Friday, December 18, 2015

Kenang-kenangan

Apa mungkin melepaskan kenangan?

Saya tidak pernah terfikir untuk melanjutkan penulisan saya ini. Tetapi persoalan ini acap kali bertandang dalam fikiran. Apakah mungkin saya melepaskan kenangan? Kerana kenangan itu terlalu indah atau kadangkala terlalu pahit untuk ditelan.

Kenangan adalah sejarah

Kenangan mengisi ruang-ruang dalam ketamadunan insan. Ia adalah sejarah iaitu lipatan-lipatan kisah interaksi insan dengan kehidupan, bersifat dinamik dan mengundang seribu macam perasaan. Kenangan sebagai suatu sejarah merupakan sudut pandang yang membuatkan kita merenung antara sebab dan akibat daripada tindakan. Lantas kita tahu bahawa hari ini, kita berada dalam suatu situasi yang mana tidak dapat tidak terlukis daripada garisan-garisan kisah yang saling sambung menyambung membentuk kenang-kenangan. Dari satu perhentian akhir, kita mengimbau jalur-jalur kenangan sehingga ada yang tersenyum dan ada yang menitiskan air mata tatkala bersendirian.

Kenangan harus menjadi jambatan

Kenangan adalah jambatan pembaikan tatkala kita belajar daripada sejarah kehidupan. Ada satu kata-kata yang cukup indah iaitu; kenangan semalam merupakan jambatan hari ini meniti esok. Belajarlah kita daripada kehidupan bahawa jambatan yang menghubung itu perlu ada daya kekuatannya. Saat dihenjak-henjak dengan beban kehidupan, ia perlu belajar melentur dan mengalihkan tekanan. Kenangan itu jika bukan jambatan ia akan menjadi tembok pemisah hari esok. Kukuh namun memisahkan.

Kenangan adalah sekolah kehidupan

Thomas Edison membina 9955 kenangan dalam kegagalan sebelum menemui satu keberhasilan. Itulah dia sekolah kehidupan. Bill Gates, Steve Jobs, Michael Dell dan Mark Zuckerberg juga menjadi ternama kerana belajar daripada sekolah ini. Sekolah ini ajaib sekali. Ramai lepasannya membidik inspirasi kedalam sanubari umat ini. Cat Steven (Yusuf Islam), Dennis Bradley Philips (Bilal Philips), Mark Hanson (Hamza Yusuf) dan ramai lagi. Semuanya menelaah kitab-kitab sekolah kehidupan.

Kenangan menghubungkan insan

Kenangan menghubungkan insan lewat doa dan harapan. Hati yang terusik dengan kenangan memangkin titipan doa kepada ibubapa, keluarga, sahabat dan teman. "Apalah khabar anda?" tidak wujud dahulu tanpa kenangan.  Takkan berziarah tanpa wujud dahulu sejarah-sejarah silam kehidupan. Takkan berbakti sang anak tanpa mengenangkan pengorbanan. Takkan tertitip kemaafan kalau bukan kerana kenangkan kesilapan.

Jadi, apakah mungkin melepaskan kenangan?

Sekeras-keras batu
Ku titis air terhakis dia
Sekarat-karat besi
Dikikis-kikis bersinar semula
Seliat-liat halia
Dihiris-hiris ku tumis juga

Atau yang tinggal adalah menghadapi kehidupan dengan pembaikan?