Monday, October 21, 2013

Meniti Cinta ke Hujung Usia

Telah diciptakan makhluk itu berpasang-pasangan untuk menumpahkan kasih sayang dan kemesraan. Atas dasar itu manusia menelusuri gerbang perkahwinan, menyulam cinta, berkongsi rasa dan mengembangkan umat Muhammad s.a.w sebagai dasar dan tujuan.

Bidikan cinta sesama manusia itu bukan suatu paksaan. Bila tertusuk, bakal menyelinap ke hati yang paling dalam. Panah cinta kadangkala terkandung madu yang memaniskan segenap rasa di jiwa, dan terkadang memuntahkan racun yang membunuh hati dan perasaan. Subhanallah, betapa hebatnya penangan sekelumit cinta yang Allah SWT kurniakan kepada insan.

Suatu ketika dahulu, rasa sangsi menusuk jiwa dan perasaan lantaran hati berkata 

'mana mungkin cinta tersulam setelah pernikahan!'

'bagai mana jiwa dan jasad bisa bersatu tanpa rasa yang mendalam?' 

'tanpa perkenalan dan kisah-kisah nostalgia cinta bandar tasik selatan. Sungguh tiada logika!'

Tetapi bila persoalan-persoalan itu diketepikan... bila iman dan keyakinan diutamakan, hanya pada takdir dan ketentuan Allah SWT segala pengharapan diletakkan. Pilihlah pasangan dengan mata hati- dengan mata yang senang memandangnya, dan dengan hati yang merasa aman dengan agamanya.  

Subhanallah dalam membina mahligai syurga dalam berkeluarga, hakikatnya memerlukan pengorbanan dalam mencari sebuah ganjaran Allah SWT yang teramat besar... bukan sekadar cinta nafsu dan perasaan yang membuak-buak. Saat memulakan perkenalan dan terus berkenalan, berusahalah untuk melahirkanlah rasa cinta dan perasaan itu dalam rumah tangga. Cinta yang membuahkan iman! Bukan sekadar cinta yang kerasukan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
Apabila seorang hamba menikah, maka sungguh dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada separuh yang selebihnya.
Lihatlah bahawa perkahwinan itu tuntutan yang besar dalam Islam sehingga ia menyempurnakan separuh daripada agama seseorang. Perkahwinan itu merupakan sistem ibadah yang besar! Setiap amal kepada pasangan menjadi sedekah. Setiap perbuatan menjadi ibadah. Setiap yang dahulu di tegah menjadi hiasan pula dalam rumah tangga. Bila saling mengingatkan mendapat pahala. Bila rasa ketinggalan mula maju kehadapan. Hidup dalam amal yang berterusan.

Tapi mulakanlah ia dengan iman... maka hidayah akan menjengah pintu kebahagiaan...

Doakan saya dan pasangan, kerana perjalanan kami masih panjang untuk sebuah perkenalan dalam mengenal erti  kasih dan sayang.  

Meniti cinta ke hujung usia... :)