Saturday, September 6, 2014

Yusuf; kau memilih penjara

Beberapa hari lalu, saya membuat kajian ringkas berkaitan kisah Nabi Yusuf a.s. Memandangkan bidang kajian saya adalah pemulihan di penjara, saya tertarik untuk meneliti kisah baginda sebagai pedoman.

Siapa yang tidak kenal dengan Nabi Yusuf a.s dan kisahnya. Bahkan perjalanan hidupnya diceritakan secara jelas di dalam al-Quran. Saya mula tertarik untuk melihat kisah Nabi Yusuf secara terperinci apabila melalui suatu slot penyampaian oleh seorang sahabat. Nabi Yusuf a.s adalah anak ke tujuh daripada 12 orang anak Nabi Ya’qub a.s. Beliau juga merupakan keturunan Nabi Ibrahim a.s. Nabi Yusuf a.s dikurniakan oleh Allah S.W.T rupa paras yang kacak. Beliau satu-satunya anak yang dimanjakan oleh Nabi Ya’qub a.s, berbanding dengan saudara-saudaranya yang lain, terutamanya setelah kewafatan ibu kandungnya.

Kisah yang rinci boleh dibaca dalam surah Yusuf dan kitab-kitab tafsir yang ada.

Antara kehebatan Nabi Yusuf a.s yang amat saya kagumi adalah kekuatan imannya yang mampu menolak pujuk rayu kepada kemaksiatan. Kekuatan iman dan keikhlasannya dalam menegakkan deen dalam diri menewaskan segala godaan dan kesukaan seorang insan. Nabi Yusuf a.s pernah dipenjarakan walaupun tidak bersalah. Bahkan beliau rela memilih penjara daripada mengikut godaan-godaan yang datang dek kerana ketampanannya. Jatuh bangun kehidupannya tercatat jelas. Itulah Yusuf, seorang nabi yang pernah menjadi mangsa kedengkian saudarannya, pernah dijadikan hamba, diambil dan dibesarkan oleh al-Aziz bagaikan anak sendiri, digoda oleh ibu angkatnya Zulaikha, dipenjarakan, dan kemudiannya diangkat menjadi Menteri Mesir yang bijaksana. 

Kisah Nabi Yusuf a.s membuka mata saya bahawa penjara bukanlah tempat letaknya segala kehinaan manusia. Barangkali ada yang dipenjarakan itu adalah orang-orang yang tidak bersalah dan terfitnah. Atau mungkin kerana tersilap langkah dalam percaturan dunia. Masih segar lagi diingatan saya sawaktu melawat sebuah sekolah Henry Gurney di bawah kelolaan Jabatan Penjara Malaysia. Sewaktu tiba di dalam kawasan 'persekolahan' yang di kawal ketat tersebut, mata saya terpandang satu wajah yang sangat suci dan mulia. Saya hairan bagaimana dia boleh berada di tempat seperti ini. Belum sempat saya bertanya, warder yang bertugas memaklumkan kepada saya bahawa pelajar tersebut merupakan pelajaran target untuk SPM tahun ini dan merupakan hafidz al Quran. Saya terkesima dan membatalkan persoalan yang bermain di minda. 

Hari ini, setelah melalui beberapa liku dalam kehidupan, bahkan bertarung dalam menyiapkan kajian pemulihan di penjara, saya sedar akan sesuatu yang jauh lebih besar daripada kajian saya. Bahkan Allah swt telah lorongkan saya untuk 'memenjarakan' kehidupan saya secara rela dan terpaksa. Maha Suci Allah yang lebih mengetahui perancanganNya. 

Yusuf a.s telah memilih penjara daripada godaan wanita. Pada saya bukanlah penjara pada jasad itu yang lebih membawa makna, tetapi bagaimana kita memenjarakan jiwa kita daripada terhasut dengan nafsu dan godaan dunia. Orang yang memenjarakan jiwa daripada cinta dunia, sebenarnya membuka pintu baru kepada cinta Pencipta.  Betapa indahnya apabila hal itu berlaku dalam kehidupan kita. Hal inilah yang akan membahagiakan kita sampai bila-bila.

Dalam kisah Yusuf, setelah tinggal bersama keluarganya di Mesir, Yusuf hidup penuh dengan penuh gembira. Allah SWT menggambarkan di hujung surah ini tentang kesyukuran Nabi Yusuf a.s yang tinggi dengan doa uyang sering dipanjatkan kepada Allah SWT hingga ke akhir hayat baginda.

رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِن تَأْوِيلِ الأَحَادِيثِ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ أَنتَ وَلِيِّي فِي الدُّنُيَا وَالآخِرَةِ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ





Ertinya: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".




Sesungguhnya masa lampau kita semua telah berlalu. jasad kita tidak terpenjara dan dipenjara, maka masukkanlah jiwa-jiwa kita dalam penjara dunia yang sementara. Bersangatan jauhnya iman yang ada pada saya jika nak dibandingkan dengan kuatnya iman Nabi Yusuf a.s. Bahkan mungkin tak layak langsung untuk dibanding. Namun ada sesuatu yang boleh saya jadikan motivasi, bahawa kejayaan, kegembiraan dan ketenangan itu hadir bila kita dekat dengan Pencipta. Dan doa saya juga...Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".



No comments:

Post a Comment