Thursday, March 8, 2012

Berapakah umur mu???

Terkenanglah akan kita kehidupan kita didunia ini. Bahkan dipanggil dunia kerana ianya dekat dengan kita. Kerana perjalan kita rupanya masih jauh lagi dihadapan, sedangkan hidup ini hanyalah suatu tempat persinggahan. Agama menyatakan bahawa dunia ini akan berakhir. Hatta ilmu alam juga akur pada fitrah ini. Segala yang berpangkal pasti berakhir dan tiada siapa dapat menafikan fakta ini. Sejak hari kita dilahirkan, sejak kita berusia sehari, sudah berapakah umur dunia ini? Satu angkatan datang dan satu angkatan lagi berlalu pergi. Begitulah kehidupan dunia ini, lahir dan mati. Hari ini memikul, entah esok dipikul.



Setelah habis janji dengan dunia ini, kitapun akan berangkat ke alam yang satu lagi. Dibelakang kita, tinggallah manusia-manusia yang akan terus menunaikan janji-janji mereka dan terus menyambung kehidupan di dunia, bekerja dan berusaha.  Sampai bila? Sampai mereka akhirnya kembali ketempat yang sepatutnya mereka kembali. Menanti hari-hari untuk diseru hidup kembali, alam akhirat yang abadi. Lalu akan berangkatlah semua, entah ke syurga entah ke neraka.

Untuk yang telah pergi,tanpa bekal dan tanpa amal, sudah tiada lagi tempat untuk berpatah kembali. Seandainya telah tiba ditempat yang paling ngeri, barulah timbul penyesalan dihati… Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk yang bermaksud..

Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang Yang kufur ingkar), maka tetaplah JauhNya rahmat Allah dari ahli neraka.

Dan ketika itu penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Sedangkan kita yang masih berdiri, masih bernyawa dan masih disini. Hari ini, bila ditanya berapakah usia kita? Pasti lancar mulut menyebut. Menurut Dr. Reda, usia kita bukanlah bermula dari ketika hari kita dilahirkan. Tetapi ianya bermula sejak hari kita membina semula hubungan dengan  Allah SWT “..Time where we reconnected to Allah”… Bukan lagi persoalannya berapa lama? tetapi, sudahkah kita? Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar yang bermaksud;

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Masih belum terlambat untuk kita, untuk saya dan untuk semua...Jadi sahabat, berapakah umur mu?

No comments:

Post a Comment