Wednesday, September 3, 2014

Ustaz 'Z'

Perbualan kecil saya dengan seorang ikhwah telah didengari oleh seorang lagi sahabat saya Ustaz Z. 
"Anta ada masalah apa ni akhi? tak cerita apa pun dengan ana..."

Saya tertunduk malu...

"Tak da apa-apa ustaz... biasalah semua orang ada masalah" saya berdalih...

Sungguh saya berasa terlalu kerdil di hadapan ikhwah-ikhwah yang berdiri di hadapan saya. 

Puas di pujuk, saya akur. Pada saya ustaz Z bukan sahaja seorang guru agama, beliau juga merupakan jiran dan juga sahabat saya. Dia juga guru saya secara tidak langsung. Banyak persoalan dan masalah saya yang beliau selesaikan sebelum ini. 

"Tapi ustaz, ana tak boleh cerita semua... emmm... lagi pun murabbi ana dan sahabat karib ana dah banyak bantu... zaujah ana jugak banyak beri kekuatan pada ana" jawab saya.

Ustaz Z merenung saya dalam-dalam. Tertunduk lagi wajah saya. "Baiklah.." jawab beliau ringkas.. kami bersiap-siap mengemas peralatan program dan bergegas menuju ke kereta untuk makan dan menunaikan solat jumaat. 

Di meja makan dan di dalam kereta, tidak putus-putus nasihat dan kata-kata semangat yang beliau berikan. Tidak ada apa pun yang saya kisahkan kepada beliau, namun setiap bait nasihat dan kata-kata yang meluncur dari mulut beliau, tepat mengenai permasalahan saya. Satu demi satu, bagai merobek jiwa saya. Sungguh beliau dapat membaca keresahan saya dan cuba mendamaikan perasaan saya. Dari kisah-kisah tauladan sehinggalah ayat-ayat Al-Quran membasahi jiwa dan emosi saya.


Bukanlah kisah Ustaz Z yang ingin saya bawakan, cuma beliau merupakan contoh individu yang Allah SWT bawakan dalam kehidupan saya. Beliau juga tidak sempurna seperti mana saya, namun selalu mengingatkan saya kepada perkara-perkara kebaikan. Kisah hidupnya yang lampau dan siapa beliau pada hari ini banyak memotivasikan saya untuk bangkit daripada langkah-langkah saya yang tempang. Beliau menjadi jambatan kasih sayang Allah SWT yang melimpah dari air mata penyesalan saya. Maka benarlah potongan hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra ini;

Rasulullah saw. bersabda: Allah Taala berfirman: Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku selalu bersamanya ketika dia mengingat-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam dirinya, maka Aku pun akan mengingatnya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam suatu jemaah manusia, maka Aku pun akan mengingatnya dalam suatu kumpulan makhluk yang lebih baik dari mereka. Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari. (Shahih Muslim No.4832)


Dan semoga saya terus kuat mendepani kehidupan. Saya masih punya ibu bapa yang perlu di balas jasanya, masih punya mertua yang perlu disantuni, masih punya isteri untuk dilimpahkan kasih dan sayang, masih punya keluarga yang menceriakan, masih punya sahabat-sahabat yang setia saat susah dan senang, masih punya dakwah dan tarbiyah untuk saya mendaki dan terus mendaki. Dan semoga thabat dan istiqamah menjadi teman paling karib dalam hidup saya sampai ajal menjelma.

Ini jihad saya!

InsyaAllah di lain masa, saya akan cuba kumpulkan nasihat-nasihat ustaz Z dalam penulisan saya. 








No comments:

Post a Comment