Monday, April 16, 2012

Sekali air bah, pasir dipantai takkan berubah!


... Bak kata pepatah Sekali air bah, sekali pasir dipantai berubah... Hari ini bahagia, esok pula tiba masa berduka...

Melihat kepada resam manusia ini membuatkan saya terus berfikir... Seseorang yang membuatkan kita bahagia, juga mampu membuatkan kita kecewa... seseorang yang selalu menyantuni kita, bila-bila boleh pergi meninggalkan kita. Kita juga begitu. Jika hari ini kita cukup menyenangi seseorang, esok pula kita mudah membenci... Hari ini kita membenci, esok pula tiba-tiba kita menyayangi.... Jika hari ini kita mempercayai, esok pula kita meragui... Hari ini kita meragui, esok pula amanah yang kita beri...Apakah ini semua? padahal mereka adalah jasad yang sama. wajah yang sama...

Manusia...oh manusia... rupa-rupanya kita bukan sebatang jasad semata-mata... Ada ruh dan perasaan di dasar sana. Ruh ini hidupnya pada fitrah..akan tenang bila dekat dengan Pencipta. Bila berjauhan, ia akan meronta, gelisah dan lemah tak bermaya...   inilah ruh yang sakit... kerana itulah bila sekali air bah, pantai terus berubah....

Allahuakbar... jauhnya saya untuk mengungkapkan kata-kata ini, kerana saya juga tidak terlepas dari beremosi bila berhadapan dengan kerenah manusia...Kata bijak pandai ruh itu perlu sihat. Bila ia sihat, jangankan bah...biar tsunami pun yang melanda, tetap tegar di pantai. Hal ini membuatkan saya menginsafi diri... seringkali saya terasa hati kerana manusia... sering juga melempiaskan marah kerana manusia... sering menyukai kerana manusia... sering mempercayai kerana manusia... dan kerap pula mengharap pada manusia...

Hakikatnya segala pengharapan dan taruhan perasaan itu hanya kepada Pencipta... maka segala apa yang berlaku, kita akan redha...

 Harapan... kalau diletak diatas bahu makhluk bernama manusia memang akan selalu kecewa...

Mengharap itu hanya pada yang Esa. Kerana Dia akan  selalu ada... begitulah juga dengan perasaan-perasaan lainnya...

Jiwa yang tenang denga Rabbnya ini akan membuahkan manusia yang ajaib... Apakah manusia yang ajaib ini...? Manusia ajaib ini adalah hamba-hamba allah yang ikhlas di dunia. Dihatinya hanya ada Pencipta, maka dunia itu bukanlah medan utamanya... Tidak terkesan dengan persekitaran dan manusia-manusia sekelilingnya, bahkan tabah menempuh setiap ujian yang datang melanda...

Rasulullah saw bersabda:  
“Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” 
Hadith riwayat Muslim.

Saya belum lagi mampu menjadi sehebat ini... tetapi saya sangat merindui dan berusaha untuk menjadi seperti ini... Semoga Allah SWT bukakan jalannya untuk saya dan anda semua menjadi manusia yang ajaib....manusia yang mana, 'sekali air bah, pasir dipantai takkan berubah!'

No comments:

Post a Comment