Tuesday, April 19, 2011

DI ATAS JALAN INI

Setelah beberapa ketika berada di atas jalan ini, kadangkala seperti sudah terlupa pada erti sebuah kemanisan ukhuwah. Saat masa berlalu, erti sebuah senyuman pun sering kita terlupa. Lantas wajah yang masam dan raut yang kelam sering kita hidangkan kepada saudara-saudara kita. Belum lagi dengan layanan dan kata-kata yang merentap jiwa… “ahhh… nta ni touching lebih….”. Mungkin… bahkan hakikatnya hal itulah yang perlu kita elakkan. Dimana kah teras kegemilangan yang dicanangkan? Mana praktiknya? Menurut Imam An-Nawawi melalui kitabnya Riyadhus Solihin menerusi sebuah hadtih dari Abu Zar r.a katanya:

"Rasulullah s.a.w. bersabda kepada saya:"Janganlah engkau menghinakan sesuatupun dari amal kebaikan -yakni sekalipun tampaknya kecil, janganlah tidak dilakukan, meskipun andaikata engkau bertemu saudaramu dengan menunjukkan wajah yang manis," - atau berseri-seri tanda bersuka cita ketika bertemu itu. (Riwayat Muslim)

Mudah kan? Namun jangan kita perkecilkan amal yang sedikit itu! Jangan kita terkejut andai suatu hari sahabat-sahabat yang seiring dan sejalan ini lari daripada tanggungjawab yang besar ini. Kerana apa? Ya kerana kita! Saat itu berlaku, pasti barulah kita ‘sedar’… lantas kita berpersepsi “mana lapang dadanya? Ithar jauh sekali!”… juga kita berkata “bahkan ini saringan Illahi… mungkin beliau bukan orang selayaknya untuk beban ini.” Mungkin…. Bahkan mungkin kita rupanya dalam saringan tadi. Lalu kita merasa besar diri kerana teguh meniti hari, merasa bangga dengan amal-amal yang kecil, bahkan ta’jub dengan ‘thabat’ nya kita di jalan ini.


Dalam segala macam program yang digerakkan, kita meletakkan matlamat ukhuwah antara yang dicari. Kadangkala mahu membentuk, tetapi terlupa acuannya adalah cerminan diri. Lalu kita membina menara atas tapak yang rapuh. Mana terasnya? Mana rasuknya? Mana cerucuknya? Mana tetulangnya? Casting punya casting, akhirnya tak juga menjadi-jadi. Dalam pada itu munculah pula masalah hati. Tak bertegur sapa, tuduh menuduh, caci mencaci, perli memerli, buat tak reti….sakit hati. Mana perginya matlamat tadi? Adakah kita terlupa atau sengaja melupakan? Atau kerana kita sudah ‘cukup-besar-sangat’ dijalan ini?

Ya pasti dan pasti dikalangan kita banyak kelemahan dan kekurangan. Bagi sang penulis ini lagi lah lagi…Maka bantulah!maka tolonglah! Jangan asyik memerhati! Buktikan teras kegemilangan tadi! Jangan bila nasi sudah menjadi bubur. Ya… buburlah ia. Takkan menjadi nasi lagi. Bangunan yang masih baru dalam binaan dan rapuh dirinya perlukan scaffolding.  Jadi saat kita mempelajari erti sebuah ukhuwah, sama-samalah kita buat cerminan diri… atau paling tidak mulakan dengan manisnya senyuman.  

“Ya Allah seandainya aku yang bersalah dan berdosa, maka ampunilah aku… seandainya sahabat ku yang bersalah dan berdosa, ampunilah dia… Jernihkan lah Ya Allah jiwa-jiwa kami dengan cahaya iman, dan pertautkanlah hati kami di atas jalan ini bukan kerana yang lain kecuali mencari redha Mu…”