Monday, March 18, 2013

Dia dan dia...

Nama dia sama... tapi... terlalu sangat kami ini berbeza...aku malu...

Aku rasa aku pun tak pernah mengenali dia... tapi ada suatu perasaan yang mengatakan aku pernah berjumpa dengan dia... aku tak tahu...

Dia sangat hebat... Pemergian dia di tangisi ribuan sahabat dan teman. Kisah-kisah hidup dia menjadi tatapan dan pedoman... Dia disayangi kerana dia melimpahkan sayangnya...

Hidupnya berjuang... hidupnya berkorban... hidupnya dakwah... hidupnya juga tarbiyyah...

Tapi saat kehidupnya, dia manusia biasa. Tak ramai yang notice kewujudannya... tak ramai yang tahu perjuangannya... dia manusia biasa...

Saat dia pergi... seolah-olah segalanya terbongkar... ibarat satu rahsia yang rancak tersebar... siapa dia?? siapa dia???

Aku malu....kerana nama ku sama dengan dia...

Tapi dia dah mendahului aku...Sedang aku tak tahu kesudahan kisah ku...

Aku menjadi semakin malu.... kerana sahabat2 ku... hampir kebanyakan pernah berhubungan dengan dia... Antara dua 'Iman' ini... aku rasa sangat hina.... kerdil dan tak berdaya...

Aku cuba untuk mengambil kisahnya bersahaja....

Setiap kali melintasi titipan perkongsian para sahabat... ada satu perasaan yang membuku di dada... antara aku dan dia...  ibarat dua benua... tahniah akhi... enta mencuri perhatian ana akhirnya!

T.T air mata tertumpah...

Ya Allah... kuatkan aku atas ujian yang mendatang supaya aku mampu sehebat dia...











Wednesday, March 13, 2013

Kepada siapa undi kita?


Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, bahang pilihan raya semakin dirasai. PRU 13 is just around the corner. Dalam kehangatan kempen yang langsung dan tidak langsung dari pembangkang dan kerajaan terutamanya, masih ramai lagi rakyat yang terkeliru atau ‘tertipu’ dengan permainan politik semasa. Tidak termasuk lagi ‘muka-muka baru’ yang cuba bernafas dalam arena politik tempatan. Warna-warna bendera hijau, biru muda, biru, putih dan kini coklat (ke kuning?) mula melambai-lambai di kampung dan di jalanan.
Saya tidak mahu berbicara panjang kerana saya faham ada yang akan panas hati sekiranya tidak kena penulisan ini dengan mereka.  Ambil nafas dan bertenang…

Pertama sekali, mari kita ambil masa dan melihat sendiri corak langkah politik tanah air kita. Apa misi kita dan dengan siapa sebenarnya kita berhadapan.  Adakah kita mengundi Najib, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, TG Hj Hadi, atau Abdullah Zaik? Hakikatnya dalam politik tanah air kita khususnya dalam mendepani pilihanraya akan datang, bukanlah individu itu yang diundi…(walaupun seakan dalam satu kawasan, Si Fulan bin Si Fulan lah yang bertanding).

Landskap politik kita merupakan Syaksiyah I’tiba-iyah iaitu suatu percaturan politik yang melibatkan legal entity atau lembaga (bukan rasaksa gorgon). Ini sangat berbeza dengan Syaksiyah Tabi’iyah iaitu politik yang melibatkan percaturan antara individu. Dalam konteks negara kita, hal ini merupakan satu perkongsian kuasa antara kelompok-kelompok dan yang paling ketara adalah percaturan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Dengan mengundi Dato’ A, Kita telah memenangkan satu kerusi di satu kawasan yang membuatkan satu kelompok mendapat majoriti kerusi dalam parlimen walaupun dengan lebihan hanya 1 kerusi. Matematiknya semudah itu.

Kelompok atau entiti inilah yang akhirnya akan mencorakkan pembangunan dan pentadbiran Negara Malaysia tercinta. Sudah pasti mana-mana pun yang menang, akan membawa kemaslahatan serta kemudaratan tertentu kepada pihak tertentu, dan yang pasti mempunyai agenda-agenda tersendiri.  Mereka tidak suci dari salah dan silap. Dan tidak semua pemain-pemain politik ini kotor-kotor belaka. Inilah nature insan yang hidup berorganisasi.  Mana-mana pun pilihan kita punya risiko tersendiri.

Dalam kaedah fiqh ada satu prinsip yang dipanggil ‘Akoffu Dhararain’.  Antara dua mudarat, kita diminta untuk mengambil mudarat yang kecil berbanding mudarat yang lebih besar. Bagaimana melihat kepada  maslahat dan mudarat ini? Kita boleh analisis sendiri. Siapa yang zalim, siapa yang suka mengada-adakan cerita dan siapa yang mentadbir dengan jayanya. Fakta-fakta ini sudah boleh di capai dengan mudah di mana-mana. Ada pula yang mengatakan dengan mengundi kelompok tertentu akan menghapuskan keistimewaan melayu dan membahayakan agama Islam sebagai agama persekutuan. Apatah lagi undi yang dicampakkan itu kepada calon bukan Islam. Negara bangsa dan agama akan tergadai. Ini suatu pandangan yang tidak tepat. Banyak ulama’ kontemporari yang mengatakan undi kepada calon bukan Islam adalah harus seperti Dr. Abdul Karim Zaidan, Dr.Yusuf al Qardhawi Dr. Tawfiq Sawi dan banyak lagi.  Ini kerana undi keatas mereka bukan menjadikan mereka wali atau pemimpin mutlak yang menentukan segalanya.  Undi keatas mereka mungkin menentukan kemengan keatas kelompok yang boleh memudah dan melancarkan proses pembawaan kemaslahatan kepada ummah keseluruhannya.

Kemengan calon bukan Islam contohnya dalam mana-mana kelompok, seandainya menang semua kerusi sekalipun tidak mampu mendapat majoriti kerusi dalam parlimen. Walaubagaimanapun samaada BN atau PR atau mana-mana yang berhajat untuk mentadbir negara, kerjasama dalam politik antara Muslim dan non-Muslim merupakan suatu kerperluan.  Seandainya suatu kawasan itu mempunyai pengundi seramai 75% komposisi kaum A, maka untuk En B yang berbangsa C bertanding dan menang adalah sangat tipis. Justeru itu untuk mendapatkan kerusi di kawasan A, dan mendapat lebihan kerusi di Parlimen adalah dengan mengundi En. D yang berbangsa A itu sendiri.  

Akhir kalam sejujurnya saya cenderung untuk memenangkan PR walaupun dengan cara mengundi calon bukan Islam.  Ada 5 perkara yang menguatkan prinsip saya;
1.       Saya percaya misi dakwah dapat dilaksanakan dengan mudah dibawah pimpinan PR (contohnya atas apa yang kita lihat di Selangor hari ini).
2.       Terdapat ramai aktivis Islam dalam PR (Pas dan Sebahagian calon Keadilan yang berfikiran Islami)
3.       Keadaan kerajaan sekarang yang tidak lagi efisyen dalam pengurusan Negara (sila cari fakta)
4.       PR telah meunjukkan angka prestasi dalam tempoh singkat pentadbiran (sila cari fakta)
5.       PR dijangka mampu membentuk kerajaan yang lebih baik

Dan sudah pasti dengan memenangkan PR, kita perlu beriaksi dengan usaha mendepani cabaran dan kekal dengan prinsip-prinsip yang membawa kemaslahatan kepada agama, bangsa dan negra.

Owh… saya hampir terlupa, jika ada mana-mana parti kecil yang cuba mengambil peluang dalam pilihan raya akan datang, saya rasa ini bukan masanya untuk mengundi mereka. Bayangkan undi Melayu dan Islam yang terpecah-pecah kepada BN, PR dan ‘mereka’ … sudah pasti menjadi lebih berbahaya.
Maaf, ini Cuma sekelumit pandangan daripada saya... 

Tuesday, March 12, 2013

Surah Al-Infitar



1. apabila langit terbelah;
2. dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;
3. dan apabila lautan pecah bercampur-baur;
4. dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, -
5. (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa Yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.
6. Wahai manusia! apakah Yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah? -
7. Tuhan Yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan Yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan Dengan kekuatannya;
8. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja Yang dikehendakiNya, ia menyusun kejadianmu.
9. sebenarnya tidak ada Yang memperdayakan kamu (hai golongan Yang ingkar)! bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.
10. padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat Yang menjaga dan mengawas Segala bawaan kamu,
11. (Mereka adalah makhluk) Yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);
12. mereka mengetahui apa Yang kamu lakukan.
13. (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa Yang berbakti dan siapa Yang bersalah) - kerana sesungguhnya: orang-orang Yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada Dalam syurga Yang penuh nikmat;
14. dan Sesungguhnya orang-orang Yang bersalah, bertempat Dalam neraka Yang menjulang-julang.
15. mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan,
16. dan mereka (sentiasa berada Dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.
17. dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari Pembalasan itu?
18. sekali lagi, apa jalannya Engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari Pembalasan itu?
19. (hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan Segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.


Ya Allah... sedang aku menghafal surah ini... adakah sekelumit gentar di dalam dada????.. T.T

Friday, March 8, 2013

Monolog


Dahulu aku rasakan jalan itu mudah
Ku tempuhi jalan itu…senang dan tenang…
Namun ternyata itu cuma sangkaan ku semata
Pada sebuah permulaan bagi yang baru bermula…

Jalan itu panjang
Jalan itu payah
Jalan itu bukan sekadar menempuh satu dua ujian mendatang
Di atas jalan itu,
Ujian terus menerus bertandang

Sekali menapak tak tentu kehadapan
Dua kali menapak sudah jatuh kebelakang
Ku bangun lagi…
Dan menapak lagi…
Rupanya aku hanya bertatih untuk sekian lama

Aku sedar,
Mungkin aku tak perlu ke destinasi 
Kerana pandangan Tuhan jatuhnya di hati
Maka berapa kali ku jatuh lagi
Ya Rabb… kekalkanlah hati ini untuk terus kembali.

Mati yang pasti,
Biarlah ia disaat aku berlari pada Mu Illahi..


Thursday, February 21, 2013

Ada apa dengan Syria?

Selama ini setiap kali sahabat-sahabat saya mengirim video berkaitan kekejaman rejim Baysar Assad di Syria, saya akan mengelak untuk menontonnya. Video-video yang tersaji di ruang facebook saya tidak pernah ditonton. Bukan kerana tidak perihatin atau tidak mahu ambil peduli, tetapi saya tidak sanggup untuk menatap rintihan ibu-ibu, anak-anak dan bapa-bapa yang kehilnagn hampir segalanya. Tidak sanggup untuk saya menatap senyuman mereka dalam derita, apatah lagi air mata yang berlinang dengan sengsara.

Saya sedar bahawa kekejaman Basyar Assad ini lebih dasyat daripada apa yang bisa tergambar dalam benak pemikiran. Lebih kejam dan lebih ganas dalam meratah nadi kehidupan. Lebih-lebih lagi pula jenayah itu disembunyikan dari tontonan dunia. Sepi dalam kancah keruntuhan tanpa sekelumit perhatian. Dibelakang sang penjenayah pula berdiri kuasa-kuasa berkepentingan. bahkan ada yang bersetongkol membekal senjata dan menjadi sekutu kepada kekejaman. Rakus dan terus rakus melanyak jasad dan jiwa saudara kita disana.


Hati hiba....


Semalam dalam satu program perkongsian tentang isu Syria, saya duduk betul-betul berhadapan dengan dengan skrin yang dipancar. Mata terpana... hati berdebar... saya tidak boleh melarikan penglihatan saya lagi... Malam itu, mata ini menyaksikan kekejaman-kekejaman yang berlaku dihadapan mata. Sesekali saya meredupkan pandangan. Tidak mampu lagi menatap. Sesekali saya tutup mata dengan jari jemari... Dibelakang terdengar suara-suara yang beristighfar dan bertakbir perlahan...

Dalam simpati, tersisip kekaguman terhadap ketabahan saudara-saudara kita disana... Mereka para mujahid yang mulia. Dan Allah telah memilih mereka... Mengungkap kembali kata-kata penyampai penyampai pada malam itu, iaitu Dr.Munawwar, benar-benar membuatkan diri insaf dan terasa kerdil...

"Dahulu...Syria pernah juga aman seperti di Malaysia... ia sebuah negara yang cantik seperti Malaysia... ekonomi berkembang pesat disana... Antum tahu tak buah-buahan terbaik juga datang dari bumi Syria.... tapi siapa sangka apabila keadaan berubah sebaliknya..." kami tersentak...timbul persoalan... bersediakah kita jika situasi yang sama berlaku di Malaysia???

Masih lagi terngiang-ngiang video yang dimainkan... Ungkapan daripada salah seorang tentera Free Syrian Army...

"...beberpa bulan yang lalu... kami langsung tidak pernah terfikir untuk mengangkat senjata..."

beliau merupakan orang awam yang sebelum ini tidak pernah terlintas untuk menjadi pejuang keamanan...

Begitu juga satu kalimah daripada Doktor perubatan disana...benar-benar menyentuh sanubari saya sebagai insan...

"Saya terfikir untuk keluar dari sini, dan menjalani kehidupan yang biasa...bekerja dan menjaga keluarga saya... tetapi jika saya berbuat begitu... siapa yang akan merawat mereka....(mata beliau berkaca-kaca...)... Oleh itu, saya lebih rela berada disini...dan berharap keadaan akan kembali seperti sedia kala..."

Tahukah anda... hospital tempat beliau bekerja itu, telah dibedil berkali-kali dengan sengaja oleh tentera Basyar... dan ramai juga yang telah terkorban... tetapi beliau masih disitu demi tanggungjawab beliau kepada umat yang tidak bersalah... mengenepikan segala kehendak dan kepentingan peribadi beliau...

Air mata ulama disana tertumpah.... "dimanakah cakna umat ini?"

maka, sudah bersediakah kita beralasan... atau lantaklah mereka!

Please do something.... saya merayu.... walau Tuan-puan sekadar bercerita... biar umat ini tahu... biar kita sedar.... let the first step begin.... walau sekadar doa... kerana ia juga senjata... 

Atau kita memilih untuk berpeluk tubuh...memejam mata..memekak telinga....lantas sewenangnya kita bertanya... "ada apa dengan Syria? Bukan masalah saya!"

Saya tidak sanggup menonton kembali apa yang telah saya saksikan... namun saya bersaksi bahawa memang tiada kekejaman sedasyat apa yang saudara kita di Syria sedang lalui....


Friday, February 15, 2013

PERKAHWINAN TERINDAH



Firman Allah SWT yang bermaksud;

Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Rabb kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu, dan darinya Allah menciptakan isterinya; dan dari keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya, kalian saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu mengawasi kalian.
Anak muda itu belum layak untuk membicarakan indahnya perkahwinan. Apatah lagi masih belum berumahtangga. Dalam usian 26 tahun, selayaknya sudah bersedia untuk memimpin sebuah keluarga. Sudah memiliki dua ijazah (Sarjana Muda dan Sarjana), bahkan punya kerjaya yang stabil. Cumanya barangkali kerana usia kerjaya yang baru mencecah lapan bulan, membataskan niat dan keiinginan yang ada. Tabungannya masih sempit. Kadangkala boleh sahaja menabung lebih, kadangkala tabungan itu dikorek-korek semula.

Inilah hakikat yang berlaku dalam banyak kehidupan pemuda. Pemuda dalam jiwa yang bergelora bukanlah mudah menghadapi apa yang dinamakan kehidupan. Sekelilingnya bukanlah para malaikat, bahkan ujian-ujian dan mehnah yang terpaksa ditempuhinya. Jiwa pemuda meronta. Saban minggu berpuasa, saban waktu memohon perlindungannya. Saban ketika kerap juga jiwa kerdil itu kecundang dengan dunia. Pemuda terseksa.

Islam menggariskan jalan untuk sang pemuda menuntun fitrah suci itu. Fitrah yang merupakan naluri ciptaan Maha Pencipta. Maka diciptakan jalan syariat, sunnah daripada Rasul junjungan. Maka dijadikan perkahwinan, agar jiwa suci sang pemuda menjadi tenang dengannya. Sungguh berpuasa itu jalan yang mulia, tetapi tiada terbanding dengan nikmat daripada sebuah mahligai perkahwinan yang terbina.

Tetapi hari ini jiwa pemuda itu meronta-ronta, tuntutan fitrahnya bukan sekadar mahu melempias nafsu muda. Tetapi lebih dari itu, membina kekuatan dalam menggapai cita-cita dan harapan. Cita-cita dalam membina institusi keluarga yang saling bergandingan dalam kebaikan. Menegur dalam hemat dan kelembutan. Membelai jiwa dengan didikan lembut lantas membina iman. Tangga kehidupan itu perlu didaki. Harapan pemuda agar dia mampu membina hidup yang baru. Hidup dalam erti membina keluarga yang sejahtera. Keluarga yang akhirnya membentuk binaan-binaan masyarakat yang kelak mendaulatkan kalimah Rabbnya.

Teringat pemuda akan kisah yang baru dibacanya. Sungguh membina rumahtangga itu ibarat membina teratak  dalam kehidupan. Sungguh teratak yang sederhana itu digelar rumah adanya. Akan sebuah rumah itu pula, tidak dipanggil rumah tanpa ruang-ruang yang melengkapinya. Punya ruang tamu, bilik tidur, dapur, bilik air dan tandas umpamanya. Kalau membina rumah dengan hanya mempunyai tandas, tidak lah dipanggil rumah. Barangkali digelar tandas awam layaknya. Justeru seandainya perkahwinan itu sekadar menurut tuntutan fitrah kehaiwanan, maka ibaratnya sebuah rumah yang dibina dengan tandas semata. Hilang fungsinya yang lain. Demikianlah adanya sebuah rumahtangga dalam kehidupan.

Tetapi mungkin esok pemuda itu masih perlu berpuasa. Melentur jiwanya kepada Pencipta. Tekun dan sabar menunggu hari yang diharap  tiba. Dalam fikirannya terlontar satu persatu kisah cinta junjungan Rasul yang mulia. Dalam keluarga, bagindalah yang terhebat. Bahkan yang terbaik kepada isterinya dan ahlinya.  Kisah cinta di rumah Hasan al Banna juga berelgar-legar di minda. Teori-teori rumahtangga itu tersisip rapi dalam dirinya. Bukan juga mudah mengemudi bahtera di tengah samudera. Pemuda termenung. Akur dalam syukur dengan ketentuan yang Esa.

Friday, November 16, 2012

WALAU 'sekadar' BOIKOT


Saya sangat sedih apabila, ada yang menyindir-nyindir sesetengah pihak yang berusaha menjalankan boikot keatas produk-produk dan syarikat-syarikat yang mempunyai pertalian jelas dengan negara haram Israel. Saya akui hak membeli sememangnya hak masing-masing. Baik dia seorang warganegara Malaysia, Indonesia, Amerika hatta Palestin sekalipun.

Dalam suasana saya bekerja dan dikelilingi warga Timur Tengah, saya juga akui bahawa tidak semuanya mengambil peduli tentang kesengsaraan umat ini. Ada yang berhijrah semata-mata mahu meninggalkan negara yang sedang bergolak, bahkan benci untuk kembali ke tanah air sendiri. Hidup di Malaysia ini bagaikan syurga tanpa bom, peluru dan roket yang bersimpang siur. Ada yang boros berbelanja sehingga duit pengajian yang diberikan keluarga habis di shoping-shoping kompleks, Starbucks dan sebagainya.. Ramai pula yang berperangai ‘aneh’ mengalahkan pelancong-pelancong mat saleh yang ada di Malaysia. Dicelah-celah mereka ini, adalah beberapa kerat yang bersungguh-sungguh menjaga agama. Paling tidak terhadap sahsiah dan akhlak sendiri. Bahkan ditempat kerja saya, ada pula Mat Saleh warga Amerika yang sangat soleh dan beramal dengan amal-amal Islami. Ini tidak aneh.

Justeru saya terkesima apabila terbaca komen-komen yang berbunyi aneh dan pelik sebegini… “Aku hanya akan boikot kalau orang Palestin sendiri boikot Mc Donald”… Atau… “Ah… orang Palestin pun tak sebok nak berdemo…korang lak lebih-lebih terpekik, terlolong… ”… “Ahhh..ramai dah boikot, tak pelah, aku tak payah lah… lagi pon Mc Donald ni sedap kemain lagi…aishhhh…” Wahai saudara ku sayang, sedar tak bahawa bertapa luasnya bumi ini??? Berapa ramainya penduduknya??? Berapa ramai pula orang-orang Palestin? Berapa ramai yang Islam??? Berapa ramai pula yang mukmin??? Jawablah sendiri. Sungguh saya tidak hairan seandainya saya menemui sekelompok warga Palestin yang berlagak tidak peduli.

Ini sangat jelas. Bumi Palestin bukan bumi mereka. Ia bumi ‘KITA’.

 Ingatlah kata-kata Saidina Abu Bakar As Siddiq.”Aku akan memerangi mereka sendirian, hingga anggota tubuhku berserakan, aku akan memerangi mereka sendirian, hingga batang leherku terpenggal.” Kata-kata keramat ini diucapkan sewaktu beliau memerangi golongan yang murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW. Namun ekspresi dari kata-kata ini mencerminkan bahawa, andai kata semua manusia berpangku tangan, bermalas-malasan, maka akulah yang akan kehadapan… Sungguh ini adalah rasa tanggungjawab individual. Ya, memang benar kita diminta beramal jamaie, namun jauh lagi kehadapan, hisab diakhirat atas amal sendiri.-walau ‘sekadar’ boikot-

Menurut pandangan Dr. Raghib As Sirjani, kaedah pemboikotan merupakan antara kaedah yang perlu diambil oleh umat Islam hari ini dalam konteks mengembalikan maruah dan kemulian Islam. Sungguh sikap tidak acuh terhadap kaedah boikot ini mencerminkan ketidakfahaman dan ketidak pedulian yang nyata terhadap agama dan sesama saudara. Menurut Dr. Raghib lagi, kaedah pemboikotan ini mungkin dilihat sebagai senjata yang ampuh dan tidak dapat mengubah apa-apa. Justeru beliau meminta umat ini melihat semula kepada fakta-fakta kuasa besar yang turut sama menggunakan senjata boikot ini.

Menurut beliau, pada tahun 2003, US telah memboikot barang-barang import dari Jerman ke Amerika, yang setiap tahunnya bernilai lebih enam puluh trillion dollar. Bukan hanya Jerman, keju Perancis juga pernah diboikot semata-mata kerana kedua-dua negara ini pernah menentang politik yang dimainkan oleh Amerika terhadap Iraq. Lebih dasyat lagi, seorang anggota kongres meminta untuk menggantikan nama, ‘French Fries; menjadi ‘Free Fries’ walaupun kentang goreng itu tiada kena mengena langsung dengan negara Perancis melainkan sekadar nama. Sungguh dasyat…Saudara ku sayang, isu Palestin ini bukan sekadar mainan politik, bahkan jauh lebih besar lagi…Maka dimanakah peranan umat ini bila mana ibu-ibu, anak-anak, dan saudara-saudara kita sedang dihenyak-henyak???

Justeru, jangan ditanya “apa yang telah mereka buat?”. Tapi tanyalah pada diri… “apa yang telah aku lakukan???”

Harap maklum, ini bukan kisah semalam, atau beberapa hari yang lalu, atau beberapa tahun yang lalu… rajin-rajinlah menyemak sejarah. Bukankah maklumat kini dihujung jari??? Telah datang khabar bumi Palestin sejak sekian kalinya, namun kita biarkan ia menyapa-nyapa pipi umpama bayu… hanyut… dan hanyut…dan hanyut di ulit mimpi…

Ingatan untuk saya yang selalu terleka… Janji Allah itu pasti.

“WayamkurulLah WalLahu Khairul Makirin”



P/s: Shhhh… Ramai orang sedang menjaga periuk nasi sendiri. Bersyukur dengan periuk nasi sendiri… “Alhamdulillah, kenyang aku hari ni…” sedang ibu dan anaknya yang sedang berjiran mati kebuluran…