Everyone misbehaves. There is hardly a person on earth who has not at some time done something he or she knew to be wrong or even illegal. (Robert E. Slavin,2009)
Itu kata-kata daripada buku educational psychology yang sedang saya teliti sebentar tadi. Jika boleh saya terjemahkan semula, lebih kurang maksudnya "Semua orang melakukan salah laku. Amat sukar menemui seorang manusia di atas muka bumi ini yang tidak pernah melakukan suatu kesalahan tanpa dia mengetahui perkara tersebut salah bahkan ditegah."
Kata-kata ini terus membuatkan saya teringat kepada sebuah hadith baginda Rasulullah (saw) yang bermaksud;
Semua anak Adam itu melakukan kesalahan. Sebaik-baik pelaku kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat (Riwayat Ahmad, al- Tirmizi dan Ibn Majah)
Bidang psikologi mengiktiraf bahawa seorang insan akan cenderung untuk melanggar arahan dan melakukan kesalahan. Kerana itu jugalah manusia juga dipanggil insan. Menurut
Rohana (2010) dan Syed Muhammad Naquib al-Attas (1990), takrif perkataan insan bagi
manusia merupakan perkataan yang berakar daripada kata ‘nasiya’ yang memberi makna pelupa. Nah, inilah fitrah kejadian manusia iaitu makluk yang sering lupa.
Sifat kelupaan insan itu menyebabkan kita sering mengulang-ulang kesalahan. Menurut ahli psikologi, kekerapan mengulang kesalahan inilah yang membezakan tahap misbehave antara seorang insan dengan insan yang lain. Bagi saya ada satu lagi perbezaan ketara dalam kecenderungan negatif tersebut iaitu tahap salah laku yang dilakukan mengikut kaca mata moral dan akhlak sebagaimana dilihat dalam norma masyarakat dan agama.
Salah laku berat pada mata masyarakat dan agama adalah suatu jenayah yang perlu dibenteras. Pengulangan salah laku berat ini dipanggil residivisme dalam istilah kepenjaraan. Pengulangan salah laku yang ringan pula merupakan kecanduan moral, adab dan akhlak yang perlu dibaiki sebelum menjadi lebih parah dimasa akan datang.
Menyedari hakikat insan yang terlalu lemah dan mudah tergelincir dengan kesalahan, Islam menawarkan jalan taubat yang membuka segala pintu harapan, baik pada salah laku yang ringan mahupun berat. Itulah dia jalan untuk kembali kepada Tuhan dengan kesedaran dan iman. Bagi seorang yang mahu menelusuri jalan taubat ini, segala cita dan harapan sentiasa terbuka luas selagi mana dia percaya kehidupan ini bukan sia-sia dan akhirat sana dia akan kembali kepadaNya. Hal ini sebagaimana yang disebutkan Hamka dalam buku Falsafah Hidup beliau;
“Iman, kepercayaan yang teguh, itulah yang menguatkan fikiran sehingga tidak keluar dari batas yang dilaluinya. Ia percaya bahawa dia dijadikan tidak dengan sia-sia dan alam inipun tidak dijadikan dengan sia-sia. Lantaran itu, sentosalah hatinya dan tenteramlah semangatnya.”
Sekali lagi coretan ini, nasihat untuk diri saya, seorang insan yang sering lupa dan lemah daya. Perjalanan ilmu dan pengalaman hidup mengajar dua perkara penting kepada saya;
- Semua orang berpotensi melakukan kesalahan
- Maka bersedialah untuk memohon maaf dan memaafkan
Sedang Pencipta kita sangat pemaaf kepada makhlukNya.
Siapa-siapalah kita...
No comments:
Post a Comment