Cangkat sama didaki, lurah sama di turuni, mendapat sama berlaba, kehilangan sama berugi, terapung sama hanyut, terendam sama basah. Demikianlah kata pepatah. Bukan untuk mengajar Cuma mahu berkongsi perasaan yang berbuku dijiwa dan ingat mengingati sebagai saudara yang saling berkasih kerana Illahi. InsyaAllah...
Kata HAMKA,” Kehidupan yang tidak berjumpa dengan kesulitan, bukanlah namanya kehidupan”. Dalam erti kata lain, hidup ini perlu berhadapan dengan kesulitan yang berupa ujian keatas setiap jiwa-jiwa. Lantas menjadi bukti kepada keimanan yang hakiki.
Selagi nama bernama dunia, selagi itulah ujian akan datang menimpa. Biar siapa pun kita, ujian pasti bertandang. Ada yang bertandang dalam rupa kesusahan hidup, ada yang datang dalam bentuk kesenangan, ada pula diuji dengan wanita, diuji dengan anak-anak, diuji dengan kuasa, sakit dan bermacam-macam lagi.Dalam mendepani ujian, kadangkala kita tersungkur dan berputus asa .
Hatta semakin kita berusaha menjadi yang terbaik di sisi Illahi semakin kita diuji. Seperti mana yang diriwayat kan daripada ‘Abdul Qadir Al-Jailani, beliau sangat dahaga, ketika awan muncul tiba-tiba, ia menurunkan hujan keatas dirinya lalu beliau meminumnya. Kemudian terdengar teriakan dari langit, “ Wahai fulan, sesungguhnya ku Tuhan kamu, sesungguhnya aku telah menghalalkan kepada kamu perkara yang diharamkan..” Lalu ‘Abdul Qadir menjawab kepadanya.. “berambuslah kamu wahai laknat!” Lalu awan itu pun hilang.
Beliau ditanya,” Bagaimana kamu mengetahui itu adalah iblis?” Beliau menjawab.. , “sesungguhnya aku telah menghalalkan kepada kamu perkara yang diharamkan..”. Nah! Kalau bukan syara’ menjadi kayu ukuran sudah pasti akan terhumban... itulah contoh ujian bagi orang yang beriman dan berilmu pengetahuan. Andainya kita???
Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan menempuh baki-baki kehidupan ini dengan iltizam... kerana pasti dan pasti ujian sentiasa bertandang...
“Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhan mudan mendapat syurga seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa..” (3: 133)
Sesekali saya juga merasakan pedih dan lelahnya melalui duri-duri dan ujian dalam kehidupan. Penat dengan keburukan diri sendiri sehingga kadangkala saya berdoa untuk dikurniakan hati yang lain… yang lebih tunduk dan patuh kepada Tuhan sekelian alam…
Teringat akan sebuah kisah yang tidak kurang mahsyurnya...
Ketika Ibrahim Adham, seorang ahli tasawwuf yang terkenal, berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau dikerumuni oleh orang ramai. Diantara mereka ada yang bertanya, mengapakah doa mereka tidak dimakbulkan oleh Allah padahal mereka selalu berdoa kepadaNya.? Beliau menjawab, kerana hati kamu buta disebabkan oleh sepuluh perkara;
- Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hakNya
- Kamu sangka kamu cintakan sunnah Rasulullah SAW tetapi kamu tinggalkan sunnahnya
- Kamu telah membaca alQuran tetapi kamu tidak beramal dengannya
- Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah tetapi kamu tidak tunaikan syukurNya
- Kamu telah mengatakan syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya
- Kamu telah berkata syurga itu benar, tapi kamu tidak beramal untuknya
- Kamu telah mengatakan neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari darinya
- Kamu telah mengatakan mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya
- Kamu bangun daripada tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban sendiri
- Kamu kebumikan mayat-mayat manusia tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.
No comments:
Post a Comment