Wednesday, February 10, 2016

PETAI

Teringat saya kepada kisah yang disampaikan oleh bapa saudara saya sewaktu masih kecil. Itu pun kerana terdengar perbualan antara beliau dan ayah. Ok. actually curi-curi dengar...haha.

Kisah ini barangkali sudah 20 tahun berlalu dan sepanjang tempoh itu ia menjadi bahan gelak kepada saya tiap kali teringat kembali apa yang diceritakan.

Bapa saudara saya ketika itu dalam suatu perjalanan dan melalui perkampungan orang asli. Bagi siapa yang pernah lalu di kawasan seperti Cameron Highland umpamanya pasti pernah terlihat gerai-gerai kecil (bahkan ada yang besar!) diusahakan oleh sekumpulan keluarga orang asli. Ada yang menjual madu, kraftangan, produk rotan, tumbuh-tumbuhan hiasan, dan petai. Barangkali keadaan itulah yang paling hampir dalam gambaran kotak fikiran saya.

Seingat saya peristiwa itu berlaku di awal pagi. Nak dijadikan cerita, bapa saudara saya ini berhajat untuk singgah di salah satu gerai kecil yang menjual petai. Barangkali teringat kepada kampung halaman beliau  di Melaka-Kampung Sungai Petai. Atau mungkin teringat masakan kampung dek kerana lama merantau hidup di kota-kota; sambal udang petai, tempoyak petai... aish... terasa nak beli petai jugak...haha.

Sampai sahaja di gerai pilihan hati, bapa saudara saya yang baik hati ini pun mahu membeli kesemua petai yang dijual. 

"Ingat hati nak tolong lah..." kata bapa saudara saya...

Anda tahu apa yang dijawab oleh orang asli tersebut.... "eh, kalau saya jual semua petai ni, petang ni saya nak jual apa????"

"laaa... kalau dah jual semua, awak dah dapat pulangan... tak payah berniaga lah petang ni..." kata bapa saudara saya. 

Terbahak-bahak kami dibuatnya...

Kisah ini sudah hampir 20 tahun berlalu... dan ia tak pernah gagal membuatkan saya tersenyum sendirian. Tetapi hari ini pada usia saya mencecah hampir 30 tahun, baru saya terfikir....

Alangkah indahnya bekerja bukan kerana wang ringgit. Hari ini ramai sekali yang bekerja kerana wang ringgit... Yang halal, yang haram semuanya dilanggar sahaja. Belajar tinggi-tinggi untuk menjawat jawatan besar. Jawatan besar dan keilmuan itu  barangkali kosmetiknya... Isinya masih lagi wang ringgit. Berniaga katanya mengikut sunnah... Ya benar... tapi ramai juga yang menjadikan sunnah itu kosmetiknya... Isinya masih lagi haloba dengan habuan dunia. Yang memimpin, kononnya menjadi ketua mengurus segala. 'Mengurus segala' itu barangkali kosmetiknya, isinya masih lagi kemegahan dan kemewahan dunia.

Maka barangkali menjadi orang asli penjual petai itu lagi tenang dan mulia dari menjadi hamba wang ringgit dan dunia.

Habis dah cerita. Apapun semulia-mulia insan adalah yang paling bertaqwa... :)







No comments:

Post a Comment