Tuesday, February 28, 2012

'POHON' NIAT & KEIKHLASAN

Sebatang pohon yang semakin meninggi bagaimanakah angin yang bertiup diatasnya? Sudah pasti angin yang bertiup itu semakin kencang dan kuat. Semakin menjulang ke awan semakin deras deru angin yang bertiup sedangkan pucuk-pucuk yang diatas masih mentah dan muda. Begitulah hakikatnya kehidupan kita. Sedang masa selalu mematangkan usia, kita terus menjalani liku-liku kehidupan yang sering berkisar antara suka dan duka. Dan dengan berlalunya usia kita, semakin matang kita dalam menilai jawaban dan menelan masalah-masalah kehidupan.


Pengalaman hidup memberikan kita tenaga kerana semakin hari dalam meniti usia semakin berat ujian yang datang melanda. Begitulah juga dengan halnya keimanan kita. Saya tidak pasti dengan orang lain, tetapi saya merasai dan melaluinya. Semakin kuat merasa untuk melaksanakan kebaikan demi kebaikan, semakin berat ujian-ujian yang datang melanda. Lebih parah lagi ujian itu bukan pada amal yang terlihat oleh mata, tetapi tersembunyi jauh di dalam lubuk hati. Hadir dalam nyata tapi bersembunyi dalam setiap perkara. Maka benarlah firman Allah SWT yang bermaksud;

Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu?  

 
Kata seorang ulama “ Ada amal yang paling besar dikalangan manusia tetapi kecil sahaja di sisi Allah SWT dan ada amal yang kecil sahaja di kalangan manusia tetapi besar di  sisi Allah SWT. Semuanya adalah kerana niat.”

Justeru itu adalah penting untuk kita meluruskan niat dan mendatangkan keikhlasan dalam beramal, hatta dalam setiap urusan kehidupan kita. Walaubagaimanapun perlu kita sedar keihklasan ini bukan perkara yang boleh dibuat-buat melainkan anugerah daripada Allah SWT. Firman Allah SWt dalam surah al-Anfal ayat ke 24 yang bermaksud;


Wahai orang-orang Yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara Yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah Bahawa Sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu Dengan (pekerjaan) hatinya, dan Sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.
 
Dalil ini menunjukkan urusan hati ini milik Allah SWT, maka dengan itu, ikhlas merupakan hadiah daripada Allah SWT.  Maka beruntunglah mereka yang ikhlas dalam melaksanakan kebajikan dan amal hanya kerana Allah. Oleh kerana perihal niat dan keihklasan ini menjadi sangat penting, maka wajarlah ia menjadi akar kepada pohon kehidupan kita kerana akar yang kuat inilah sahaja yang dapat memastikan pohon kehidupan yang tinggi menjulang terus dapat bertahan hatta ribut sekalipun yang datang melanda.  Semoga Allah SWT mengurniakan keikhlasan kepada diri saya dan pembaca di luar sana dalam setiap amal kita....




"Berbuatlah kebaikan dalam setiap peluang yang ada kerana kita sendiri tidak tahu amal yang manakah yang mempunyai nilai yang besar disisi Allah SWT...=)"

No comments:

Post a Comment