Tuesday, April 10, 2012

Kisah secebis nikmat...

Perkongsian dengan ustaz Zaini daripada JAIJ baru-baru ini mendorong saya untuk menulis perkara ini... Kata ustaz, syukur itu ada tiga iaitu dengan qalb, dengan lisan dan dengan jasad. Dalam menghuraikan tentang syukur dengan lisan, disamping mengucapkan alhamdulillah, kita di galakkan menceritakan nikmat Allah SWT (juga merupakan ujian) yang kita terima... Katanya, dengan niat untuk menggambarkan kebesaran dan keagungan Allah SWT yang Maha Pemurah... juga membangkitkan iman orang yang mendengar... Jadi disini saya terpanggil berkongsikan secebis nikmat Allah SWT yang mewarnai perjalanan hidup saya...

Semasa zaman saya masih kecil-kecil dahulu, sekitar di usia 8 tahun, saya teringin sekali mengikuti abang saya ke sekolah agama... Pada waktu itu kelasnya di waktu petang... Seronok melihat mereka mengenakan baju melayu putih, lengkap bersamping hijau (sekarang telah ditukar ke warna hitam...). Segak pula bersongkok di kepala... Usia untuk ke sekolah agama tersebut adalah sekitar usia 10 tahun hingga 12 tahun... Hal ini membuatkan impian saya ketika itu tidak lebih sekadar impian.

Bukan itu sahaja, minat saya juga dipupuk oleh abang-abang saya yang ketika itu sangat rajin berkongsi apa yang dipelajari di sekolah. Masih segar lagi bagaimana ketika itu beliau mengejakan huruf-huruf jawi dan meminta saya menyebutkan perkataannya... Subhanallah... rupanya usaha kecil itu telah menyelamatkan saya dari buta membaca jawi, kerana rupa-rupanya saya memang tidak berpeluang ke sekolah agama rendah!(kerana sewaktu itu ianya merupakan pilihan, dan bukan kewajiban untuk ibubapa menghantar anak-anaknya...). Tidak kurang juga saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana ayah saya juga tekun mendidik anak-anaknya mengenal huruf-huruf al Quran dan mengajar kami semua membacanya sejak dari usia yang sangat muda...

Semakin usia menginjak remaja, saya masuk ke sekolah menengah...saat itu saya dah khatam quran 2 kali kot...(budget hebat dah...)... dan sekolah yang jauh dari biah solehah. Pergaulan antara pelajar yang sangat bebas, tiada batas, perbualan-perbualan yang memualkan, budaya couple, rokok, budaya kumpulan-kumpulan dan sebagainya berlegar-legar disekitar saya. Saya? -skema-...Tetapi bukanlah semuanya begitu... Daripada sekolah harian biasa kepada sekolah menengah teknik dan vokasional... tidak banyak bezanya... Musim remaja yang bermacam-macam warna...pahit dan manis yang sangat berharga...

Saya akui adakalanya saya lalai dari tuntutan agama... solat saya cuaikan, alquran juga saya jarang-jarang baca. Semasa berada di tingkatan 5, saya konsisten mengerjakan solat... maklum lah , tahun tersebut saya bakal menduduki SPM (ni la budaya standard org kita..huhu)... Sampai di suatu ketika... saya sangat-sangat merindui semula al quran... entah lah, barangkali kerana berkat mengerjakan solat tu, Allah SWT gerakkan hati yang hina ini... Saya sentuh al quran dengan tangan saya, dan saya rasakan suatu ketenangan yang bersangatan... seolah-olah seorang pemuda yang dapat bertemu semula kekasihnya (macam over pulak).....


Di pendekkan cerita saya mula membaca semula al quran... bahkan semasa di matrikulasi saya punya seorang sahabat yang membetulkan semula bacaan dan sebutan-sebutan saya... Semasa di universiti pula, saya mula berjinak-jinak dengan usrah... tempat yang mana budaya alquran itu semakin subur dalam kehidupan saya. Namun itu bukan jaminan saya menjadi orang yang sangat baik, namun cukup membantu dalam muhasabah semula mujahadah ke atas diri ini...juga menjadi tempat saya membuahkan amal. Di situ juga saya bertemu seorang sahabat yang sangat saya cemburui... Manakan tidak, dia sangat mahir membaca al-quran, hafaz sebahagian besar daripada juzuk-juzuk al quran dan fasih berbahasa Arab... suatu hari, air mata mengalir di pipi... ya.. sangat saya  sedar akan kekurangan diri... saya tidak puas membaca makna dari mushaf al quran... saya tidak dapat menghayati bait-bait kalamullah.... semuanya asing... sangat asing....

Saya luahkan pada seorang teman...dan kami belajar bahasa arab daripada pelajar arab di sini... tapi ini tidak mudah bagi saya... Pak Arab tu pon tak tahu asas apa yang kami ada dan apa sebenarnya yang kami perlukan... berakhirnya semester bererti berakhirnya pertemuan kelas bahasa arab kami... Saya? Masih tidak boleh berbahasa arab... Beberapa semester terus berlalu... akhirnya teman yang saya cemburui ini pula menawarkan untuk mengajar bahasa arab. Alhamdulillah, didikan dari teman ini lebih mudah saya fahami (ye la dia org melayu dan sangat tahu asas yang sudah ada pada saya, lagi pula kami ni bersahabat...)...

Daripada 5 orang kepada 4 orang kepada 3 orang kepada 2 orang... Akhirnya yang sudi belajar tinggal saya seorang...  Akhirnya kelas dibatalkan tanpa notis...huhu... Asas bahasa Arab saya masih lemah, namun alhamdulillah Allah permudahkan saya untuk mengingati banyak perkataan dalam bahasa arab ketika itu... Beberapa surah juga dapat saya hayati maknanya dengan baik... Berikutnya saya mengikuti kelas bahasa arab komunikasi secara lebih profesional... Alhamdulillah... kelas itu telah tamat walaupun sekadar lapan minggu... terlalu banyak lagi kekurangan saya... namun saya yakin setiap usaha itu ada ganjaran... walaupun sedikit... walaupun lambat....

Dan saya juga tidak mahu berputus asa dari berdoa untuk menjadi insan yang dapat mengamalkan ilmu yang ada...kerana saya juga manusia biasa yang ada jatuh bangunnya.... maka terus menerus lah kita memperbaiki kejahilan kerana ia memang bukan sia-sia...

Dengan memperbaiki kejahilan itu merupakan nikmat yang sangat besar dalam hidup saya...  =)

No comments:

Post a Comment