Rabbnya dan jalannya akan lebih indah! Lalu Allah SWT memperkenankan doa baginda yang mulia sebagaimana yang dicitakan… Firman Allah SWT yang bermaksud
“Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa Yang Engkau pohonkan itu, Wahai Musa!” (Thahaa; 36)
Alangkah mahalnya harga sebuah persaudaraan dalam perjuangan sehingga seorang nabi pun memerlukannya! Begitu juga tauladan yang diberikan oleh Nabi kita Muhammad saw dalam lembaran sirah baginda yang agung. Tidak mahukah kita memperteguhkan ikatan di antara kita sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w tatkala baginda mempersaudarakan suku Aus dan Khazraj, suku yang pernah menyimpan hasad dan dengki yang mendalam antara satu sama lain. Atas nama persaudaraan inilah mereka ditautkan semula dengan kasih, sayang, cinta dan hidup semula berdampingan. Begitu juga kisah persaudaraan sahabat-sahabat lainnya seperti Abdurrahman ibn Auf, Sa’ad ibn Ar-Rabi’,Mus’ab ibn Umair dan lain-lainnya. Mereka telah memberikan contoh yang indah dan agung tentang cinta yang mulia dan ikrar dalam bersaudara.
Pesan Al-Ustaz Mustafa Masyur, “Peganglah wahai saudaraku tangan saudaramu di atas jalan dakwah dengan pegangan yang penuh cinta, ikrar dan kasih sayang dengan sepenuh kekuatan tanpa melepaskannya di waktu kegawatan atau di waktu susah atau di waktu berkecamuknya fitnah dan ujian atau di waktu terjadinya berbagai peristiwa.”...Pun begitu...
“ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).
Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
- Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
- Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
- Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
- Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
- Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
- Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
- Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
- Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;
- Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
- Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
- Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
- Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
- Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
- Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.
Hidup bersahabat kadangkala meletihkan... namun disitu kita dapat menilai sejauh mana erti sebuah persahabatan...
No comments:
Post a Comment